Silent Teddies bakal mewakili Malaysia dalam ASEAN Inclusive Business and Social Enterprise Showcase 2025 yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 14 September di Sunway Pyramid. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, penyertaan Silent Teddies dalam pameran serantau itu menunjukkan pengiktirafan terhadap peranan perusahaan sosial tempatan.
Menurut beliau, Silent Teddies bukan sekadar sebuah bakeri yang dikendalikan oleh komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran, tetapi juga sebuah platform yang berjaya memberi peluang pekerjaan dan latihan kepada golongan tersebut. “Saya berharap Silent Teddies terus cemerlang dalam memperkasa golongan OKU dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta menjana ekonomi,” katanya.
Selain pameran jualan, ASEAN IB Forum ke-8 turut akan diadakan pada 11 hingga 12 September di Sunway Resort Hotel. Ewon menjelaskan, forum dan pameran ini penting untuk mengukuhkan jaringan antara perusahaan sosial Malaysia dengan rakan serantau, sekali gus membuka akses pasaran baharu.
Turut hadir dalam lawatan beliau ke Silent Teddies ialah Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Viviantie Sarjuni, serta Pengasas Silent Teddies, Cindy Leong.
