Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 bakal menggamatkan Kuala Lumpur dengan pengalaman muzik yang sarat emosi, inspirasi dan penuh makna apabila ia berlangsung pada 17 Ogos 2025, Sabtu, di Mega Star Arena. Festival ini dibawakan oleh Expoindo bersama rakan penganjur tempatan Thrive, menampilkan konsep segar yang menggabungkan persembahan muzik dengan kisah-kisah inspiratif di sebalik lagu-lagu popular artis yang terlibat.
Bagi edisi kali ini, RIF menampilkan kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy, sebagai artis utama. Nama ini tidak asing bagi peminat muzik di Malaysia, terutama generasi muda, menerusi lagu-lagu hit seperti ‘Lantas’, ‘Lampu Kuning’, dan ‘Sialan’. Lagu-lagu mereka bukan sekadar hiburan, tetapi membawa mesej-mesej emosi yang dekat dengan pengalaman hidup pendengar, menjadikan Juicy Luicy antara kumpulan yang sangat diminati di rantau ini.
Menurut Expoindo, RIF bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya satu platform untuk menyemai semangat positif dan nilai inspirasi melalui muzik. Nama ‘Ruang Inspirasi’ itu sendiri melambangkan hasrat penganjur untuk menyediakan ruang di mana muzik boleh menyentuh jiwa penonton dan membawa makna yang lebih mendalam. Berbeza dengan konsert konvensional, setiap persembahan dalam RIF disertakan dengan sesi perkongsian peribadi oleh para artis mengenai perjalanan mereka dalam industri muzik. Pendekatan ini menjadikan setiap momen lebih peribadi dan bermakna untuk semua yang hadir.
Selain Kuala Lumpur, pihak penganjur turut merancang untuk membawa festival ini ke bandar-bandar utama lain di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pengaruh RIF sebagai platform serantau. Misi utama RIF adalah untuk menjadi jambatan budaya yang menghubungkan industri hiburan Malaysia dan Indonesia, di samping menyebarkan nilai positif kepada masyarakat.

Festival ini akan menampilkan dua sesi persembahan dalam satu hari – satu pada waktu tengah hari dan satu lagi pada waktu malam. Persembahan malam akan menampilkan Juicy Luicy sebagai tarikan utama, manakala senarai artis lain yang akan turut serta akan diumumkan minggu hadapan.
Tiket bagi sesi malam akan mula dijual pada 3 Julai 2025 (Khamis), bermula jam 12.00 tengah hari melalui aplikasi BBO Events dan laman rasmi ri-fest.com/kualalumpur. Harga tiket presale adalah seperti berikut: RM528 untuk kategori VVIP Seated, RM328 bagi VIP Seated, RM258 untuk Gold Seated, RM158 bagi Platinum Standing, RM128 untuk Silver Seated dan tambahan RM150 bagi pilihan Group Photo. Harga tiket bagi sesi tengah hari akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ruang Inspirasi Festival 2025 menjanjikan bukan hanya persembahan yang ‘happening’, tetapi satu pengalaman yang mendekatkan muzik dengan jiwa. Ia adalah perayaan muzik dan cerita – dan sebuah ruang untuk kita semua dihubungkan oleh inspirasi.
