Tag: #IsanNikah #FilemThailand #KomediIslamik #FilemPawagam

  • “Isan Nikah” Papar Cinta Lintas Agama dengan Sentuhan Komedi Islamik

    “Isan Nikah” Papar Cinta Lintas Agama dengan Sentuhan Komedi Islamik

    Selepas kejayaan filem seram Islamik Khong Khaek tahun lalu, syarikat produksi Thailand, Monwichit Entertainment, kembali dengan naskhah terbaharu bertajuk Isan Nikah, sebuah filem komedi Islamik yang memaparkan kisah cinta dan konflik budaya dalam konteks perkahwinan campur.

    Isan Nikah mengetengahkan kisah antara seorang gadis Muslim dari Pattani, Thailand, bernama Sophia dan kekasihnya, Bak Kai, seorang jejaka Buddha dari wilayah Isan yang sanggup memeluk Islam demi cinta. Namun, hasrat mereka untuk mendirikan rumah tangga dihalang oleh abang Sophia, Bang Lee, yang masih dibayangi trauma akibat ditinggalkan ibu mereka yang dahulu turut berkahwin dengan lelaki dari wilayah yang sama.

    Menurut pengarah filem, Kriangkrai Monwichit, filem ini bukan sekadar hiburan ringan, malah turut mengetengahkan isu-isu sosial yang jarang ditampilkan di layar perak.

    Isan Nikah membawa tema unik tentang perkahwinan campur yang melibatkan perbezaan agama dan budaya. Saya olah kisah ini dengan elemen komedi agar mesejnya dapat disampaikan dengan lebih santai dan dekat dengan penonton. Filem ini turut menggambarkan kehidupan di kampung halaman saya di selatan Thailand – dari budaya, makanan, tempat menarik, hingga bahasa tempatan,” katanya.

    Barisan pelakon filem ini terdiri daripada nama-nama terkenal Thailand seperti Nattawut Sanyabut (Bak Kai), Kamonporn Sangwatcharasoontorn (Sophia), Amadkuciasree Doloh (Bang Lee), serta pelakon sokongan Chatchai Chinnasri, Adull Borsu dan ramai lagi.

    Bagi pasaran Malaysia, filem ini diedarkan oleh Empire Film Solution Sdn. Bhd. Pengarah Urusan syarikat tersebut, Mohamad Zubir Badar Shair berkata, pihaknya tertarik untuk membawa masuk filem ini kerana genre komedi Islamik dari Thailand jarang ditayangkan di negara ini.

    “Penonton Malaysia sudah biasa dengan filem-filem seram Thailand. Kami rasa sudah tiba masanya untuk mengetengahkan naskhah yang berbeza — sebuah filem yang menghiburkan tetapi tetap mengangkat nilai Islam, budaya dan kekeluargaan. Isan Nikah menawarkan kombinasi itu secara bijak dan segar,” jelas beliau.

    Beliau turut berharap sambutan terhadap filem ini akan membuka lebih banyak ruang kepada penerbit dari Thailand untuk menghasilkan filem bercorak Islamik dan komedi yang boleh menembusi pasaran Malaysia secara lebih meluas.

    Isan Nikah bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 17 Julai 2025. Filem ini sesuai ditonton oleh seisi keluarga, khususnya mereka yang ingin menyaksikan kisah cinta yang diuji oleh perbezaan budaya dan kepercayaan, namun disampaikan dengan penuh humor dan keinsafan.