Isteri Masa Depan: Kisah Romantik Antara Waktu

Selepas mencatat kutipan box office melebihi USD 9 juta serta meraih lebih tiga juta penonton di pawagam Indonesia, filem romantik fantasi “Sore: Istri dari Masa Depan” kini bersedia menawan layar perak Malaysia. Filem ini turut terpilih sebagai wakil rasmi Indonesia ke Academy Awards ke-98 bagi kategori Best International Feature Film.

Primeworks Studios, sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, membawa naskhah istimewa ini khas buat peminat filem di Malaysia dengan tayangan bermula pada 25 September 2025 di pawagam seluruh negara. Filem ini diterbitkan oleh Cerita Films di bawah pimpinan Suryana Paramita dan diarahkan oleh Yandy Laurens. Barisan pelakon hebat yang membintangi karya ini termasuk Dion Wiyoko, Sheila Dara Aisha, Goran Bogdan, Lara Nekic, Livio Badurina, Maya Hasan dan Mathias Muchus.

“Sore: Istri dari Masa Depan” mengisahkan Jonathan, yang dikejutkan dengan kemunculan seorang wanita asing bernama Sore yang mendakwa dirinya sebagai isteri Jonathan dari masa depan. Sore mempunyai satu tujuan iaitu mengubah gaya hidup Jonathan sebelum segalanya terlambat. Namun apabila rahsia masa depan terbongkar, perjalanan mereka digoncang oleh sesuatu yang tidak disangka-sangka. Filem ini menimbulkan persoalan apakah usaha Sore benar-benar mampu mengubah hidup Jonathan.

Filem ini diadaptasi daripada webseries popular dengan judul sama dan bukan sekadar pengulangan, sebaliknya tampil dengan skala lebih megah, emosi lebih mendalam, serta sentuhan sinematik yang lebih berani. Yandy Laurens menjelaskan bahawa filem ini lahir daripada perenungan peribadi selepas beliau berumah tangga dan dikurniakan dua anak. Ia mencerminkan erti cinta tanpa batas dan mesej tentang kesempatan kedua yang universal.

Selain jalan cerita yang mendalam, filem ini mempersembahkan sinematografi yang memukau, membawa penonton menjelajah tiga dunia berbeza iaitu Jakarta, Croatia dan Finland melalui hamparan ais yang membeku, panorama aurora dan mentari senja, serta landskap desa Eropah yang mempesona. Kontras visual ini bukan sahaja memperkukuh jalan cerita, malah menghidupkan romansa fantasi yang melintasi ruang, masa dan sempadan.

Kedalaman emosi filem ini turut diserlahkan melalui runut bunyi utama Terbuang Dalam Waktu nyanyian kumpulan rock alternatif Indonesia, Barasuara, yang menjadikan pengalaman menonton lebih intim dan sukar dilupakan. Kenangan Coffee mengumumkan kerjasama eksklusif sebagai rakan promosi rasmi bagi filem yang dinanti-nantikan ini.

“Sore: Istri dari Masa Depan” kini berada pada kedudukan keenam tertinggi kutipan di Indonesia tahun ini dan bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 September 2025. Filem ini mengangkat tema cinta, takdir dan pengorbanan, menimbulkan persoalan tentang apa yang akan diubah dalam hidup jika diberi kesempatan kedua. Penonton boleh mengikuti perkembangan terkini dan kandungan eksklusif mengenai filem ini melalui Facebook, Instagram, X dan YouTube Primeworks Studios.