Filem cereka muzikal Islamik arahan Imran Haji Ismail, terbitan Phenomena Asia At Work Sdn Bhd dan My Jannah International Production Sdn Bhd, kini telah siap sepenuhnya untuk ditayangkan kepada umum melalui skim Wajib Tayang FINAS dalam masa terdekat. Filem ini turut telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia, sekali gus membuka laluan kepada tayangan rasmi karya yang julung kali dihasilkan seumpamanya.
Menariknya, filem ini mengetengahkan konsep unik dengan mengangkat enam surah pilihan daripada Al-Quran iaitu Al-Fatihah, Al-Kahfi, Yassin, Al-Waqiah, Ar-Rahman dan Al-Mulk, yang dipersembahkan melalui lantunan murottal oleh Imam Yusuf Rebu Al-Muqri’. Pendekatan ini menjadikan ia sebagai antara karya terawal seumpamanya yang diterbitkan di Malaysia, sekali gus membawa kelainan dalam industri perfileman tempatan.
Gabungan elemen murottal yang mendalam bersama keindahan sinematik Pulau Langkawi menjadikan filem bertajuk Masterpiece – Hidden Wonders of the World ini sebagai sebuah karya yang bernilai tinggi dan sarat dengan mesej untuk ummah. Penerbitan ini diharapkan dapat memberi impak positif serta mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.

Dalam majlis berkaitan filem ini, ucapan penerbit akan disampaikan oleh Dato’ Ts. Sharin Sabu, diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengurus Besar Crowne Plaza Hotel. Seterusnya, majlis akan diteruskan dengan ucapan perasmian pra-pemasaran oleh Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS.
Acara turut menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat produksi dengan beberapa rakan strategik termasuk Yayasan MADAD yang diwakili oleh Pengerusinya Dato’ Mohd Azuan Dato’ Hj Zainol, jenama Omar Ali yang diwakili oleh Pengarahnya Tuan Sulaiman Idris, SPECTRA Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Dato’ Halim Rosman, serta RFC Holding Sdn. Bhd.

Selain itu, para tetamu akan dihidangkan dengan persembahan lantunan murottal secara langsung oleh Imam Muhammad Yusof Rebu Al-Muqri’, yang akan dipadankan dengan visual babak daripada filem sebagai salah satu sorotan utama acara. Majlis akan diakhiri dengan tayangan lagu runut bunyi (OST) filem Masterpiece berjudul Qasidah Madani.
