Tag: #DariNegeriKePentasDunia

  • Generasi Muda Sajikan Kreativiti: Pertandingan Memasak MAGGI® Ke-28 Catat Sejarah Baharu

    Generasi Muda Sajikan Kreativiti: Pertandingan Memasak MAGGI® Ke-28 Catat Sejarah Baharu

    Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® (MSSCC) Ke-28 sekali lagi mencipta sejarah dengan penyertaan tertinggi sejak penganjurannya bermula. Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri, pertandingan tahunan ini mencapai kemuncaknya di The Campus Ampang apabila 16 peserta akhir berentap menunjukkan kemahiran dan kreativiti masing-masing dalam dunia kulinari. Pertandingan akhir ini menandakan penutup kepada dua bulan perjalanan penuh inspirasi yang melibatkan pelajar sekolah menengah dari seluruh Malaysia.

    Tema pertandingan tahun ini, “Dari Negeri ke Pentas Dunia”, menyerlahkan semangat MAGGI® dalam mengangkat warisan masakan tempatan ke tahap antarabangsa melalui sentuhan muda yang kreatif. Tahun 2025 turut mencatatkan rekod baharu dengan penyertaan 2,044 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun dari 16 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan. Daripada jumlah tersebut, seramai 866 pelajar bersaing di peringkat negeri sebelum 16 peserta terbaik dipilih ke peringkat akhir. Buat pertama kalinya juga, pertandingan ini membuka peluang kepada pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 untuk turut serta, memberikan ruang lebih luas kepada generasi muda mengasah kemahiran asas memasak, mengamalkan pemakanan seimbang dan menonjolkan bakat mereka di dapur.

    Sejak 1997, MAGGI® melalui kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia terus komited membimbing generasi muda mengenai kepentingan memasak dan pemakanan seimbang. Pertandingan ini bukan sekadar menguji kehebatan kulinari, tetapi juga mendidik pelajar tentang nilai-nilai penting seperti kerja berpasukan, disiplin, kesungguhan dan kreativiti—semuanya merupakan asas penting dalam membina masa depan yang berjaya.

    Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura, Cik Ivy Tan Link Cheh, menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan daripada pihak kementerian selama 28 tahun penganjuran. Beliau menekankan bahawa lebih 350,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada MSSCC sejak ia diperkenalkan. Menurutnya, pertandingan ini bukan hanya mengajar pelajar tentang resipi tetapi turut membantu mereka membina keyakinan diri, belajar bekerjasama dan merasai keseronokan menghasilkan hidangan seimbang yang mencerminkan kepelbagaian budaya makanan Malaysia.

    Selepas proses penilaian yang teliti, lima pasukan telah dipilih sebagai pemenang kebangsaan berdasarkan kreativiti, rasa, persembahan dan keseimbangan nutrisi. Antara yang menonjol termasuk pasangan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bemban, Melaka — Muhammad Adiy Naufal Bin Muhammad Hazrul dan Nur Muslihah Najwa Binti Hamizan — yang dinobatkan sebagai juara MSSCC 2025. Tempat kedua disandang oleh Dhiya Hanis Syamimi Binti Faizatu Afkhma dan Nur Atiqah Elisya Binti Zulfatihi dari SMK Sultan Yahya Petra 1, Kelantan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Asner Bin Asnal dan Muhammad Alfian Bin Saadon dari SM St. Mary, Sabah. Dua lagi pasukan daripada SMK Belara, Terengganu dan SMK Bandar Sibu, Sarawak turut mencatat pencapaian cemerlang sebagai finalis kebangsaan.

    Chef Sharifah dari MAGGI® menzahirkan rasa bangga terhadap semua peserta yang menunjukkan semangat dan minat mendalam dalam dunia masakan. Beliau turut memuji keupayaan para pelajar menyeimbangkan rasa tradisional dan nilai pemakanan berdasarkan prinsip “Suku-Suku Separuh” daripada Pinggan Sihat Malaysia.

    Selain pertandingan utama, ibu bapa turut berpeluang mengikuti sesi demonstrasi masakan interaktif di bawah inisiatif Nestlé for Healthier Kids yang memberi tumpuan kepada penyediaan hidangan cepat, sihat dan seimbang untuk seisi keluarga.

    Pasangan juara, Muhammad Adiy Naufal dan Nur Muslihah Najwa, berkongsi bahawa mereka menampilkan menu Grilled Duck dengan MAGGI® Percik ala Thai Sauce dan Salsa Mango yang dihidangkan bersama Garlic Bread. Hidangan tersebut diinspirasikan daripada masakan klasik Perancis, Duck L’Orange, namun diberi sentuhan tempatan seiring tema pertandingan. Mereka mengakui bahawa pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran memasak tetapi juga mengajar mereka menghargai warisan makanan Malaysia dan kepelbagaian budaya rakan-rakan dari negeri lain.

    Bagi naib juara, Dhiya Hanis Syamimi dan Nur Atiqah Elisya, mereka tampil dengan resipi Sushi Itik Percik dengan Sos Hijau yang diolah dengan pendekatan sihat menggunakan air fryer serta tambahan sayuran. Mereka berpendapat MSSCC membuka mata generasi muda bahawa makanan tradisional boleh diolah semula menjadi hidangan sihat tanpa mengorbankan rasa asal.

    Menutup acara, Cik Ivy menyatakan bahawa setiap pelajar yang menyertai MSSCC ialah juara sebenar. Pertandingan ini menurutnya mencerminkan semangat perkongsian, pembelajaran dan penciptaan bersama yang menjadi tunjang falsafah MAGGI®. Beliau berharap agar pengalaman ini menjadi titik tolak untuk para pelajar terus berkarya, bereksperimen dengan resipi baharu dan mengangkat cita rasa Malaysia ke pentas dunia.

    Maklumat lanjut tentang Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® boleh diperoleh di laman rasmi MAGGI® Malaysia melalui pautan https://www.maggi.my/ms/memupuk-generasi-muda/.