Yayasan Kebajikan Artis Tanahair Malaysia (YKAT) bakal menganjurkan sebuah konsert amal istimewa bertajuk “Konsert Budi Kasih Malaysia 2025” yang menghimpunkan nama-nama besar dalam industri muzik tanahair untuk sebuah malam penuh seni, kasih, dan keprihatinan. Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober 2025, bermula pukul 8 malam hingga 10.30 malam di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Majlis ini akan diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Haji Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, sebagai Tetamu Kehormat.
Menurut Datuk DJ Dave, Pengerusi YKAT, konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi juga merupakan usaha untuk menghargai insan seni yang telah lama berjasa dalam dunia seni tanahair. Dana yang dikumpul akan disalurkan bagi membantu kebajikan artis veteran serta menyokong penggiat seni yang memerlukan bantuan.
Konsert ini akan menampilkan persembahan daripada barisan penyanyi lagenda dan generasi baharu dengan konsep eksklusif yang menggabungkan elemen tradisional dan moden. Antara artis yang dijangka membuat persembahan ialah Datuk DJ Dave, Dato’ M Nasir, Dato’ Nash, Dato’ David Arumugam bersama Alleycats, Dato’ Khatijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Suki Low, Bella Astillah serta Pasukan Tarian Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara Wilayah Kuala Lumpur.

Orang ramai, syarikat korporat dan badan kerajaan dijemput untuk turut menyokong konsert ini dengan mendapatkan meja atau tiket individu. Hasil sumbangan akan menjadi pemangkin semangat buat dunia seni tanahair untuk terus berkembang. Konsert ini menawarkan beberapa kategori harga untuk pembelian meja dan tiket individu bagi memberi peluang kepada lebih ramai penonton untuk hadir menyaksikan persembahan sambil menyumbang ke arah kebajikan artis tanahair. Pembelian boleh dilakukan secara terus melalui pihak pengurusan YKAT di talian 019-988 3172.
Datuk DJ Dave menekankan bahawa jualan tiket terhad kepada 500 orang sahaja dan berharap rakyat Malaysia akan bersama-sama menjayakan konsert ini. Beliau menambah bahawa harga yang ditawarkan sangat berbaloi kerana para penonton bukan sahaja dapat menyaksikan persembahan yang memukau tetapi juga menikmati makan malam dalam suasana yang selesa.
Selain persembahan, malam konsert ini turut menyaksikan penyampaian tiga anugerah iaitu Ikon Pelakon, Ikon Penyanyi dan Ikon Pemuzik. Beberapa aktiviti lain juga telah dirancang oleh pihak YKAT bagi terus menjaga kebajikan artis tanahair. Bagi maklumat lanjut mengenai program YKAT, orang ramai boleh menghubungi Pengurus YKAT, Cik Salmiyah di talian 019-9883172.


