Industri fesyen sering kali berdepan cabaran dalam menyediakan pilihan pakaian yang sesuai untuk semua golongan, terutama bagi mereka yang bersaiz besar. Walaupun semakin banyak jenama fesyen kini menyedari keperluan untuk menawarkan pelbagai saiz, pilihan yang berkualiti dan bergaya bagi mereka yang memerlukan pakaian bersaiz besar (plus size) masih terhad.
Memahami keperluan ini, IzzelisLuxe tampil dengan rekaan khas untuk wanita bersaiz besar yang bukan sahaja bergaya tetapi juga menepati prinsip syariah. Jenama ini membawa misi untuk membuktikan bahawa fesyen bukan hanya hadir dalam satu saiz.
Di sebalik kejayaan ini ialah Izzati Rozeli, atau lebih dikenali sebagai IzzRoz, seorang wanita berusia 28 tahun yang pernah menjawat jawatan Pengurus Kewangan selama tujuh tahun sebelum mengambil keputusan besar untuk mengejar impiannya dalam dunia fesyen.
“Saya sendiri sebagai wanita bersaiz besar sering menghadapi kesukaran mencari pakaian yang selesa, berkualiti, dan dalam masa yang sama bergaya serta mematuhi syariah. Oleh itu, saya ingin membawa perubahan melalui IzzelisLuxe,” kata IzzRoz.
Mesej utama jenama ini, “Love Your Look, Love Your Size” adalah refleksi kepada misi IzzelisLuxe untuk mengembalikan keyakinan kepada wanita bersaiz besar. IzzRoz percaya bahawa setiap wanita berhak merasa cantik dan yakin, tanpa mengira saiz mereka.
Pengalaman peribadi IzzRoz menjadi pemangkin kepada lahirnya jenama ini. “Saya pernah mengalami perasaan rendah diri dan kurang keyakinan akibat saiz badan saya. Disebabkan itu, saya mahu membantu mereka yang menghadapi situasi sama agar dapat tampil yakin dan bergaya,” tambahnya.
IzzelisLuxe mula beroperasi pada 11 November 2024 dan mendapat sambutan hangat daripada pelanggan. Selain menawarkan pelbagai rekaan baju, IzzRoz turut menyumbangkan kreativiti dengan menghasilkan reka bentuk dan corak eksklusif untuk koleksi IzzelisLuxe.
Bermula Januari 2025, IzzelisLuxe juga akan menyumbang kepada Pusat-Pusat Dialisis di Selangor dengan menyisihkan RM5 daripada setiap pembelian untuk membantu pesakit mendapatkan keperluan rawatan. Keputusan ini terinspirasi daripada pengalaman peribadi IzzRoz, yang ibunya sendiri adalah pesakit dialisis.
“Saya memahami cabaran yang dihadapi oleh pesakit dialisis, termasuk kos rawatan yang tinggi. Saya mahu menyumbang untuk meringankan beban mereka, di samping menggalakkan pembeli kami berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Dengan matlamat untuk membuka minda masyarakat tentang hak wanita bersaiz besar untuk kelihatan cantik dan bergaya, IzzRoz yakin bahawa IzzelisLuxe mampu membawa perubahan positif dalam industri fesyen.
“Impian saya adalah menjadikan IzzelisLuxe sebagai jenama utama untuk wanita plus size yang yakin dan bergaya. Saya harap usaha ini diterima baik oleh masyarakat dan dapat melangkah lebih jauh dalam pasaran,” katanya mengakhiri perbualan.
IzzelisLuxe kini berada di landasan yang tepat untuk mencipta revolusi dalam dunia fesyen, memberi peluang kepada wanita bersaiz besar untuk tampil penuh keyakinan dan gaya.