Daiyan Trisha terus membuktikan statusnya sebagai ikon fesyen dan seni tanah air apabila meraih dua kemenangan besar di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) — Anugerah Selebriti Stailo Terhangat dan anugerah tertinggi malam itu, Anugerah Melodi Terhangat.
Malam penuh gemerlapan itu menyaksikan Daiyan bukan sekadar memukau dari segi penampilan, tetapi juga dari segi pencapaian, sekali gus meneguhkan kedudukannya sebagai figura yang bukan hanya bergaya, tetapi juga berprestij dalam dunia hiburan.
Sebagai selebriti yang sentiasa menjadi rujukan gaya, Daiyan tampil dengan aura yang sukar ditandingi. Dari karpet merah hingga ke media sosial, gaya peribadinya yang elegan, berani dan autentik menjadikannya sorotan utama. “Tak perlu pun belanja mahal. Saya sendiri mula tanpa barangan berjenama, tapi saya belajar untuk kreatif dan kenal gaya sendiri,” kongsinya.
Bagi Daiyan, fesyen adalah ekspresi diri bukan sekadar trend semasa. Walaupun terikat dengan komitmen seni yang padat, minatnya terhadap dunia fesyen tetap utuh. “Saya minat untuk bersiap walaupun letih. Proses pilih baju, aksesori, sampai ke solekan semuanya memberi saya semangat,” ujarnya.
Namun Daiyan bukan hanya ratu gaya. Lebih sedekad dalam bidang nyanyian dan lakonan, beliau membina nama dengan karya yang sarat emosi dan sentuhan peribadi. Kejayaan demi kejayaan yang diraih adalah hasil ketekunan, keikhlasan dan cinta terhadap seni yang mendalam.
Di pentas AMT2025 yang mengangkat tema Sehebat Prestasi, Sehangat Sensasi dan Bakat Tersendiri, Daiyan Trisha benar-benar membuktikan bahawa dirinya adalah pakej lengkap seorang artis sejati yang menginspirasi dan mencuri tumpuan dalam setiap langkah.
Astro Shaw mengejutkan peminat filem tempatan dengan pengumuman filem terbaru mereka berjudul Wantugo, yang merupakan filem pertama di Malaysia mengangkat genre ‘Battle Royale’. Dijadualkan menemui penonton penghujung tahun ini, Wantugo bukan sekadar filem aksi biasa – ia membawa penonton menyelami kisah survival, moral, dan dilema psikologi yang sukar dilupakan. Barisan pelakonnya pula menampilkan nama-nama besar seperti Zul Ariffin, Sein Qudsi, Meerqeen, Elizabeth Tan, Sky Iskandar, Daiyan Trisha, Nia Atasha, Yusof Hashim, dan Arfie Shah.
Di sebalik tabir filem ini, berdirilah Nurhanisham Muhammad atau Labu sebagai pengarah, yang sebelum ini pernah mengarahkan drama premium X-Change. Skripnya pula hasil nukilan Ashraf Modee Zain, seorang penulis skrip yang tidak asing dalam dunia hiburan tempatan. Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw dan penerbit eksekutif Wantugo, mengakui filem ini merupakan usaha berani untuk membawakan pengalaman sinematik berbeza kepada penonton.
“Kami mahu penonton merasai debaran sebenar – seolah-olah mereka turut terperangkap dalam permainan itu,” kata Raja Jastina sambil tersenyum. Memang benar, Wantugo bukan sahaja menguji watak-wataknya tetapi turut mencabar penonton berfikir: “Apa yang saya akan lakukan jika berada di tempat mereka?”
Filem ini berkisar tentang Zak dan kumpulan rakan karibnya, ‘The Clique’, yang pada awalnya hanya mahu berseronok di sebuah taman tema terbiar. Namun, kegembiraan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka dipaksa menyertai permainan maut dikendalikan oleh seorang ‘Game Master’. Setiap pusingan permainan bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, tetapi turut menggugat kepercayaan dan persahabatan mereka.
Labu berkongsi bahawa penggambaran filem ini merupakan pengalaman yang mencabar namun sangat berbaloi. “Kami mahu adegan-adegan berbahaya kelihatan nyata, jadi banyak babak dilakukan tanpa kesan khas berlebihan. Pelakon-pelakon turut menjalani latihan intensif sebelum penggambaran bermula,” katanya. Hasilnya, penonton bakal disajikan dengan aksi mendebarkan yang kelihatan sangat autentik.
Zul Ariffin, yang memegang watak utama sebagai Zak, menyifatkan watak ini antara yang paling kompleks dalam kariernya. “Zak seorang yang kelihatan tenang, tapi dalam dirinya ada pergolakan besar. Ada babak yang buat saya terfikir lama – ‘Kalau aku betul-betul dalam situasi ini, apa aku akan buat?’” ujarnya. Daiyan Trisha pula mendedahkan dia perlu mengatasi ketakutannya terhadap ketinggian demi menjayakan beberapa babak aksi.
Menariknya, Wantugo tidak berhenti sekadar di layar pawagam. Astro Shaw merancang untuk membawa pengalaman filem ini lebih dekat kepada penonton dengan pelbagai inisiatif interaktif. Penonton berpeluang menyertai cabaran-cabaran seperti dalam filem ini, menjadikan pengalaman menonton lebih mendalam dan menyeronokkan.
“Kami mahu penonton bukan sekadar menonton, tetapi turut merasai apa yang dialami watak-watak dalam Wantugo. Harapnya ini akan mencipta kenangan yang sukar dilupakan,” tambah Raja Jastina. Dengan sinematografi yang memukau dan penceritaan yang penuh emosi, filem ini dijangka menjadi bualan hangat di kalangan peminat filem tempatan.
Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan filem ini, Astro Shaw menyediakan pelbagai kandungan menarik di media sosial. Gunakan hashtag #Wantugo di platform seperti Facebook, Instagram, X, dan TikTok untuk berhubung dengan peminat lain serta mendapatkan berita terkini.
Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman menonton Wantugo, filem yang menjanjikan aksi mendebarkan dan kisah yang menyentuh hati. Siapakah yang akan bertahan hingga ke akhir? Segalanya terjawab di pawagam hujung tahun ini.