Tag: #AMKIndie2025 #SokongMuzikTempatan #IndieMalaysia #AkuMuzikKamu #LiveInSepang #WestzoneEntertainment #CoactionMagic

  • Bukan Gagal, Tapi Ditangguh: AMK Indie 2025 Dianjak ke November Demi Nafas Baharu Muzik Tempatan

    Bukan Gagal, Tapi Ditangguh: AMK Indie 2025 Dianjak ke November Demi Nafas Baharu Muzik Tempatan

    Festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 (AMK Indie 2025), yang dijadualkan berlangsung pada Ogos ini, secara rasmi diumumkan akan dianjak ke tarikh baharu: 29 – 30 November 2025, bertempat di Sepang International Circuit.

    Menurut kenyataan rasmi penganjur bersama, Westzone Entertainment, langkah ini bukan satu penarikan diri, tetapi usaha strategik untuk menyelamatkan festival dan memastikan ia berlangsung dengan kualiti dan impak yang diharapkan. Realitinya: sambutan terhadap inisiatif muzik lokal masih belum mencukupi.

    “Kami tak batalkan kami beri masa. Festival ini dibina atas semangat cinta terhadap muzik sendiri, tapi sayangnya sambutan awal tak capai tahap yang kami perlukan,” kata Encik Aiman, Pengarah Westzone Entertainment.

    Beliau turut menambah, kurangnya sokongan terhadap artis tempatan memberi kesan besar kepada jualan tiket, logistik dan kelangsungan produksi secara keseluruhan.

    Cabaran Realiti Industri Muzik Lokal

    Keputusan ini menyerlahkan satu hakikat pedih namun penting: penganjuran festival muzik alternatif tempatan adalah satu usaha yang penuh risiko dan cabaran, lebih-lebih lagi dengan kehadiran konsert antarabangsa berskala besar serta ruang promosi yang terhad buat penganjur kecil dan artis indie.

    “Kami tahu scene ini ada peminatnya. Tapi untuk capai mereka, kami perlukan masa, strategi dan platform yang lebih kuat. Tarikh baru ini beri kami peluang untuk bina semula momentumnya,” jelas Aiman lagi.

    Janji Tetap Ditepati – Line-Up Kekal, Tiket Sah

    Walaupun tarikh berubah, barisan 21 band indie Malaysia yang dijadualkan membuat persembahan akan kekal tidak berubah. Tiket yang telah dibeli juga kekal sah, dan akan dikemas kini menjelang acara. Harga tiket masih serendah RM80, tanpa kenaikan.

    “Setiap tiket adalah pelaburan dalam masa depan muzik tempatan,” tegas pihak penganjur.

    Sokongan Peminat Penentu Kelangsungan Festival

    Penukaran tarikh ini bukan hanya soal teknikal ia adalah panggilan untuk muhasabah: adakah masyarakat benar-benar menyokong muzik tanah air? Tanpa kehadiran, tanpa pembelian tiket, festival seperti AMK Indie 2025 mungkin hanya tinggal impian.

    🎥 Siaran Langsung Penjelasan Rasmi

    Untuk menjelaskan lebih lanjut dan menjawab pertanyaan umum, pihak penganjur akan mengadakan sesi soal jawab secara langsung di platform media sosial:

    📅 Selasa, 15 Julai 2025
    🕘 Jam 8.00 malam
    📍 Di akaun rasmi: @coactionmagic

    Peminat, pembeli tiket dan rakan media dijemput menyertai sesi ini untuk mendapatkan gambaran penuh tentang hala tuju festival.

    AMK Indie 2025 belum tamat. Ia hanya berundur selangkah untuk bangkit dengan lebih besar. Tapi ia perlukan anda untuk terus hidup. 🎶