Isu jenayah seksual yang berlaku dalam keluarga terus menjadi perhatian apabila kes membabitkan mangsa yang dikhianati oleh individu terdekat masih berlaku dalam masyarakat.
Menyedari kepentingan memberi kesedaran mengenai isu tersebut, penerbit terkenal Dato’ A. Aida menghasilkan filem Bisikan Nafsu yang mengangkat kisah trauma, perjuangan dan kekuatan seseorang mangsa dalam menghadapi pengalaman pahit.

Filem arahan Riza Baharudin itu bukan sekadar memaparkan konflik jenayah seksual dalam keluarga, malah turut membawa mesej mengenai kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan dalam menghadapi dugaan kehidupan.
Menurut A. Aida, penghasilan Bisikan Nafsu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya mengenai kepentingan menjaga keselamatan anak-anak serta kepekaan dalam membina sebuah keluarga.
Kisah Bisikan Nafsu berpusat kepada Nadia yang menjadi mangsa rogol oleh bapa tirinya sendiri sehingga menyebabkan dirinya mengalami trauma mendalam dan perubahan emosi yang ketara.
Keadaan tersebut menyebabkan Nadia menjauhkan diri daripada tunangnya, Arisz, malah beberapa kali cuba mengambil tindakan terhadap dirinya sendiri.
Namun begitu, Arisz tetap memilih untuk berada di sisi Nadia dengan memberikan sokongan, mencari jawapan terhadap perubahan yang berlaku dan membantu Nadia menghadapi pengalaman sukar tersebut.
Filem terbitan Hello Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama A. Aida Production dan Mache Allstar United itu menampilkan gabungan pelakon baharu serta pelakon berpengalaman industri hiburan tempatan.
Azeva membawa watak Nadia manakala Aniq Suhair memegang watak Arisz sebagai individu yang tidak berputus asa memberikan sokongan kepada Nadia.
Turut membintangi filem tersebut ialah Zul Huzaimy sebagai UR (Ustaz Romantik), Aleza Shadan sebagai Alyssa, Watie Sadali sebagai Aida dan Raja Azmi sebagai Lola.
Barisan pelakon pembantu terdiri daripada Ezzaty Abdullah, Aishah Husna dan Lan Siro, selain penampilan istimewa Ameng Spring serta Siti Khadijah.
Dalam masa sama, Bisikan Nafsu turut menjadi karya sulung Hello Production yang diasaskan oleh Azeva sebagai penerbit.
A. Aida berkata, penubuhan syarikat produksi tersebut merupakan peluang untuk Azeva memahami keseluruhan proses penerbitan dan membina pengalaman dalam industri kreatif secara berperingkat.
Sementara itu, pemilik Mache Allstar United, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Arisz Ab. Rahman menyifatkan kerjasama menerusi filem tersebut sebagai satu permulaan bermakna selepas pengalaman panjangnya dalam bidang penerbitan.
Beliau turut berharap kerjasama tersebut dapat membuka ruang kepada lebih banyak projek kreatif pada masa akan datang.
Bagi pengarah Riza Baharudin, peluang mengarahkan Bisikan Nafsu merupakan satu pengalaman besar terutama kerana ia adalah filem pertama yang diarahkan olehnya.
Menurut beliau, antara cabaran utama sepanjang penggambaran adalah menghasilkan babak mencabar yang memerlukan persediaan rapi termasuk babak di kawasan air terjun dan babak melibatkan aktiviti menyelam.
Bisikan Nafsu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober 2026.

