Mencari Kebenaran: Penyiasatan Kes Tragis Zulfahran Osman

TV3 melalui program siasatan terkenal, Fail Mahkamah, bakal menayangkan dua episod khas yang mengupas kes tragis Zulfarhan Osman secara lebih mendalam. Dokumentari eksklusif bertajuk ‘Zulfarhan: 19 Lawan 1’ ini dijadualkan bersiaran dalam dua bahagian, dengan episod pertama pada 12 Mac 2025 dan episod kedua pada 26 Mac 2025, jam 9 malam. Dokumentari ini memberikan analisis terperinci terhadap perjalanan kes dari peringkat awal sehingga keputusan di Mahkamah Rayuan.

Dokumentari ini menyajikan kronologi lengkap kejadian, punca kematian, serta proses perbicaraan yang membawa kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai 2024. Keputusan ini menyaksikan enam Orang Kena Tuduh (OKT) yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, akhirnya dikenakan hukuman gantung sampai mati. Keputusan ini mencetuskan reaksi pelbagai di kalangan masyarakat dan mengundang perbincangan hangat, terutamanya di media sosial.

Dalam episod khas ini, penonton akan didedahkan kepada bukti-bukti utama yang dikemukakan sepanjang perbicaraan, keterangan saksi penting, serta cabaran dihadapi pihak pendakwaan dalam usaha menegakkan keadilan. Selain itu, dokumentari ini turut merungkai strategi pembelaan dan bagaimana penilaian semula terhadap bukti membawa kepada perubahan keputusan di peringkat mahkamah yang lebih tinggi.

‘Zulfarhan: 19 Lawan 1’ juga menampilkan perspektif pakar undang-undang dan individu berkepentingan dalam kes ini, memberikan analisis mendalam mengenai implikasi keputusan mahkamah terhadap sistem perundangan negara. Selain itu, dokumentari ini turut menyentuh kesan emosi dan sosial terhadap keluarga mangsa, institusi pendidikan, serta masyarakat secara umum.

Dengan pendekatan yang menyeluruh dan berpandukan fakta, dokumentari ini mengajak penonton memahami kompleksiti sistem perundangan Malaysia serta cabaran dalam menegakkan keadilan dalam kes jenayah berprofil tinggi. Ia juga menjadi medan bagi masyarakat menilai semula aspek keadilan dan bagaimana keputusan mahkamah dapat memberi impak besar kepada landskap perundangan negara.

Saksikan dokumentari khas ‘Zulfarhan: 19 Lawan 1’ menerusi Fail Mahkamah pada jam 9 malam di TV3 dan strim secara langsung di Tonton melalui www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play dan App Store. Untuk perkembangan terkini mengenai program TV3, ikuti media sosial rasmi Facebook, Instagram, dan Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.