Tag: #GoGreenMalaysia

  • Dari Komedi ke Kenderaan Hijau: Johan Kini Usahawan EV Bersama GGR Motor

    Dari Komedi ke Kenderaan Hijau: Johan Kini Usahawan EV Bersama GGR Motor

    Pelakon dan penyampai radio terkenal, Johan, melangkah ke dunia baharu keusahawanan apabila mengembangkan empayar perniagaannya ke bidang automotif hijau melalui penjualan motosikal elektrik (EV). Johan atau nama sebenarnya, Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 41, menerusi syarikat miliknya Hanania Group Sdn. Bhd., sebelum ini sudah dikenali sebagai usahawan berjaya menerusi perniagaan restoran Itik Ke Ayam?. Kini, beliau memperkukuh kedudukannya sebagai usahawan serba boleh dengan meneroka pasaran kenderaan elektrik yang sedang meningkat di Malaysia.

    Hanania Group Sdn. Bhd. kini menjalinkan kerjasama strategik bersama GGR Motor dengan pembukaan rasmi Pusat Pameran Motosikal Elektrik (EV) di bawah jenama GGR x Johan. Majlis pembukaan ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pertama antara GGR Legacy (M) Sdn. Bhd. dan Hanania Group Sdn. Bhd., menandakan permulaan kolaborasi rasmi kedua-dua pihak dalam memperkukuh pasaran motosikal elektrik tempatan. Selain itu, GGR Motor turut menandatangani MoU bersama rakan luar negara bagi tujuan eksport motosikal EV ke Thailand serta menjalin usahasama dengan pengilang di China.

    Pusat pameran GGR x Johan yang terletak di Melawati Square, Taman Melawati, Kuala Lumpur, dibuka sebagai langkah strategik memenuhi permintaan pengguna terhadap kenderaan elektrik yang semakin meningkat. Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran rakan penyampai Hot FM dan sahabat karib Johan, Khairy Jamaluddin, yang bertindak merasmikan pembukaan tersebut. Pembukaan kedai ini bukan sahaja menjadi detik bersejarah buat Johan, tetapi turut mencatat sejarah tersendiri dalam industri automotif hijau apabila beliau menjadi artis kedua menyertai keluarga GGR Motor selepas pelakon Farid Kamil pada September lalu.

    Menurut Johan, penglibatan beliau dalam industri motosikal elektrik merupakan satu langkah berani untuk terus berkembang dalam dunia perniagaan moden yang berteraskan kelestarian. Katanya, pembukaan pusat pameran GGR x Johan mencerminkan komitmen beliau untuk memperkenalkan teknologi hijau kepada masyarakat sambil menawarkan produk berkualiti tinggi dengan harga mampu milik. Turut hadir pada majlis tersebut ialah YAM Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, Rakan Strategik Professor Dr. Nizar Abd Jalil, dan Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi.

    Penandatanganan MoU ini dijangka membuka peluang luas dalam pasaran motosikal elektrik serta membuka lebih 100 peluang pekerjaan kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan anak muda. Acara ini bukan sekadar pelancaran sebuah pusat jualan, tetapi juga simbolik kepada perubahan landskap mobiliti negara ke arah penggunaan tenaga bersih dan lestari, selaras dengan dasar pembangunan hijau Malaysia. Johan percaya bahawa usahanya ini mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai selebriti dan belia tempatan untuk menceburi bidang keusahawanan berasaskan teknologi hijau.

    Motosikal elektrik keluaran GGR Motor direka untuk menawarkan gabungan prestasi dan kemudahan pengguna. Model ini dilengkapi dengan tiga mod kelajuan fleksibel – 35 km/j, 45–55 km/j, dan maksimum 70 km/j – menjadikannya sesuai untuk pelbagai situasi perjalanan sama ada di kawasan bandar atau luar kota. Bateri motosikal mengambil masa enam jam untuk dicas penuh dan tidak memerlukan penyelenggaraan enjin seperti motosikal konvensional. Kos penyelenggaraannya juga jauh lebih rendah kerana hanya komponen asas seperti tayar dan bateri perlu dijaga.

    Pelanggan turut menikmati kemudahan mendapatkan alat ganti asli di kedai rasmi GGR Motor, manakala PMH Motor selaku pengedar utama bertanggungjawab memperluas capaian pasaran serta memastikan khidmat pelanggan terbaik di kawasan utara. Dari segi penyesuaian, GGR x Johan turut menawarkan pakej tambahan seperti bateri gantian, controller dan aksesori termasuk lampu, sport rim serta pelbagai warna pilihan. Setiap motosikal dilengkapi waranti sehingga 50,000 kilometer dan syarikat turut merancang memperkenalkan model baharu dengan ciri moden dalam masa terdekat.

    Menariknya, motosikal GGR x Johan ditawarkan pada harga asal RM3,999 seunit, namun pelanggan layak menikmati rebat RM1,000 menjadikan harga jualan hanya RM2,999. Rebat ini terbuka sehingga Disember 2025 bagi individu berpendapatan tahunan di bawah RM100,000. Proses kelulusan permohonan biasanya mengambil masa antara tiga hingga lima hari, dan pembelian mesti dilakukan dalam tempoh sebulan selepas diluluskan. Semua motosikal didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan layak untuk perlindungan insurans.

    Selain itu, pemilik motosikal elektrik dua roda tidak dikenakan cukai jalan, menjadikan pemilikan kenderaan hijau ini lebih berbaloi dan praktikal. Pembukaan pusat pameran GGR x Johan bukan sahaja menandakan kejayaan baharu dalam perjalanan keusahawanan Johan, tetapi juga menyokong aspirasi Malaysia dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Langkah ini membuktikan bahawa gabungan antara hiburan, keusahawanan dan inovasi hijau mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.