Tag: #DatoJamalAbdillah

  • Dato’ Jamal Abdillah Bawa Sandarkan Pada Kenangan ke Panggung Zepp KL!

    Dato’ Jamal Abdillah Bawa Sandarkan Pada Kenangan ke Panggung Zepp KL!

    Sudah lebih 40 tahun bergelar penghibur, Dato Jamal Abdillah tidak pernah berfikir untuk berhenti beraksi di pentas, meskipun telah menjayakan ribuan persembahan berskala besar dan kecil. Setiap pengalaman yang diperoleh sepanjang perjalanan kariernya sentiasa diambil sebagai sumber inspirasi untuk menghasilkan pertunjukan yang lebih bertenaga dan matang.

    Kini, beliau bersiap sedia untuk memukau peminat dengan Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari 2025. Konsert ini dianjurkan bersama oleh Live Injection dan NJ Resources.

    Menariknya, konsert ini merupakan persembahan solo perdana Jamal Abdillah untuk tahun 2025, sekali gus menunjukkan bahawa beliau masih relevan dalam belantika muzik tempatan dan sentiasa mampu menawan hati peminat. Dengan membawa tajuk lagu-lagu hitnya seperti “Sandarkan Pada Kenangan” dan “Azura”, penganjur percaya kehadiran penyanyi bersuara emas ini akan menjadikan Zepp Kuala Lumpur dipenuhi peminat yang merindui lagu-lagu nostalgia beliau.

    Dato' Jamal Abdillah

    “Sebagai penganjur, kami di Live Injection dan NJ Resources yakin bahawa kualiti dan jenama Dato Jamal Abdillah tidak akan pernah pudar selagi beliau masih aktif dalam industri seni,” kata Edy J dari Live Injection. Beliau menambah, “Pengalaman, pesona, dan koleksi lagu-lagu hit yang dimiliki Jamal Abdillah sejak awal kariernya pasti akan menjadikan konsert ini sebagai pertemuan penuh nostalgia bagi peminat.”

    Jamal Abdillah, meskipun telah mengadakan ribuan persembahan, tetap tidak mengambil mudah tanggungjawab yang diberikan oleh penganjur. Bagi beliau, setiap kali terlibat dalam pertunjukan, terutamanya konsert berskala besar seperti ini, adalah satu peluang untuk memberikan yang terbaik. Perasaan berdebar selalu ada, namun semangat dan keterujaan untuk berjumpa peminat yang sentiasa menyokong kariernya mengatasi rasa tersebut.

    Dengan rangkaian lagu-lagu nostalgia yang sangat dekat di hati peminat, seperti “Penghujung Rindu,” “Gadis Melayu,” “Kekasih Awal dan Akhir,” “Sepi Seorang Perindu,” dan “Di Sudut Kamar Hatiku,” Jamal Abdillah sudah mempunyai semua bukti yang diperlukan untuk menarik peminat hadir ke konsert ini. “Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura akan menjadi satu pengalaman berharga bagi peminat, di mana mereka dapat menikmati rendisi lagu-lagu kesayangan dalam suasana yang baharu,” ujar Jamal.

    Beliau berharap agar semua peminat yang mengetahui mengenai penganjuran konsert ini akan hadir beramai-ramai untuk menjadikan malam itu satu kenangan indah yang akan diingati. “Jangan lupa untuk hadir dengan berpakaian bertemakan era 80-an kerana kami ingin mencipta suasana yang meriah dan nostalgik,” tambahnya.

    Tiket untuk Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura sudah mula dijual, dengan harga berbeza bermula dari RM 340 hingga RM 7,500 untuk VIP BOX yang boleh memuatkan 8 orang. Pembelian tiket boleh dilakukan secara atas talian melalui TICKET2U.COM.

    Untuk maklumat lanjut mengenai konsert dan cara pembelian, sila layari laman web http://www.live-injection.com atau hubungi melalui email di hello@live-injection.com. Dengan pelbagai keunikan dan kelainan yang bakal ditonjolkan, konsert ini pastinya akan menjadi satu malam yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat setia Dato Jamal Abdillah.

