Tag: #EkonomiDigital

  • KSIA Sediakan Studio Profesional untuk Bantu Bakat Bina Kerjaya Digital

    KSIA Sediakan Studio Profesional untuk Bantu Bakat Bina Kerjaya Digital

    KamiSempoi International Agency merancang menyediakan kemudahan studio secara sewaan kepada penstrim langsung yang belum mempunyai kemampuan untuk membina studio sendiri.

    Inisiatif tersebut mengambil kira cabaran kewangan yang dihadapi oleh individu yang mahu memulakan kerjaya sebagai penstrim langsung profesional.

    Penyediaan studio LIVE yang lengkap memerlukan pelaburan besar, khususnya untuk komputer berprestasi tinggi, kamera, kad bunyi, sistem audio dan peralatan teknikal lain.

    Ketua Pegawai Eksekutif KamiSempoi International Agency, Chin Swee berkata, individu yang mempunyai simpanan dan bajet boleh membangunkan studio sendiri.

    Namun, pihaknya mahu menyediakan pilihan kepada bakat baharu yang belum mempunyai modal mencukupi.

    “Untuk menyediakan sebuah studio LIVE yang benar-benar profesional, kosnya besar.

    “Kalau mereka sudah menyimpan dan mempunyai bajet, mereka boleh menyediakan studio sendiri. Tetapi kalau belum mempunyai bajet, kami mahu menyediakan studio untuk mereka,” katanya.

    Studio tersebut akan dilengkapi komputer, dua kamera, sistem bunyi dan keperluan asas untuk menjalankan siaran langsung.

    Langkah itu menjadikan KamiSempoi International Agency sebagai pusat sehenti yang bukan sahaja menyediakan latihan, malah menawarkan kemudahan teknikal kepada individu yang mahu membina kerjaya dalam bidang berkenaan.

    Penubuhan KamiSempoi Premier Academy turut bertujuan mengubah persepsi bahawa pekerjaan dari rumah tidak memerlukan disiplin dan sasaran.

    Chin Swee berkata, ramai individu berminat menjadi penstrim langsung tetapi tidak mempunyai panduan yang jelas.

    “Kita mahu mengubah pemikiran bahawa apabila bekerja dari rumah, seseorang itu tidak perlu mempunyai disiplin.

    “Kalau mahu menjadikannya sebagai pekerjaan tetap, kita perlu bekerja dan belajar,” katanya.

    Menurut beliau, seseorang penstrim langsung perlu mempunyai dorongan, semangat bersaing dan prestasi yang konsisten.

    Akademi itu mahu melahirkan generasi penstrim langsung yang memiliki disiplin, sasaran, daya saing dan kesungguhan untuk membina kerjaya.

    Bidang penstriman langsung juga boleh menjadi pilihan kerjaya kepada individu daripada pelbagai latar belakang, asalkan mereka mempunyai kemahiran komunikasi serta kemahuan untuk belajar.

    Calon tidak semestinya mempunyai pengalaman dalam industri hiburan kerana akademi berkenaan boleh membantu mereka membangunkan kemahiran lain yang diperlukan.

    “Kami mahu membuka peluang kepada mereka yang benar-benar mahu belajar dan bekerja.

    “Kalau ada kebolehan bercakap, berkomunikasi dan menghiburkan orang, kami boleh membantu mereka membangunkan kemahiran lain,” katanya.

    KamiSempoi International Agency mahu menjadi pusat sehenti untuk individu belajar, bekerja dan membina kerjaya sebagai penstrim langsung profesional.

    Dengan komuniti sekitar 4,300 hos di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura, agensi tersebut melihat potensi industri penstriman langsung masih sangat besar.

    Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan penstrim langsung Malaysia yang mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

    Menurut Chin Swee, perubahan tersebut tidak boleh berlaku dalam satu malam, namun usaha meningkatkan profesionalisme industri perlu dimulakan sekarang.

