Minggu kedua Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) mencipta memori manis dengan kehadiran istimewa penyanyi tersohor, Dayang Nurfaizah, yang membawakan dua lagu ikoniknya, Hakikat Cinta dan Lemah. Setelah 15 tahun tidak menjejakkan kaki ke pentas berprestij ini, Dayang kembali dengan persembahan memukau, sekaligus menyuntik semangat kepada Top 14 peserta dalam episod yang disiarkan pada Ahad lalu.
“Saya masih berasa gemuruh setiap kali berada di pentas OIAM, terutama apabila menyanyi di hadapan bakat-bakat luar biasa ini. Pesanan saya kepada para peserta, nyanyilah dengan sepenuh jiwa, nikmati momen tersebut, dan anggaplah ia sebagai persembahan terakhir anda,” ujar Dayang.
Menyentuh tentang cabaran pertandingan, Dayang turut menasihati peserta agar menjaga persiapan mental. “Era media sosial kini membawa tekanan lebih besar. Abaikan komen negatif, dan fokuslah pada memperbaiki persembahan. Meminta pendapat itu penting, tetapi jangan berlebihan sehingga ia mengganggu fokus. Pertandingan ini berlangsung setiap minggu, dan kekuatan mental adalah kunci untuk terus maju,” tambahnya.

Episod minggu kedua berakhir dengan suasana hiba apabila Trio XL, Dhania, Erfarina, dan Aniq Iffat terpaksa meninggalkan pentas. Walaupun memberikan persembahan terbaik dengan komen positif daripada juri, persaingan sengit daripada peserta lain tidak berpihak kepada mereka. Dedikasi dan bakat mereka tetap dihargai, membuktikan potensi besar dalam arena seni muzik tanah air.
Bintang minggu ini, Jimi, dinobatkan sebagai peserta paling ‘Fizz’ selepas persembahan luar biasanya dengan lagu Di Penjara Janji. Dengan vokal mantap dan gaya yang penuh keaslian, kemenangan ini melayakkan Jimi berduet bersama penyanyi tersohor Aina Abdul pada minggu hadapan, membawa cabaran baharu yang pastinya dinanti-nantikan.
Minggu seterusnya, Top 10 akan tampil dengan tema Rasa Paling Indah, menjanjikan hiburan yang menyentuh emosi dan penuh variasi. Peserta yang akan beraksi ialah Rezza Shah, Mariam, Alya Mardien, Kai Deva, Zazzleen, Marygrace, Jimi, Dayangku Iffah, Hafiz Zainal, dan Eylia Guntabid. Undian anda memainkan peranan penting dengan 40% markah ditentukan oleh peminat, sementara 60% lagi diadili oleh juri profesional.
Jangan ketinggalan menyaksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung di TV3, setiap Ahad, jam 9.00 malam, atau strim dalam HD di Tonton. Selain itu, rebut peluang memenangi PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000 untuk penonton bertuah!
Untuk sorotan eksklusif dan pengalaman peserta, saksikan Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam. Ikuti perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk terus mencipta fenomena ini.







