Tag: #EraBaharuWings

  • Wings Orang Kita: Legasi Terus Hidup, Semangat Wings Menyambut Era Baharu

    Wings Orang Kita: Legasi Terus Hidup, Semangat Wings Menyambut Era Baharu

    Rumah Produksi Merah mempersembahkan Wings Orang Kita, sebuah konsert khas yang meraikan legasi, semangat dan pembaharuan kumpulan lagenda rock tanah air, Wings. Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari 2026, konsert ini dijangka menjadi malam yang sarat dengan emosi, kenangan dan pengalaman muzik bermakna buat para peminat setia yang telah bersama Wings sepanjang perjalanan seni mereka.

    Walaupun industri muzik terus berubah mengikut zaman, Wings membuktikan bahawa semangat mereka kekal utuh. Dengan kemasukan ahli baharu, kumpulan ini kini melangkah ke arah hala tuju dan konsep baharu yang lebih segar serta relevan, tanpa meninggalkan identiti asal yang menjadi tunjang kekuatan mereka sejak dahulu. Gabungan tenaga lama dan semangat baharu ini mencipta aura tersendiri, menjadikan persembahan Wings lebih matang, bertenaga dan berjiwa.

    Kemasukan barisan ahli baharu menandakan bermulanya fasa baharu buat Wings, di mana idea-idea muzik yang lebih dinamik dan “fresh” bakal diketengahkan. Seiring dengan perkembangan ini, Wings juga merancang untuk menghasilkan dan melancarkan lagu-lagu baharu sebagai kesinambungan perjalanan seni mereka, sekali gus membuktikan bahawa Wings bukan sekadar bergantung pada nostalgia, tetapi terus berkembang seiring masa.

    Konsert Wings Orang Kita dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada para peminat. Ia bukan sahaja memberi peluang kepada mereka yang terlepas menyaksikan konsert Wings 40 Tahun, malah menjadi simbol terima kasih kepada peminat yang setia menyokong dan hadir dalam konsert bersejarah tersebut. Hubungan erat antara Wings dan peminat yang digelar “Orang Kita” diraikan sebagai kekuatan utama yang menghidupkan roh kumpulan ini.

    Menambahkan keistimewaan, konsert ini turut menjanjikan beberapa elemen kejutan eksklusif yang hanya boleh dinikmati secara langsung pada malam persembahan. Walaupun melalui perubahan barisan ahli, jiwa, tenaga dan roh Wings kekal tidak pernah pudar, dipacu oleh kecintaan terhadap muzik serta sokongan padu para peminat yang sentiasa berdiri bersama mereka.