    Menerusi penganjuran KamiSempoi Golden Award 2025 dan penubuhan KamiSempoi Premier Academy, agensi tersebut bersedia membina generasi penstrim langsung yang lebih profesional, berkemahiran dan bersedia menghadapi persaingan global.

  • Banci Ekonomi 2026: Asas Kukuh Bagi Dasar Ekonomi Berimpak Tinggi, Liputi 300 Ribu Pertubuhan di Selangor

    Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan pelaksanaan Banci Ekonomi 2026, yang akan dijalankan di seluruh negara mulai Februari hingga Oktober 2026. Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor, dengan kehadiran lebih 300 wakil kerajaan negeri, agensi, pertubuhan perniagaan dan industri. Banci keenam yang dijalankan sejak tahun 2001 ini menjadi sumber utama statistik struktur ekonomi negara, meliputi semua sektor termasuk perdagangan borong, runcit, pembuatan dan perkhidmatan.

    Pelaksanaan banci ini bertujuan mengumpulkan maklumat menyeluruh mengenai prestasi dan sumbangan sektor ekonomi, merangkumi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pertubuhan besar serta organisasi tidak berasaskan keuntungan. Data yang dikumpul akan membantu menilai tahap produktiviti, pelaburan, peluang pekerjaan, penggunaan teknologi dan daya saing ekonomi Malaysia. Hasil banci ini juga penting dalam menyokong pembentukan penanda aras ekonomi utama seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), indeks industri dan pelbagai indikator pembangunan lain melalui proses penyusunan semula siri statistik (rebasing).

    Selangor, sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia dengan 26.2 peratus pada tahun 2024, dijangka mendapat manfaat besar daripada Banci Ekonomi 2026. Statistik yang terhasil bakal membantu kerajaan negeri menilai prestasi serta potensi industri utama, memperkukuh dasar pembangunan ekonomi dan memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif, seimbang dan mampan.

    Banci ini turut memperkenalkan Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) 2025, iaitu kerangka standard baharu bagi pengelasan aktiviti ekonomi di Malaysia yang menggantikan MSIC 2008 versi 1.0. Klasifikasi baharu ini selaras dengan perubahan landskap ekonomi global termasuk industri berasaskan inovasi, tenaga lestari, teknologi maklumat dan ekonomi digital.

    Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Banci Ekonomi 2026 merupakan “inisiatif pengumpulan data terbesar negara dalam sektor ekonomi” dan penyertaan menyeluruh komuniti perniagaan amat penting bagi memastikan ketepatan data yang dikumpul. Statistik yang dihasilkan akan menjadi asas penting kepada perancangan strategik negara, pemerkasaan industri dan pembangunan ekosistem perniagaan yang mampan.

    Banci ini akan dilaksanakan melalui empat kaedah utama — pengisian borang dalam talian (e-BE), penghantaran borang melalui pos, komunikasi e-mel atau telefon, serta temu bual bersemuka. Hasil pelaksanaan banci akan diterbitkan melalui 51 penerbitan rasmi dan enam siri laporan utama mengikut sektor ekonomi bagi memudahkan capaian dan rujukan pengguna.

    Selaras dengan agenda pembangunan nasional seperti RMK13, NIMP 2030, Ekonomi Digital, Revolusi Industri 4.0, dan SDG 2030, Banci Ekonomi 2026 akan menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh daya saing, meningkatkan produktiviti dan menarik pelaburan strategik.

    Dalam pada itu, Malaysia turut mencatat sejarah apabila menduduki tangga pertama global dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, menewaskan 198 negara lain — satu lonjakan besar daripada kedudukan ke-67 sebelum ini. Pencapaian ini membuktikan komitmen negara terhadap keterbukaan dan ketelusan data melalui platform OpenDOSM NextGen, yang menyediakan katalog data serta visualisasi interaktif di portal https://open.dosm.gov.my.

    Banci Ekonomi 2026 bukan sekadar satu inisiatif statistik, tetapi langkah strategik negara dalam menyediakan asas kukuh bagi dasar ekonomi berimpak tinggi ke arah Malaysia yang lebih berdaya tahan, progresif dan inklusif.