Karnival Jom Heboh (KJH), antara acara padang paling ikonik di Malaysia, kembali menghangatkan suasana dengan membuka tirai jelajah 2026 menerusi kolaborasi istimewa bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena sambutan ulang tahun ke-80 agensi tersebut. Bertempat di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, karnival ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 April 2026, menawarkan pelbagai aktiviti menarik, hiburan tanpa henti serta inisiatif mendekati rakyat dalam suasana santai dan meriah.
Penganjuran kali ini menjadi lebih signifikan apabila buat julung kalinya KJH berganding bahu dengan Karnival Mega JPJ MADANI, menggabungkan elemen hiburan dan perkhidmatan komuniti dalam satu platform berskala besar. Kolaborasi ini membuka peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan agensi kerajaan sambil menikmati pengalaman karnival yang dinanti-nantikan.
Lebih istimewa, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir bagi merasmikan sambutan ulang tahun JPJ ke-80 pada Sabtu, 25 April, bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook. Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi negara ini dijangka menyemarakkan lagi acara serta menambah nilai prestij kepada penganjuran tahun ini.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik anjuran JPJ menanti pengunjung, termasuk JPJ Fun Run yang menggalakkan gaya hidup sihat, inisiatif kebajikan seperti pertukaran helmet dan servis minyak hitam motosikal secara percuma, serta jualan nombor pendaftaran kenderaan eksklusif yang pastinya menjadi tumpuan peminat automotif. Turut mencuri perhatian ialah Battle of the Band yang menampilkan enam kumpulan dari institusi pengajian tinggi tempatan, di samping perhimpunan kelab permotoran, zon permainan kanak-kanak Soopa Doopa, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma serta pelbagai aktiviti kecergasan seperti Zumba Challenge dan Pound Stick Fitness.
Karnival ini turut menawarkan pelbagai pengisian mesra keluarga dengan lebih 150 reruai daripada jenama tempatan dan antarabangsa, lengkap dengan promosi eksklusif, pensampelan produk dan hadiah menarik. Antara tarikan utama termasuk Reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS) yang menampilkan pertandingan karaoke, aktiviti mewarna kanak-kanak serta Explorace Ejen Ali. Selain itu, Rumah Hantu Jom Heboh x Pewaris Susuk menjanjikan pengalaman seram yang mendebarkan, lengkap dengan sesi bertemu pelakon terkenal.

Studio Jom Heboh pula memperkenalkan segmen baharu ‘Jom Cantik’ yang mengetengahkan aspek kecantikan, keyakinan dan ekspresi diri wanita secara inklusif, di samping inisiatif kelestarian melalui aktiviti kitar semula. Tidak ketinggalan, reruai New Straits Times Press (NSTP) menerusi Dunia Kreatif NSTP menawarkan pengalaman interaktif yang menggabungkan kreativiti, literasi media dan aktiviti kekeluargaan seperti seni kraf, photobooth muka depan akhbar dan pertandingan wartawan cilik.
Kemuncak acara pastinya Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama dua malam berturut-turut, menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Dato’ Awie, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Shiha Zikir, Hael Husaini, Ara Johari dan Floor 88 yang bakal menghiburkan pengunjung dengan persembahan bertenaga. Selain itu, Love Food Fest turut menghimpunkan pelbagai vendor makanan viral dan tempatan, menjadikan karnival ini sebagai destinasi gaya hidup yang lengkap untuk semua.

Dengan kehadiran purata lebih 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi, Karnival Jom Heboh terus mengekalkan reputasinya sebagai platform komuniti yang menyatukan masyarakat pelbagai lapisan. Edisi 2026 ini dijangka memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh dengan gabungan hiburan, gaya hidup dan perkhidmatan rakyat dalam satu acara berskala besar.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026 di Stadium Negeri Batu Kawan dari 24 hingga 26 April ini dan merasai sendiri kemeriahan yang ditawarkan.


