Tag: #DuniaFNB

  • Sebuah kisah tentang iman, rasa dan pilihan hidup bakal terhidang Februari 2026 menerusi drama “Pan Mee: Pertarungan Iman & Rasa”.

    Sebuah kisah tentang iman, rasa dan pilihan hidup bakal terhidang Februari 2026 menerusi drama “Pan Mee: Pertarungan Iman & Rasa”.

    Pelakon terkenal Adam Corrie tampil mempertaruhkan jiwa dan pengalaman peribadi menerusi sebuah drama vertikal terbaharu berjudul Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa, yang bakal ditayangkan secara eksklusif di TikTok dan Facebook rasmi beliau bermula 19 Februari 2026, jam 10.00 malam. Drama berdurasi 15 episod ini mengangkat kisah realistik dunia makanan dan minuman (F&B) di Malaysia dengan penekanan terhadap isu penerimaan saudara baharu, konflik kekeluargaan, persepsi masyarakat serta cabaran mempertahankan kejujuran dan integriti dalam perniagaan.

    Kisah ini berpusat kepada watak Ah Seng, seorang mualaf yang dilakonkan sendiri oleh Adam Corrie, yang memilih untuk membawa diri jauh daripada keluarga demi membina kehidupan baharu sebagai peniaga pan mee. Namun, perjalanan tersebut tidak mudah apabila beliau terpaksa berdepan tentangan keluarga, tekanan masyarakat serta dilema nilai dalam dunia perniagaan makanan. Konflik emosi semakin mendalam apabila Ah Seng berdepan dengan bapanya yang dilakonkan oleh Kenji Sawahii, seorang lelaki berpegang kuat pada prinsip lama dan sukar menerima perubahan hidup anaknya.

    Drama ini turut diperkukuhkan dengan barisan pelakon berpengalaman seperti Sheila Mambo sebagai Kak Wani, sahabat setia yang menjadi penyokong utama Ah Seng, serta Nam Ron sebagai Pak Long Rahman, figura yang banyak memberi pengajaran tentang kehidupan dan prinsip. Watak antagonis dan konflik perniagaan pula digerakkan oleh Jesse Lim sebagai Jason dan Izuan Razali sebagai Chef Farid, manakala kehadiran Wan Gegau sebagai juri pertandingan masakan serta pengacara memberikan sentuhan santai dan humor. Menariknya, drama ini turut menampilkan penampilan istimewa Adam Fateh Lee, anak kepada Adam Corrie, dalam satu babak khas yang menyentuh emosi.

    Antara elemen penting yang menjadi tunjang penceritaan ialah pertandingan masakan “Halal Cookdown”, simbol kepada persaingan sihat dalam dunia kulinari serta kepentingan pematuhan halal dan etika penyediaan makanan. Dari sudut produksi, Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa merupakan karya sulung arahan Adam Corrie dengan kerjasama pengarah bersama Ollyn Khadir, manakala idea asal dan penerbitan diterajui oleh Fazi Fuad. Walaupun diterbitkan khusus untuk platform digital, drama ini menampilkan standard produksi setaraf drama televisyen dengan penggunaan peralatan profesional, CGI serta sentuhan teknikal berkualiti tinggi, selain sokongan rakan strategik seperti KopiHut, Aji-Ya dan Sentai. Majlis pelancaran drama ini turut menyaksikan pengenalan produk KopiHut Kopi 3 Dalam 1, melengkapkan lagi mesej kejujuran, kualiti dan nilai kehidupan yang ingin disampaikan menerusi naskhah ini.