Setelah mencuri perhatian dalam filem ikonik terakhir arahan Allahyarham Mamat Khalid, pelakon, pelawak dan penyanyi berbakat besar Joey Daud kini tampil semula ke pentas muzik tanah air dengan single terbaru berjudul “Wamwamsam” sebuah karya eksperimental berani yang mengetengahkan elemen komedi pop rock yang sarat dengan sindiran sosial dan mesej mendalam.
“Wamwamsam” bukan sekadar lagu ia adalah karya yang menggambarkan realiti, semangat dan wawasan, disampaikan dalam gaya jenaka sinikal yang mencuit minda. Melalui lirik bersahaja tetapi penuh makna, Joey menyampaikan mesej penting mengenai pendidikan, nilai ilmu dan harapan masa depan sesuai untuk semua golongan, daripada pelajar sekolah hinggalah ke pemimpin masyarakat.
Menariknya, Joey Daud merupakan artis rakaman pertama yang ditandatangani oleh Dato’ M. Nasir di bawah label Luncai Emas Sdn Bhd pada tahun 1994. Kini, selepas lebih dua dekad, kembalinya beliau bersama Luncai Emas dianggap sebagai pertemuan semula dua generasi seni dalam satu karya penuh warna.
Kolaborasi Segar, Suara Generasi Baharu
Single ini memperlihatkan gabungan ideal antara pengalaman Joey dan kreativiti barisan komposer muda di bawah naungan Luncai Emas Ilham Nasir dan Hidayat Nasir. Mereka mempersembahkan susunan muzik berani dan segar yang menambah nilai komersial dan artistik lagu ini.
Menurut Joey, “Lagu ini saya tulis berdasarkan pengalaman hidup, pemerhatian dan kenangan zaman sekolah. Wamwamsam kedengaran kelakar, tapi ia penuh dengan makna. Ia sindiran yang membina.”
Suara dari Timur Malaysia: Sentuhan A.D dari Isohbatos
Menambahkan lagi nilai kepelbagaian dalam lagu ini, segmen rap istimewa oleh A.D, anggota kumpulan hip hop kreatif dari Sabah Isohbatos, menyuntik elemen unik dengan gaya rap berbahasa Melayu Borneo. Kolaborasi ini menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu naskhah muzik kebangsaan.
“Lagu ini bukan untuk satu negeri atau satu kaum ini suara seluruh Malaysia,” kata Joey. “Bila A.D bawa gaya dia yang tersendiri, ia jadi magik.”
Video Muzik Sinematik: Teaser kepada Filem Daud M
Menambah keunikan pelancaran, video muzik rasmi “Wamwamsam” diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada Allahyarham Mamat Khalid. Konsep video berbentuk sinematik ala filem pendek ini menjadi teaser eksklusif kepada projek filem akan datang berjudul Daud M, diinspirasikan daripada watak yang dibawakan oleh Joey dalam filem terdahulu.
Video muzik ini mengisahkan pelajar kampung yang berwawasan tinggi, berjuang menentang norma masyarakat dan sistem pendidikan lapuk demi perubahan. Visual dramatik, latar sekolah retro dan watak-watak guru eksentrik menjadikan naratif ini sarat dengan tawa, emosi dan sindiran tajam terhadap realiti sosial.
Seruan Kepada Generasi Baharu
“Wamwamsam” bukan sekadar lagu hiburan ia adalah seruan untuk generasi muda tampil berani dengan ilmu dan idealisme. Dengan gabungan budaya tempatan, nostalgia zaman persekolahan dan mesej kontemporari, lagu ini dijangka mencetus fenomena unik di kalangan pendengar muzik tanah air.
