Apa yang berlaku apabila cinta yang diimpikan berubah menjadi perangkap penuh luka dan air mata? Inilah persoalan utama yang diangkat dalam Dia Bukan Syurga, drama bersiri terbaharu terbitan Astro yang menjanjikan paparan emosi mendalam dan mesej yang cukup relevan untuk masyarakat hari ini.
Bermula 19 Mei 2025, drama 32 episod ini akan menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104). Mengisahkan Nuha, seorang wanita yang menyangka perkahwinan adalah tempat berlindung, namun terperangkap dalam hubungan penuh penderitaan bersama suaminya, Tajul. Dalam perjalanan mencari semula dirinya, muncul Arham, lelaki yang membawa harapan baru. Lakonan mantap Ezzany Jasny, Niezam Zaidi dan Nazim Othman menjadi tunjang kepada naratif menyayat hati ini.
Dia Bukan Syurga merupakan adaptasi novel pemenang anugerah karya Rissa Ahdiya nama di sebalik kejayaan fenomena Andai Tiada Dia. Kali ini, beliau kembali menyentuh hati penonton dengan kisah yang menggambarkan dilema sebenar wanita yang terbelenggu dalam perkahwinan toksik, tetapi tetap percaya akan harapan untuk bahagia.
Arahan sutradara prolifik Rashid Sibir berjaya memberi nyawa kepada setiap babak, menjadikan penceritaan lebih kuat dan berkesan. Diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd, drama ini juga menampilkan lagu tema menyentuh jiwa bertajuk “Dalam Sujudku”, nyanyian Amira Othman, yang mengiringi perjalanan batin Nuha dengan penuh emosi.
Menurut Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Ria, naskhah ini bukan sekadar tontonan ringan, tetapi wadah penting untuk menyampaikan mesej kesedaran. “Kami ingin drama ini membuka mata masyarakat tentang pentingnya mengenali tanda-tanda hubungan yang merosakkan, dan keberanian wanita untuk bangkit mencari kebahagiaan sendiri.”
Untuk mereka yang ingin menonton secara fleksibel, Dia Bukan Syurga turut boleh distrim menerusi Astro GO dan sooka. Pelanggan juga boleh melanggan Pek Astro One serendah RM49.99/sebulan, atau nikmati pengalaman hiburan tanpa gangguan dengan pakej Astro Fibre dan Hiburan.
