Globetronics Technology Bhd (GTB) hari ini melaporkan keputusan kewangan tidak diaudit bagi suku ketiga TK2026 yang berakhir pada 31 Mac 2026. Kumpulan mencatatkan pendapatan RM16.9 juta, mencerminkan penurunan permintaan dalam sektor semikonduktor global.
Prestasi suku tersebut turut merekodkan keuntungan kasar sebanyak RM1.3 juta. Penurunan ini didorong oleh kelembapan permintaan pelanggan serta peningkatan kos operasi dan pentadbiran.
Secara kumulatif bagi sembilan bulan TK2026, GTB mencatatkan pendapatan RM59.5 juta dan kerugian selepas cukai RM29.1 juta. Tekanan industri, kos operasi yang tinggi dan perbelanjaan ESOS menjadi faktor utama kepada keputusan tersebut.
Walaupun berdepan cabaran, Kumpulan mengekalkan asas kewangan yang kukuh dengan ekuiti RM270.7 juta serta tunai RM26.0 juta. Pelaburan berjumlah RM15.1 juta juga telah dilaksanakan bagi memperkukuh kapasiti pembuatan dan teknologi.
Pengurusan GTB menjelaskan bahawa industri semikonduktor masih berada dalam fasa kelembapan kitaran, namun Kumpulan terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan strategi jangka panjang.
GTB kekal komited terhadap pembangunan teknologi, kerjasama strategik dan pengukuhan kedudukan pasaran bagi memastikan pertumbuhan mampan apabila keadaan industri kembali stabil.
Orgabio Holdings Berhad (Orgabio) melonjakkan untung bersih suku ketiganya sebanyak 192.6% kepada RM3.2 juta bagi tempoh berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM1.1 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu. Pengeluar premix minuman segera terkemuka di Malaysia ini mencatatkan prestasi luar biasa tersebut berikutan peningkatan ketara dalam aktiviti pembuatan untuk pemilik jenama pihak ketiga, di samping disokong oleh kecekapan pengeluaran yang lebih tinggi di kilang baharunya.
Sari pendapatan syarikat bagi suku di bawah kajian turut berkembang 24.26% tahun ke tahun (YoY) kepada RM34.8 juta berbanding RM28.0 juta sebelumnya. Lonjakan volum pengeluaran ini membolehkan Orgabio meraih ekonomi skala yang lebih baik, sekali gus melonjakkan keuntungan kasar sebanyak 84.11% YoY kepada RM8.0 juta. Margin keuntungan kasar Kumpulan juga berkembang kukuh kepada 22.91%, dipengaruhi oleh kestabilan harga bahan mentah dan pergerakan kadar pertukaran asing yang menggalakkan.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan yang berakhir pada 31 Mac 2026, Orgabio mencatatkan lonjakan pendapatan sebanyak 49.10% kepada RM114.6 juta, manakala keuntungan bersih selepas cukai (PAT) terkumpul melonjak 154.84% YoY kepada RM8.7 juta. Pasaran domestik kekal menjadi penyumbang terbesar dengan RM64.9 juta, manakala pasaran luar negara menunjukkan trajektori pertumbuhan yang kukuh apabila meningkat kepada RM49.7 juta, mencerminkan asas permintaan yang luas daripada pelanggan korporat global.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Orgabio, Encik Ean Yong Hien Voon menjelaskan bahawa keputusan suku ketiga ini membuktikan pengukuhan berterusan platform operasi syarikat. Walaupun pendapatan suku ke suku (QoQ) menyusut 14.57% susulan pesanan domestik yang lebih perlahan bagi segmen kopi, kecekapan pengeluaran dan kos input yang stabil membolehkan PAT melonjak 192.60% berbanding suku kedua. Seiring dengan prestasi itu, lembaran imbangan syarikat semakin mantap dengan jumlah aset mencecah RM101.0 juta, manakala jumlah pinjaman berjaya dikurangkan kepada RM7.3 juta.
