FELDA Serah Pelan Strategik & Hala Tuju 2025-2030: Misi Memperkasa Masa Depan

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini mengumumkan penyerahan rasmi Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030, selari dengan saranan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, semasa Majlis Berbuka Puasa FELDA pada 26 Mac lalu. Pelan ini menjadi peta jalan utama dalam memperkukuhkan FELDA sebagai pemacu ekonomi negara, terutamanya di kawasan luar bandar.

Pelan ini memperincikan strategi dan pelan tindakan yang dirancang teliti bagi membina ekosistem pembangunan yang progresif untuk semua pemegang taruh. Pengurusan FELDA menegaskan komitmen penuh dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan dedikasi tinggi, demi kesejahteraan dan kemajuan berterusan Kumpulan FELDA.

Dirangka menerusi enam sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan, pelan ini memberi tumpuan kepada pelbagai bidang strategik, menandakan pendekatan inklusif dalam merangka masa depan FELDA. Ini termasuk pembangunan lestari, inovasi pertanian, keusahawanan komuniti dan peningkatan taraf hidup peneroka.

Dengan penyerahan pelan ini, FELDA memperlihatkan kesungguhan untuk bergerak seiring dengan aspirasi nasional, membina sebuah FELDA yang lebih berdaya saing, moden dan mampan menjelang tahun 2030.

FELDA mengajak semua pihak – termasuk warga peneroka, komuniti FELDA, serta sektor awam dan swasta – untuk bersama-sama mendukung misi ini, memastikan kejayaan pelan strategik ini demi generasi hari ini dan akan datang.