Tag: #DidiAndFriends

  • Didi & Friends Ukir Sejarah: Acara Penceritaan Terbesar Kanak-Kanak di Malaysia!

    Didi & Friends Ukir Sejarah: Acara Penceritaan Terbesar Kanak-Kanak di Malaysia!

    Watak animasi kegemaran ramai, Didi & Friends, terus mencipta magis apabila berjaya mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records menerusi kategori “Penyertaan Kanak-Kanak Teramai dalam Acara Penceritaan”. Seramai 2,172 orang kanak-kanak berkumpul di MAEPS, Serdang bagi menyertai sesi bercerita secara besar-besaran, menjadikannya acara bersejarah yang luar biasa.

    Program yang diadakan bersempena Karnival Sukan Al-Kauthar Eduqids with Friends 2025 ini turut menampilkan kolaborasi erat bersama pihak Al-Kauthar Eduqids. Acara menggabungkan elemen pembelajaran, permainan, dan kebersamaan komuniti membawa suasana penuh keceriaan dan nilai murni.

    Sesi penceritaan bermula dengan kisah klasik “Arnab & Kura-Kura”, yang disampaikan oleh seorang guru, sebelum diserikan dengan persembahan khas versi Didi & Friends yang ceria dan berwarna-warni, dibawakan oleh hos bertenaga, Abang Pa’an.

    Walaupun rekod rasmi mencatatkan 2,172 penyertaan serentak, sesi-sesi tambahan diteruskan sepanjang hari melibatkan lebih 6,000 orang kanak-kanak. Secara keseluruhan, karnival ini menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung, termasuk ibu bapa dan ahli keluarga yang turut hadir memeriahkan suasana.

    Kejayaan ini juga menjadi titik permulaan kepada kempen “Didi & Friends Story Time”, inisiatif yang bertujuan menyemai minat membaca dan mencintai dunia penceritaan dalam kalangan anak kecil. Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Didi & Friends turut membuat kemunculan istimewa semasa Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang, memberikan peluang kepada peminat cilik untuk bertemu secara dekat dengan watak kegemaran mereka.

    Menurut Edison Cheam, Penolong Kanan Naib Presiden, Studio GenNext, Astro:

    “Di Astro, kami amat komited memupuk minat terhadap pembelajaran dan pembacaan dalam kalangan kanak-kanak. Melalui kandungan seperti Didi & Friends, kami ingin menyampaikan nilai-nilai positif serta membina tabiat murni yang memberi impak jangka panjang kepada generasi masa depan.”

    Pencapaian ini membuktikan kehebatan penceritaan sebagai medium untuk menyatukan komuniti, mencetuskan imaginasi, dan menginspirasikan kanak-kanak di seluruh Malaysia.

    Didi & Friends Story Time kini ditayangkan setiap Jumaat, jam 11 pagi di Astro Ceria (saluran 611), serta boleh distrim melalui Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One dengan hanya RM49.99/sebulan dan tingkatkan pengalaman menonton anda bersama Astro Fibre 500Mbps + Pek Entertainment dengan hanya RM139.99/sebulan. Untuk maklumat lanjut, layari www.astro.com.my atau WhatsApp “Hi” ke 03 9543 3838.