Tag: #JAGBerhad

  • JAG Berhad Terus Kukuhkan Fokus Terhadap Pengurusan Sisa Mampan

    JAG Berhad (“JAG” atau “Syarikat”), syarikat yang fokus dalam pengurusan sisa dan pemulihan sumber, hari ini mengumumkan bahawa semua resolusi yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-28 (AGM ke-28) telah diluluskan oleh para pemegang saham. Mesyuarat tersebut berlangsung di Kelab Golf dan Desa Kota Permai, Shah Alam.

    Pada AGM tersebut, pemegang saham menerima Penyata Kewangan Beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 bersama laporan Pengarah dan Juruaudit. Mereka turut meluluskan pembayaran yuran Pengarah untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta manfaat berkaitan yang akan dibayar sehingga AGM akan datang.

    Selain itu, Datin Tan Siew Ching dipilih semula sebagai Pengarah Syarikat, manakala Russell Bedford LC PLT dilantik semula sebagai Juruaudit Syarikat. Encik Ewe Chuan Seng pula bersara selepas tamat AGM selepas memilih untuk tidak bertanding semula.

    Pemegang saham turut meluluskan pembaharuan mandat am bagi membolehkan Syarikat menerbitkan sehingga 10% saham baharu untuk tujuan pengumpulan dana, termasuk pelaburan masa depan, modal kerja dan pengambilalihan yang bersesuaian.

    Dalam masa sama, cadangan pembaharuan mandat transaksi pihak berkaitan berulang serta cadangan pembelian balik saham sehingga 10% daripada jumlah saham diterbitkan juga diluluskan.

    Menurut Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JAG Berhad, Datin Tan Siew Ching, sokongan yang diberikan pemegang saham mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju operasi dan tadbir urus syarikat. Beliau berkata JAG akan terus memberi fokus kepada pengurusan operasi yang mampan serta memperkukuh pertumbuhan jangka panjang syarikat.