Tag: #KesihatanWanita #GayaHidupSihat #WanitaKuat #SihatDanCergas #PemakananSihat #SenamanWanita #WanitaPrihatin #KesejahteraanDiri

  • Konsisten Demi Diri Sendiri: Cara Wanita Menjaga Kesihatan Sepanjang Hayat

    Konsisten Demi Diri Sendiri: Cara Wanita Menjaga Kesihatan Sepanjang Hayat

    Menjelang pertengahan tahun 2025, wanita di Malaysia digalakkan untuk menilai semula tahap kesihatan dan kesejahteraan diri. Tanggungjawab yang merangkumi kerjaya, keluarga, dan peranan sebagai penjaga utama sering meletakkan wanita dalam situasi tekanan yang berpanjangan. Tekanan ini boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan mental dan fizikal, termasuk melemahkan sistem imun, mengganggu keseimbangan hormon, menyebabkan gangguan tidur serta meningkatkan risiko penyakit seperti kardiovaskular, gangguan autoimun, kemurungan, dan demensia. Oleh itu, penting bagi wanita memahami keperluan tubuh mereka dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.

    Penyakit kardiovaskular masih menjadi penyebab utama kematian wanita di Asia, mencatatkan 35 peratus jumlah kematian pada tahun 2019. Statistik menunjukkan bahawa wanita di rantau ini mencatat kadar kematian akibat penyakit jantung yang tertinggi di dunia. Penyakit ini boleh menyerang wanita dari semua peringkat umur, namun sering tidak dikesan awal disebabkan oleh salah tanggapan dan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat dan penyedia perkhidmatan kesihatan. Pemeriksaan berkala terhadap tekanan darah, paras kolesterol, obesiti dan diabetes adalah penting untuk mengesan risiko lebih awal. Selain itu, senaman berkala dan gaya hidup sihat seperti amalan pemakanan seimbang dan pengurusan tekanan melalui aktiviti seperti yoga dan meditasi boleh menyokong kesihatan jantung secara menyeluruh. Pemilihan makanan seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran pelbagai warna, protein tanpa lemak, bijirin penuh, ikan berlemak dan kekacang juga menyumbang kepada jantung yang sihat kerana kandungan nutrien dan omega-3 yang tinggi.

    Perubahan hormon semula jadi yang dialami wanita sepanjang hayat – daripada haid ke kehamilan dan menopaus – boleh mendatangkan kesan sampingan seperti perubahan mood, haid tidak teratur dan masalah kesuburan. Zat besi merupakan nutrien penting yang memainkan peranan dalam mengekalkan keseimbangan hormon. Wanita sering mengalami kekurangan zat besi akibat kehilangan darah semasa haid, dan pemakanan harian tidak selalu mencukupi untuk menampung keperluan ini. Sayur-sayuran tempatan seperti kangkung dan peria merupakan antara sumber zat besi yang baik. Selain pemakanan, gaya hidup yang seimbang, aktiviti fizikal dan sokongan sosial membantu wanita mengurus kesihatan hormon dengan lebih baik. Pemeriksaan kesihatan berkala dan perhatian terhadap simptom-simptom awal adalah langkah penting untuk memastikan kesejahteraan berpanjangan.

    Sarkopenia atau penyusutan jisim otot adalah satu keadaan semula jadi apabila usia meningkat, dan wanita lebih terdedah berbanding lelaki. Ia boleh membawa kepada kelemahan otot yang meningkatkan risiko jatuh dan patah tulang. Kajian menunjukkan bahawa faktor seperti usia, berat badan, BMI dan kadar glukosa ketika berpuasa boleh mempengaruhi risiko sarkopenia dalam kalangan wanita. Osteoporosis pula berlaku apabila tulang menjadi rapuh akibat kehilangan kalsium, dan wanita lebih berisiko selepas menopaus disebabkan oleh perubahan hormon yang menjejaskan ketumpatan tulang. Bagi menangani isu ini, aktiviti fizikal harian seperti senaman rintangan dan aerobik digalakkan kerana ia membantu meningkatkan ketumpatan tulang dan kekuatan otot. Pemakanan juga memainkan peranan penting, termasuk pengambilan protein yang mencukupi, sayur-sayuran hijau, produk tenusu seperti susu dan yogurt, serta makanan kaya vitamin D seperti ikan berlemak dan telur. Dalam sesetengah kes, suplemen mungkin diperlukan kerana kandungan vitamin D daripada makanan sahaja mungkin tidak mencukupi.

    Gaya hidup sihat yang merangkumi pemakanan seimbang, tidur mencukupi, aktiviti fizikal dan pengurusan tekanan adalah penting untuk mencegah pelbagai cabaran kesihatan wanita. Selain itu, kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal secara berkumpulan mampu meningkatkan kesejahteraan mental dan sosial, mengurangkan rasa kesunyian dan memberikan semangat kebersamaan. Senaman bersama rakan, menyertai kelas kecergasan atau berjalan kaki secara berkumpulan boleh menjadi motivasi tambahan bagi mengekalkan gaya hidup aktif.

    Kesedaran mengenai kesihatan wanita semakin meningkat, namun masih banyak ruang untuk penambahbaikan. Dengan pendidikan yang betul, sokongan komuniti, dan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti, wanita boleh mengambil langkah untuk menjaga kesihatan mereka secara proaktif. Penjagaan diri bukan sahaja memberi manfaat kepada wanita itu sendiri, malah kepada keluarga dan komuniti sekeliling mereka.