Dunia rock tanah air dikejutkan dengan pengumuman rasmi daripada dua tonggak utama kumpulan legenda WINGS, iaitu Azmi bin Hashim atau lebih dikenali sebagai Black, dan Samsaidi bin Ulong Idris atau Eddie. Kedua-dua mereka memaklumkan keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan WINGS berkuat kuasa serta-merta pada hari ini.

Dalam kenyataan bersama, Black dan Eddie menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat dengan penuh pertimbangan dan keinsafan selepas sekian lama bersama kumpulan yang telah mewarnai industri muzik rock Malaysia selama lebih empat dekad itu. Mereka turut mengesahkan bahawa pengunduran ini bermakna mereka tidak akan terlibat dalam Konsert WINGS 40 Tahun Celebration yang dijadualkan berlangsung pada 28 November 2025 di Kuala Lumpur dan 24 Disember 2025 di Singapura.
Pengumuman ini tentunya meninggalkan kesan mendalam buat para peminat setia WINGS yang selama ini menyokong perjuangan muzik mereka sejak era 1980-an. Black dan Eddie masing-masing telah menjadi sebahagian daripada identiti serta warna tersendiri kumpulan tersebut, sama ada di atas pentas mahupun dalam rakaman studio.

Walaupun perjalanan mereka bersama WINGS kini berakhir, sumbangan dan jasa kedua-dua figura ini terhadap dunia muzik rock tanah air tetap akan dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah panjang kumpulan tersebut. Para peminat kini menantikan perkembangan seterusnya sama ada dari WINGS mahupun daripada Black dan Eddie dalam langkah mereka yang seterusnya di arena muzik Malaysia.
