Menyusul kematangan muzik dan perjalanan seni yang semakin menyerlah, kumpulan indie tempatan Dukes kini tampil dengan karya kelima mereka bersama Alternate Records, berjudul Bila Kau Datang Menangis. Single ini menyorot sisi emosional dan reflektif dalam hubungan, menyentuh tema keinsafan, harga diri dan kekuatan untuk meninggalkan cinta yang tidak memberi ruang untuk dihargai.
Ditulis oleh Rayyan Razzaq dan Hazim Osman, serta digubah sepenuhnya oleh anggota Dukes sendiri, lagu ini menampilkan elemen pop rock moden yang segar dan bertenaga, namun masih mengekalkan kedalaman emosi yang kuat. Kisahnya berputar sekitar seorang lelaki yang sering menjadi pelarian buat seorang wanita hanya dicari saat berduka, tetapi tidak pernah benar-benar dihargai. Setelah sekian lama, dia bangkit dan memilih untuk tidak lagi menjadi sekadar persinggahan.
“Ramai pernah rasa jadi orang kedua dalam hubungan, dan lagu ini kami dedikasikan buat mereka. Ia bukan hanya sekadar luahan rasa, tetapi juga sebagai peringatan untuk kita semua supaya belajar menghargai diri sendiri,” kata Dukes dalam kenyataan mereka.
Menariknya, lagu ini turut menandakan kolaborasi pertama Dukes bersama Taja, anggota kumpulan Meet Uncle Hussain yang cukup dikenali dengan lagu-lagu ikonik seperti Pokok dan Lagu Untukmu. Penglibatan Taja sebagai penerbit memberikan dimensi baharu dalam susunan muzik, menambah kedalaman dan dinamisme yang lebih matang terhadap karya ini.
“Kerjasama dengan Taja banyak membuka ruang untuk kami mencuba pendekatan baru dalam penghasilan lagu. Ia mengubah cara kami menyampaikan muzik, bukan sahaja secara teknikal, tapi juga dari segi emosi. Lagu ini benar-benar membuat kami keluar dari zon selesa,” jelas mereka.
Anggota Dukes terdiri daripada Ziggy (vokalis), Rayyan (gitaris), Jimbo (gitaris), Umar (bassis), dan Cheng (dram). Dengan barisan ini, mereka terus membentuk identiti muzik yang unik dalam landskap indie tempatan dan Bila Kau Datang Menangis menjadi salah satu karya penting yang membuktikan kematangan dan hala tuju baharu mereka.
Kini boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube, lagu ini diharap mampu menyentuh pendengar yang pernah mengalami hubungan tidak setara. Ia bukan sekadar lagu cinta, tetapi sebuah pengakuan emosi – tentang keberanian melepaskan demi mencintai diri sendiri.
Untuk kemas kini terkini mengenai Dukes dan label mereka, Alternate Records, ikuti media sosial rasmi mereka di Instagram (@alternate.my_), TikTok (@alternate.rt_) dan Facebook (@alternate.my).
