KUALA LUMPUR, 10 Julai 2026 – Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jasmine Project Love Musim Ketiga terbitan 8TV secara rasminya menutup tirai menerusi penganjuran Majlis Apresiasi yang diadakan bagi meraikan semua pihak yang telah menjayakan musim kali ini. Program yang mendapat sokongan penuh daripada Jasmine Food itu sekali lagi membawakan pelbagai kisah inspirasi masyarakat yang berjaya menyentuh hati penonton di seluruh negara.
Sepanjang 24 episod yang disiarkan, Jasmine Project Love Musim Ketiga membawa penonton mengikuti perjalanan para hos iaitu Owen Yap, Chan Wei Wei, Tan Chia Yong, Desmond Tey, Jan Chin dan Soh Chin Chuan menjelajah ke pelbagai lokasi di seluruh Malaysia. Mereka mendekati keluarga yang berdepan pelbagai cabaran hidup, mendengar sendiri kisah mereka serta berkongsi perjalanan penuh ketabahan yang memberi inspirasi kepada masyarakat.
Keprihatinan penonton terhadap keluarga yang dipaparkan turut diterjemahkan menerusi 8TV Project Love Fund, sebuah inisiatif di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP. Hasil sumbangan yang diterima, sebanyak RM192,000 berjaya disalurkan kepada 24 keluarga yang terlibat, dengan setiap keluarga menerima bantuan bernilai RM8,000 bagi meringankan beban mereka.
Majlis apresiasi yang berlangsung di Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar by IHG itu menghimpunkan peserta program, wakil pertubuhan kebajikan, barisan hos, rakan kerjasama serta pengamal media dalam suasana penuh mesra dan bermakna. Ia menjadi platform untuk menghargai kerjasama semua pihak yang memainkan peranan penting sepanjang musim ketiga berlangsung.
Turut memeriahkan majlis ialah kehadiran beberapa tetamu kehormat termasuk Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Rafiq Razali; Pemangku Ketua Pegawai Operasi Rangkaian TV & Kandungan Media Prima, Farah Shamsudin; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Agency Solutions, Stephanie Wong; Pengarah Jualan & Kerjasama Strategik Rangkaian TV & Kandungan Media Prima, Crystal Lee; Ketua 8TV, Wong Yee Lee; Ketua Pegawai Operasi Jasmine Food, Alan Kwong; Ketua Pemasaran Jasmine Food, Kow Ai Nah; serta Ketua Pembangunan Perniagaan Tradewinds (M) Sdn. Bhd., Farhan Hafetz.
Sebagai menghargai sumbangan rakan-rakan kebajikan yang banyak membantu menjayakan program ini, satu sesi penyampaian sijil penghargaan turut diadakan. Antara organisasi yang menerima penghargaan ialah Pertubuhan Kebajikan Kasih Sayang Dan Jagaan Malaysia, Rumah Charis, Tasputra Perkim, ORKIDS (Persatuan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor), Persatuan Rumah Caring Kajang Selangor, Persatuan Kebajikan Talian Hayat Kehidupan Malaysia, CCEP Foundation dan Pertubuhan Makanan Kebahagiaan (Blisstifood).
Sepanjang tiga musim bersiaran, Jasmine Project Love terus menjadi platform yang mengetengahkan kisah-kisah masyarakat yang memerlukan perhatian dan bantuan, sekali gus menggalakkan budaya prihatin dalam kalangan rakyat Malaysia. Program ini bukan sahaja memberi sinar baharu kepada keluarga yang dibantu, malah berjaya menyemai semangat saling membantu dalam kalangan penonton.
Bagi mereka yang terlepas mengikuti musim ketiga atau ingin mengimbau semula kisah-kisah menyentuh hati yang dipaparkan, semua episod Jasmine Project Love Musim Ketiga boleh distrim menerusi platform Tonton. Untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai rancangan-rancangan menarik 8TV, orang ramai boleh mengikuti Facebook rasmi 8TVbadukongjian, Instagram @8tvmalaysia, atau menonton saluran 8TV menerusi Tonton, myFreeview Saluran 108, Astro Saluran 148 dan Unifi TV Saluran 108.