Melihat prospek masa hadapan, pengurusan Orgabio mengekalkan pandangan positif terhadap pasaran pracampuran kopi dan minuman global, khususnya di rantau Asia Pasifik yang dipacu oleh trend pembandaran dan produk premium. Di Malaysia, industri ini kekal berdaya tahan dengan kelebihan negara sebagai hab pembuatan halal bertauliah. Mengambil kira peralihan trend pengguna ke arah produk bernilai tambah dan lebih sihat seperti alternatif rendah gula serta bebas tenusu, Orgabio komited untuk memacu inovasi produk demi memastikan pertumbuhan pendapatan yang mampan bagi tahun kewangan 2026.
Adnex Group Berhad (Adnex), pakar pemasangan dalaman yang baru sahaja disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, membuka tirai suku pertama berakhir 31 Mac 2026 dengan merekodkan prestasi hasil yang berdaya tahan sebanyak RM27.24 juta.
Walaupun Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) dan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) yang dilaporkan masing-masing berada pada paras RM0.80 juta dan RM0.58 juta, angka tersebut dipengaruhi oleh kos penyenaraian sekali sahaja (one-off) berjumlah RM3.06 juta. Jika perbelanjaan korporat tidak berulang itu dikecualikan, Adnex sebenarnya mencatatkan PBT Terlaras yang melonjak kekal kukuh pada RM3.86 juta, manakala PAT Terlaras mencecah RM3.64 juta.
Pencapaian PBT Terlaras ini diterjemahkan kepada margin keuntungan tersirat sebanyak 14.20%. Keupayaan mengekalkan margin yang sihat ini membuktikan kecekapan operasi Adnex, terutamanya ketika mengharungi suku pertama yang lazimnya perlahan secara bermusim akibat perayaan Tahun Baru Cina dan kitaran projek pelanggan yang lebih pendek.
Sumbangan pendapatan terbesar Adnex dipacu oleh segmen kerja pengubahsuaian dalaman syarikat yang menjana RM20.51 juta, atau bersamaan 75.31% daripada keseluruhan hasil. Sementara itu, baki RM6.73 juta (24.69%) disumbangkan oleh segmen perkhidmatan pengubahsuaian siap guna (turnkey). Secara keseluruhan, perolehan terbaharu ini menunjukkan pertumbuhan stabil sebanyak 0.37% berbanding suku sebelumnya yang berakhir 31 Disember 2025.
Berikutan prestasi operasi yang mantap ini, Lembaga Pengarah Adnex mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.50 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. Langkah ini melibatkan pembayaran keseluruhan berjumlah RM2.50 juta yang akan diagihkan kepada pemegang saham pada 10 Julai 2026.
Pengarah Urusan Adnex, En. Kan Wai Chun
Pengarah Urusan Adnex, En. Kan Wai Chun menegaskan bahawa lonjakan PBT terlaras kepada RM3.86 juta mempamerkan kekuatan dan daya tahan sebenar perniagaan teras syarikat. Menurut beliau, pasca-penyenaraian korporat ini memberi kelebihan buat Adnex untuk memburu peluang kontrak yang lebih besar, memperkasakan kapasiti operasi, dan memacu fasa pertumbuhan syarikat ke tahap seterusnya.
Kedudukan kunci kira-kira Adnex turut menyaksikan pengukuhan drastik hasil daripada suntikan dana IPO. Setakat 31 Mac 2026, jumlah ekuiti Kumpulan melonjak kepada RM35.00 juta berbanding RM17.42 juta pada akhir tahun lepas. Malah, rizab tunai dan baki bank syarikat turut meningkat kepada RM21.85 juta, sekali gus membekalkan modal pusingan yang kukuh untuk menyokong pelaksanaan projek-projek akan datang. Syarikat sebelum ini meraih hasil kasar RM18.10 juta daripada IPO untuk tujuan pengembangan perniagaan, bon prestasi, modal kerja, dan pembayaran pinjaman bank.
Melangkah ke hadapan, pengurusan Kumpulan kekal optimis terhadap prospek pasaran hiasan dan pemasangan dalaman komersial di Malaysia. Permintaan industri dijangka terus rancak didorong oleh pertumbuhan hartanah komersial dan perindustrian, selain disokong oleh kemasukan pelaburan domestik serta asing yang membawa kepada aktiviti pembukaan, penempatan semula, dan penaiktarafan ruang pejabat korporat di dalam negara.