Program realiti “Raise The Star Malaysia” mungkin telah melabuhkan tirainya dengan penuh gaya, namun perjalanan para finalisnya baru sahaja bermula. Buat pertama kali, kesemua peserta akhir tampil dengan single masing-masing yang digubah oleh lima komposer ternama tanah air. Lagu-lagu ini dihimpunkan dalam sebuah EP khas terbitan Rocketfuel Entertainment, menandakan lembaran baharu dalam karier seni mereka serta memperlihatkan komitmen berterusan dalam melahirkan bintang generasi baharu industri muzik Malaysia.
Format unik yang diperkenalkan dalam “Raise The Star Malaysia” turut menjadi keistimewaan tersendiri apabila setiap peserta akhir dibimbing oleh seorang komposer terkenal yang bukan sahaja berperanan sebagai mentor, tetapi juga menggubah lagu khas untuk mereka persembahkan di pentas akhir. Lima komposer yang terlibat – Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah, dan Ikhwan Fatanna – masing-masing membawa gaya dan identiti muzik tersendiri, sekaligus melahirkan karya-karya segar yang relevan dengan trend semasa.
Muncul sebagai juara, Didie Shazry menambat hati juri dan penonton dengan lagu balada berjudul “Peganglah Hati” ciptaan Aina Abdul. Lagu ini menampilkan susunan muzik yang indah dengan sentuhan elemen nusantara di bahagian korus, menyerlahkan kehebatan vokal Didie serta emosi yang mendalam. Didie meluahkan rasa syukur atas peluang yang diberikan untuk menyanyikan lagu tersebut dan berharap ia mampu menyentuh perasaan setiap pendengar.
Naib juara pula menjadi milik Zuana yang tampil dengan lagu berjudul “Hantaran Cinta”, ciptaan Ajai. Balada ini membawa nuansa dreamy dengan vokal lembut dan penyampaian penuh perasaan, menggambarkan sisi romantik dan tulus penyanyi muda itu. Bagi Zuana, peluang untuk membawakan lagu ciptaan Ajai merupakan satu penghormatan besar dalam perjalanan kariernya.

Di tempat ketiga, Rayme menampilkan sisi berbeza melalui lagu pop “Gergasi” ciptaan Audi Mok. Dengan gabungan elemen rock dan rap, lagu ini memperlihatkan keupayaan Rayme menyesuaikan diri dengan pelbagai genre serta menunjukkan versatiliti dalam nyanyian. Baginya, “Gergasi” menjadi platform untuk membuktikan bahawa muzik pop juga boleh hadir dengan identiti yang kuat dan berbeza.
Selain tiga lagu utama daripada pemenang, EP khas ini turut memuatkan dua lagu lain yang tidak kurang hebatnya. “Lara Bertahan” nyanyian Hariz Fayahet hasil ciptaan Ikhwan Fatanna membawa sentuhan emosi yang mendalam, manakala “Cinta Dusta” nyanyian Keka ciptaan Shila Amzah tampil sebagai balada rock moden dengan elemen kontemporari. Kesemua lima lagu ini mewakili variasi genre dan gaya persembahan yang memperkayakan lagi warna muzik tempatan.
Rocketfuel Entertainment yakin bahawa penerbitan EP khas ini bukan sekadar memperkenalkan bakat baharu, tetapi juga menambah nilai dalam katalog muzik Malaysia serta memperkukuh ekosistem industri hiburan negara. Kesemua lagu yang dipersembahkan di pentas akhir kini boleh ditonton dalam versi konsert melalui saluran YouTube rasmi Rocketfuel Network.
Versi studio pula akan dilancarkan secara berperingkat di semua platform digital utama termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music. Pelancaran bermula pada 25 September 2025 dengan lagu “Peganglah Hati” oleh Didie Shazry, diikuti empat lagu lain yang akan dilancarkan setiap minggu sehingga melengkapkan EP penuh yang menghimpunkan kelima-lima buah lagu istimewa ini.
