Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama Neo Gendang Records mengumumkan jalinan kolaborasi rasmi yang menggabungkan dua nama besar dalam industri muzik tanah air, iaitu Edrie Hashim dan kumpulan rock wanita legenda, Candy Malaysia. Kerjasama ini berlangsung menerusi kursus APS 5123: Pengurusan Produksi Muzik yang diselia oleh pensyarah Encik Wan Mohamed Syamil bin Wan Shamsul Anuar.
Program ini dilancarkan bersempena dengan penganjuran Siri Jelajah Universiti bertemakan “PISTOL & BUNGA” yang memilih ASWARA sebagai lokasi dan universiti pertama dalam rangkaian siri jelajah di seluruh Malaysia. Tema tersebut membawa simbolik gabungan tenaga keras dan lantang muzik rock yang dilambangkan dengan perkataan “pistol”, serta kelembutan dan keindahan seni melodi yang digambarkan dengan “bunga mawar”. Edrie Hashim, selaku pengarah muzik, penerbit, penulis lirik dan gitaris kumpulan Wings, mewakili elemen “pistol” dengan pengaruhnya melalui Projek Pistol yang popular dengan lagu “Wanita Seluruh Dunia” serta penglibatannya dalam penerbitan album untuk ramai artis terkenal tanah air. Sementara itu, Candy yang dianggotai oleh Patricia Robert, Nancy Graggory, Anis Kalisa dan Bulan Terry, mewakili elemen “bunga” sebagai kumpulan rock wanita yang telah bertapak sejak 1996 dan dikenali dengan lagu popular “Akan Ku Tunggu”.
Candy yang masih aktif di pentas hiburan kini kembali mempersembahkan karya terbaru mereka berjudul “Setia2u” pada September 2024, hasil ciptaan Edrie Hashim dan diterbitkan di bawah label Neo Gendang Records. Lagu ini sekaligus memperkenalkan anggota baharu kumpulan itu dan menjadi hadiah istimewa buat peminat setia yang menantikan kemunculan semula Candy. Melalui jelajah ini, Candy bukan sahaja mempromosikan single terkini mereka tetapi juga memberikan peluang kepada generasi muda untuk lebih mengenali kumpulan yang telah memahat nama dalam sejarah muzik Malaysia.
Menurut Edrie Hashim, kolaborasi bersama Fakulti Muzik dan Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan ASWARA bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat pengalaman secara langsung dalam industri muzik. Melalui penglibatan dalam penganjuran program, pelajar berpeluang mendalami peranan sebagai pengurus produksi, pengurus pentas, pasukan promosi, pemasaran dan pelbagai aspek pengurusan acara. Selain itu, ia juga menjadi medium Edrie untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang dikumpul sepanjang lebih tiga dekad penglibatannya dalam industri muzik tanah air.

Bersempena dengan pengumuman ini, sesi ujibakat turut diadakan di Studio Rakaman ASWARA bermula jam 10 pagi hingga 3 petang. Ujibakat ini terbuka kepada semua pelajar ASWARA dan menumpukan kepada pencarian bakat baharu dalam kalangan pemain gitar, bass, drum dan keyboard. Panel juri terdiri daripada Edrie Hashim, Hafiz Shah dan Reza Mohammad. Pelajar yang berjaya akan membentuk sebuah kumpulan muzik dan diberi peluang untuk membuat persembahan bersama Edrie Hashim serta Candy pada 20 September 2025, jam 8.30 malam di Orchestra Hall, ASWARA.
Jelajah “PISTOL & BUNGA” ini bukan sekadar persembahan pentas tetapi turut menjadi wadah penghargaan terhadap sumbangan legenda rock tanah air, memperkenalkan semula muzik rock kepada generasi muda, serta menyemarakkan kembali minat pelajar terhadap budaya muzik tempatan. Ia juga menjadi platform pendedahan praktikal dalam bidang pengurusan produksi muzik, sekali gus memperkukuh reputasi akademik ASWARA melalui hubungan strategik bersama penggiat seni profesional.
Selepas ASWARA, siri jelajah ini akan diteruskan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Januari 2026, diikuti perancangan bersama beberapa universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Edrie Hashim dan Candy menzahirkan penghargaan kepada rakan media atas sokongan berterusan terhadap perjalanan seni mereka serta berharap program ini akan menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih luas antara institusi akademik dan industri muzik pada masa akan datang.


