IDEA Live Arena Bakal Bergetar Dengan Aksi RadjaWali 10 Januari 2026

Dua kumpulan muzik tersohor dari Indonesia, Radja dan Wali, bakal bersatu dalam satu pentas megah menerusi konsert “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” yang akan berlangsung pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya.

Nama “RadjaWali” sendiri membawa simbolik yang unik – gabungan dua kuasa besar muzik Nusantara yang masing-masing mempunyai legasi tersendiri serta pengikut setia di Malaysia. Konsert ini dijangka menjadi malam yang luar biasa, menampilkan persembahan bertenaga dan penuh emosi, sekali gus menggamit nostalgia buat para peminat setia kedua-dua kumpulan.

Bagi peminat Radja, lagu-lagu ikonik seperti “Jujur”, “Tulus”, “Bulan” dan “Cinderella” pastinya akan mengembalikan kenangan manis era kegemilangan muzik pop rock mereka. Sementara itu, kumpulan Wali pula akan menghiburkan “Para Wali” dengan deretan lagu hits mereka termasuk “Cari Jodoh”, “Baik-Baik Sayang”, “Yunk”, “Doaku Untukmu Sayang” dan “Tomat (Tobat Maksiat)”.

Radja yang ditubuhkan pada tahun 2001 di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, dianggotai oleh Ian Kasela selaku vokalis, Moldy di posisi gitar utama, Indra Riwayat di bahagian bass, dan Seno Aji Wibowo sebagai pemain dram. Membawa aliran pop rock dan rock melayu moden, Radja tidak menyembunyikan rasa teruja mereka untuk kembali ke Malaysia selepas sekian lama.

“Malaysia selalu dekat di hati kami dan kami tidak pernah melupakan peminat di sini. Ia satu impian yang menjadi kenyataan apabila kami diundang untuk beraksi semula di Malaysia. Kami janji akan berikan persembahan terbaik buat semua yang hadir,” ujar Radja penuh semangat.

Kumpulan Wali pula yang ditubuhkan pada tahun 1999 di Ciputat, Tangerang Selatan, dianggotai oleh Faank selaku vokalis utama, Apoy sebagai pemain gitar dan komposer, Ovie di bahagian keyboard, serta Tommy di posisi dram. Dengan genre muzik berteraskan pop, pop rock, pop religi dan pop melayu, Wali terus kekal sebagai antara kumpulan paling digemari di rantau Asia Tenggara.

“Syukur… Malaysia ibarat rumah kedua kami. Kami sentiasa dirindui oleh peminat di sini — begitu juga kami yang merindui sambutan mesra dan juadah enak di Malaysia. Untuk konsert kali ini, kami akan tampil dengan persembahan yang berbeza daripada sebelumnya,” kata kumpulan Wali ketika ditemui.

Konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia ini dianjurkan oleh Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events, dengan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) sebagai penganjur bersama. Tiket kini mula dijual menerusi platform Fantopia.io dan boleh dibeli dengan lebih mudah melalui ShopeePay.

Konsert ini akan berlangsung pada 10 Januari 2026 (Sabtu) di Idea Live Arena, Petaling Jaya, menampilkan persembahan eksklusif daripada Radja dan Wali secara langsung. Peminat yang ingin menyaksikan persembahan bersejarah ini disarankan mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.