    INFORMASI

    ARTIS: DATO JAMAL ABDILLAH
    ACARA: KONSERT DATO JAMAL ABDILLAH SANDARKAN PADA KENANGAN MENCARI AZURA
    TARIKH: 15 FEBRUARI 2025
    LOKASI: ZEPP KUALA LUMPUR
    PENGANJUR: LIVE INJECTION dan NJ RESOURCES
    HARGA TIKET:
    RM 360 (CAT 04)
    RM 380 (CAT 03)
    RM 340 (CAT 2)
    RM 395 (CAT 1)
    RM7,500 (VIP BOX-8 orang)
    PEMBELIAN: TICKET2U.COM

  • Konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan Bersama Dato’ Hattan dan Dato’ Jamal Abdillah

    Ramadan yang istimewa sentiasa meninggalkan kenangan dan memberikan pengajaran yang mendalam dalam kehidupan kita sebagai umat Islam.

    Kedatangan Ramadan bukan hanya sekadar ritual yang berulang, tetapi satu peluang untuk setiap orang yang beriman memeriksa tahap dan kualiti takwa yang ada dalam diri. 

    Mengambil keberkatan bulan suci itu, Berkat Budi dengan kerjasama HS Shazlicious Trading menjayakan Konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan di Royale Chulan, Seremban pada 29 Mac ini.

    Menariknya, persembahan ini menampilkan dua penyanyi legenda tanah air iaitu Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Hattan.

    Pembabitan Hattan pada persembahan kali ini pastinya menjadi tumpuan apatah lagi selepas dia mengumumkan mahu bersara daripada nyanyian pada Jun depan.

    Seperkara yang menarik perhatian juga adalah sejak kebelakangan ini Hattan dilihat memilih untuk menjayakan persembahan bersama barisan penyanyi otai seperti sebelumnya menerusi Konsert Ijmal Cinta Ramadan yang diadakan pada 23 Mac lalu.

    Hattan berkata, dia mahu berkongsi pentas dengan legenda dalam industri muzik tempatan yang dianggap sesuatu yang mengujakan.

    “Saya memang mahu berkongsi pentas bersama legenda dalam industri muzik tempatan. Ia adalah satu peristiwa yang tidak hanya menarik, tetapi juga dinantikan dengan penuh keterujaan oleh peminat setia muzik tempatan. 

    “Sesuatu yang cukup istimewa untuk dapat berkongsi pentas dengan seorang legenda dalam industri muzik tempatan. Ia pasti akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Semoga persembahan ini akan memberikan inspirasi dan kegembiraan kepada semua yang hadir menonton,” katanya.

    Berkongsi mengenai persembahan pada Konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan, Hattan berharap penonton yang hadir bukan sahaja dapat berhibur, tetapi juga memberi suntikan rohani dalam diri mereka sesuai dengan bulan suci Ramadan ini.

    “Saya berharap agar penonton dapat merasai kegembiraan yang luar biasa dan juga mendapat inspirasi rohani yang membangkitkan semangat mereka dalam bulan mulia Ramadan ini. 

    “Insya-Allah, saya bersama Dato’ Jamal bakal mempersembahkan kesinambungan muzik dengan begitu indah dalam suasana yang penuh dengan keberkatan ini,” katanya.

    Sementara itu, Jamal berharap pengisian daripada persembahannya dengan Hattan tidak hanya diterima dari sudut nyanyian semata-mata, tetapi apa yang lebih penting adalah makna Ramadan dalam diri.

    “Saya berharap agar pengisian daripada persembahan kami tidak hanya diterima dari segi kebolehan nyanyiannya semata-mata, tetapi lebih jauh lagi, agar makna Ramadan yang mendalam dapat terserap dan dihayati oleh setiap individu yang mendengarnya. 

    “Agar kita semua tahu, pentingnya untuk menyampaikan pesan keagamaan bukan saja menerusi dakwah dan ceramah, tapi juga melalui seni dan hiburan,” katanya.

    Konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan turut mendapat kerjasama daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan selaku rakan strategik. Sumbangan juga bakal diberikan kepada bekas atau balu anggota polis dan artis kelahiran Negeri Sembilan yang kurang berkemampuan.

    Tiket menerusi penjualan meja dijual pada harga RM15,000 (Table VVIP); RM12,000 (Table VIP); RM8,000 (Table Platinum); RM6,000 (Table Gold) dan RM4,000 (Table Silver). Untuk tempahan boleh menghubungi Hatta 018 223 9934 dan Shasha 019 769 5588.