Klepet: Pengembaraan Santai Tiga Sahabat Bertukar Kecoh Gara-Gara Gadis Misteri Ukraine

Filem aksi komedi terbaharu berjudul Klepet membawa penonton menyelusuri kisah pengembaraan tiga sahabat yang bertukar menjadi huru-hara akibat kemunculan seorang gadis misteri dari Ukraine. Mengisahkan tentang Paly, Jany dan Wady yang pada awalnya hanya mahu menikmati perjalanan santai dengan menaiki kenderaan motorhome, segalanya berubah apabila kehadiran gadis bernama Lola mencetuskan pelbagai insiden tidak dijangka hingga mengheret mereka ke dalam situasi penuh kekeliruan, kekecohan dan bahaya.

Filem terbitan Wawa Global Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Indra Putra atau lebih dikenali sebagai Sanji yang mengakui tertarik untuk mengarahkan Klepet kerana keunikan jalan ceritanya serta gaya pembikinan yang berbeza daripada kebiasaan. Menurutnya, Klepet bukan sekadar filem aksi komedi biasa, sebaliknya ia menggabungkan pelbagai lapisan komedi termasuk elemen komikal, animasi dan lawak spontan yang disesuaikan dengan babak, menjadikannya segar dan menghiburkan.

Menambah tarikan, filem ini menampilkan barisan pelakon lelaki popular tanah air seperti Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar sebagai teraju utama. Turut membintangi ialah Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, Adlin Aman Ramlie serta pelakon dari Ukraine, Darina Porhun, yang membawa watak misteri dan menjadi punca utama konflik dalam kisah ini.

Aeril Zafrel yang juga bertindak sebagai penerbit menjelaskan bahawa Klepet hadir dengan kelainan tersendiri dari segi penceritaan dan pendekatan visual. Selain menawarkan hiburan untuk seisi keluarga, filem ini turut menyelitkan mesej sosial tentang erti persahabatan, pengorbanan dan kepekaan terhadap isu sekeliling. Menurutnya, matlamat utama mereka bukan hanya untuk mencetuskan gelak ketawa semata-mata, tetapi juga menyampaikan inspirasi kepada golongan muda agar menghargai nilai persahabatan dan saling menyokong antara satu sama lain.

Proses penggambaran Klepet dijalankan sepenuhnya di negeri Melaka selama 25 hari dengan kos penerbitan sebanyak RM2.6 juta. Filem ini turut mendapat bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), yang berperanan membantu melengkapkan pembikinan filem ini dengan sempurna.

Klepet dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 November 2025. Tiket kini boleh dibeli melalui laman sesawang www.tgv.com.my atau menerusi aplikasi TGV. Bagi penggemar filem aksi komedi tempatan, Klepet menjanjikan perjalanan penuh kejutan, gelak ketawa dan pengajaran tentang nilai sebenar sebuah persahabatan.