Senheng New Retail Berhad (“Senheng” atau “Kumpulan”), peruncit elektronik pengguna terbesar di Malaysia, mengumumkan bahawa semua resolusi yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan Kelima (AGM ke-5) telah diluluskan oleh para pemegang saham, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kepimpinan dan hala tuju strategik syarikat.
Mesyuarat yang diadakan di Ballroom III, Sayap Utama, Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya itu turut menjadi platform bagi pihak pengurusan berkongsi prestasi kewangan, perkembangan operasi serta perancangan masa depan Kumpulan dengan para pemegang saham.
Pada AGM tersebut, Penyata Kewangan Beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 bersama laporan Pengarah dan Juruaudit telah diterima. Para pemegang saham turut meluluskan semua resolusi termasuk pemilihan semula Pengarah, pelantikan semula BDO PLT sebagai Juruaudit dan kuasa kepada Pengarah untuk menerbitkan saham mengikut Akta Syarikat 2016.
Kelulusan turut merangkumi pembaharuan mandat sedia ada serta mandat baharu bagi transaksi pihak berkaitan berulang yang bersifat hasil atau perdagangan bagi memastikan operasi perniagaan dapat diteruskan secara cekap dan telus.
Pemilihan semula Lim Kim Heng, Lim Kim Chieng, Oh Keng Leng dan Lam Swee Kim sebagai Pengarah memperkukuhkan lagi kesinambungan kepimpinan Lembaga Pengarah dalam mengemudi Kumpulan menghadapi cabaran industri yang semakin dinamik.
Dato’ Yeow Wah Chin berkata, sokongan padu daripada pemegang saham memberikan keyakinan kepada Kumpulan untuk terus memperkukuhkan asas perniagaan, mempertingkat kecekapan operasi serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.
Lim Kim Heng pula berkata, Senheng akan terus memperkasakan model Point-Based Economy melalui ekosistem S-Coin bagi meningkatkan kesetiaan pelanggan, memperluaskan penglibatan pengguna serta mengukuhkan prestasi perniagaan omnichannel.
Beliau turut menjelaskan bahawa model tersebut direka untuk meningkatkan nilai pelanggan sepanjang hayat, menggalakkan penebusan ganjaran secara lebih berstruktur serta memperkukuhkan permintaan menerusi saluran fizikal dan digital.
Melangkah ke hadapan, Senheng akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan melalui pelaksanaan strategi yang berdisiplin, pengurusan modal yang berhemat serta inovasi berterusan dalam pengalaman pelanggan.
