KARNIVAL JOM HEBOH JOHOR: ANGSANA JOHOR BAHRU MALL MERIAH DIHUJANI LEBIH 350,000 PENGUNJUNG!

Suasana Karnival Jom Heboh (KJH) yang diadakan di pekarangan padang A & B, Angsana Johor Bahru Mall dilihat meriah apabila dihujani lebih 350,000 pengunjung. KJH yang diadakan pada Jumaat hingga Ahad (27 – 29 Oktober) ini bukan sahaja terdiri daripada warga kota Johor, Melaka, Negeri Sembilan, malahan Singapura!

Selain daripada berhibur bersama-sama keluarga dan sahabat handai, mereka juga turut menghulurkan sokongan dan sumbangan kepada saudara-mara kita yang menderita di Palestin sepanjang 3 hari KJH ini. Terima kasih kepada pengunjung yang budiman yang telah menghulurkan sumbangan menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima. Kepada sesiapa yang berhajat untuk menghulurkan sumbangan, salurkan terus ke akaun Bank Muamalat 1401 0008 8447 15 atau Maybank 5642 7651 0331.

Pada hari kedua (28 Oktober), KJH amat berbesar hati apabila menerima kunjungan daripada Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman; Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Yusof Bin Haji Othman, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Encik Mohd Hairi Mad Shah; diiringi oleh Ketua Pegawai Operasi, Media Prima OMNIA, Datuk Efendi Omar; Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios dan barisan pengurusan kanan Media Prima.

Reruai Studio Tonton Drama Sangat menjadi tempat tumpuan ramai kerana tarikan pelbagai pertandingan yang disediakan seperti Pertandingan Tarian Zapin Kreatif dan Pertandingan Kostum Tradisional Kanak-Kanak. Pertandingan sebegini secara tidak langsung membuka mata pengunjung luar dari Johor tentang keunikan tradisi budaya seni Negeri Johor. Pertandingan Tarian Zapin Kreatif dijuarai oleh Kumpulan Gemalai Tari Majidi Cilik dan sekaligus berjaya membawa pulang hadiah sebanyak RM3,000! Sementara juara bagi Pertandingan Kostum Tradisional Kanak-kanak dimenangi oleh adik Cinta Suci Indah Purmila dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300.

Kemunculan selebriti popular tanah air di Studio Tonton Drama Sangat selama tiga hari berturut-turut ini juga memberi peluang kepada pengunjung beramah mesra bersama selebriti yang menghiasi slot drama di TV3, TV9  dan Tonton seperti Afifah Nasir (Samarinda: Haloba), Ummi Nazeera (Samarinda: Surat Dari Tuhan), Wani Kayrie (Lestary: Melastik Ke Hatimu 2), Sherry Ibrahim (Samarinda:Haloba), Sharifah Sakinah (Tonton: Pendamping), Wanna Ali (Akasia: Bukan Sekadar Lafaz), Ahmad Idham (Akasia: Bukan Sekadar Lafaz), Cef Naem (TV9: Dapur Tempur Selebriti), Michael Ang (TV9: Dapur Tempur Selebriti), Achey (TV9: Dapur Tempur Selebriti) dan ramai lagi.

Walaupun hujan renyai pada hari kedua dan ketiga, ia tidak menghalang pengunjung untuk sama-sama memeriahkan acara kemuncak iaitu Konsert Jom Heboh! Konsert yang dihoskan oleh Kai Hassan dan Aisha Mazlin (penyampai radio MolekFM dan HotFM) telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Apatah lagi dengan kemunculan penyanyi-penyanyi hebat tanah air di kedua-dua malam konsert seperti Wany Hasrita, Shiha Zikir, Sofazr, Kmy Kmo & Luca Sickta, Lan Solo, Killa Driz dan Ismail Izzani pada malam konsert pertama. Sementara malam konsert kedua (29 Oktober) seperti Zarul Umbrella, Stacy, Nabila Razali, Zizi Kirana, Akim Ahmad, Naim Daniel dan Estranged.

Menarik kali ini, KJH turut memperkenalkan Sukaneka Janji Happy yang dianjurkan oleh TV9 adalah antara aktiviti yang paling heboh di hari terakhir (29 Oktober) KJH Johor. Studio Tonton Drama Sangat dipenuhi gelak ketawa melihat gelagat artis seperti Chef Naem, Achey, Michael Ang, Wanns Ahmad, Ummi Nazeera dan Ziha Salleh.berinteraksi bersama pengunjung. Pelbagai hadiah misteri dari TV9 menjadi milik pengunjung yang sudi meluangkan masa serta tenaga bersama-sama menjayakan acara Sukaneka Janji Happy.

Karnival Jom Heboh akan melabuhkan tirainya di lokasi terakhir iaitu di Kuching, Sarawak! Untuk mengetahui tarikh dan tempat diadakan, layari laman sesawang www.jomheboh.com.my dan ikuti laman sosial rasmi di Facebook dan Instagram di @jomhebohofficial untuk maklumat informasi terkini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *