Tag: #ImpakMaksima2 #FilemAksi2025 #LumbaKeretaMalaysia #DrAhmadIdham #APDCREW #ZulHuzaimy #EizlanYusof #AksiGegarPawagam #FilemMelayuTerbaik

  • “Impak Maksima 2” Bakal Gegar Pawagam: Aksi Baharu, Semangat Lama Kembali Menyala!

    “Impak Maksima 2” Bakal Gegar Pawagam: Aksi Baharu, Semangat Lama Kembali Menyala!

    Selepas hampir dua dekad menyepi, Impak Maksima kembali mencetuskan gegaran dalam dunia filem aksi tanah air! Filem sekuel berjudul Impak Maksima 2 bakal menemui penonton bermula 17 Julai 2025, menjanjikan adrenalin berganda dengan aksi lumba, konflik peribadi dan pengorbanan yang lebih mendalam.

    Diarahkan oleh pengarah tersohor Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan diterbitkan oleh Screen Studio Sdn Bhd, Impak Maksima 2 membawa semangat asal filem pertama tetapi dengan skala yang lebih besar termasuk kehadiran hampir 1,000 buah kereta pelbagai jenis, menjadikannya antara filem automotif paling epik pernah dihasilkan di Malaysia.

    Gabungan pelakon asal seperti Zul Huzaimy, Dato’ Sri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar dan Riezman Khuzaimi bersama barisan bintang generasi baharu seperti Arfie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli, Fad Bocey dan Riena Amirah memberi sentuhan seimbang antara nostalgia dan pembaharuan. Lokasi penggambaran pula merangkumi Lembah Klang, Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Melaka.

    Lebih menarik, filem ini turut mendapat sokongan padu daripada penaja dan rakan strategik seperti Goodyear, Petronas Syntium, APD Crew Circuit, Ultra Racing dan HJC Helmet, selain kerjasama erat dengan agensi kerajaan seperti PDRM, DBKL, MBMB, MBIP dan MBJB memastikan penggambaran berjalan lancar dan selamat.

    Sinopsis:
    Impak Maksima 2 mengisahkan Rudy (Arfie Shah), seorang pemuda yang suka berlumba haram dan akhirnya diberi peluang kedua oleh ASP Maria (Dynas Mokhtar) untuk bekerja di pusat permotoran APDCREW milik Abang Joe (Dato’ Sri Eizlan Yusof). Di situ, Rudy mula kenal dunia sukan permotoran sebenar dan berimpian menjadi pelumba drift profesional. Namun, hubungan terlarang dengan Gia (Nelissa Nizam), kekasih Rio (Muhsin Nadzli), mencetuskan konflik besar yang membawa kepada cabaran drift paling mencabar dalam hidup Rudy satu pertarungan yang bakal menentukan masa depannya dan juga nasib APDCREW.

    Kemunculan watak Ray (Zul Huzaimy) menambahkan intensiti filem ini apabila niatnya untuk membalas dendam pada Abang Joe mula menggugat semuanya. Pertaruhan tinggi, maruah dipertaruhkan, dan hanya satu peluang untuk membuktikan siapa juara sebenar di litar.

    Filem ini turut menjadi antara judul paling tular di media sosial sejak penggambaran bermula, hasil promosi berani yang mengundang keterujaan ramai khususnya peminat filem aksi dan komuniti permotoran tempatan.

    Menurut Dr Ahmad Idham, cabaran utama adalah untuk memastikan Impak Maksima 2 tidak sekadar menjadi sekuel, tetapi karya yang mampu berdiri megah dengan naratif dan visual yang lebih segar, relevan dan dekat di hati penonton baharu mahupun lama.

    “Kami mahu bawa semangat lama ke era baharu, dengan visual moden, aksi memukau dan emosi yang lebih menyentuh. Ini bukan sekadar filem lumba – ini kisah tentang peluang kedua, persahabatan, dan harga sebuah pengorbanan,” jelasnya.

    Jangan lepaskan peluang menyaksikan Impak Maksima 2 di pawagam seluruh negara mulai 17 Julai 2025 – bersiap sedia untuk menyaksikan kelajuan, semangat dan emosi berpadu dalam satu ledakan!