Eira Syazira & Nabila Maharani Bergabung Suara Dalam “Bawang Merah Bawang Putih”

Dua nama besar dari Malaysia dan Indonesia, Eira Syazira serta Nabila Maharani, tampil bersatu dalam single terbaru berjudul Bawang Merah Bawang Putih. Lagu ini dilancarkan serentak hari ini di semua platform digital utama termasuk saluran rasmi YouTube Trisna Music, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama seni antara dua negara serumpun.

Single bergenre pop ini mendapat sentuhan kreatif penuh daripada Trisuaka selaku pencipta lagu, manakala susunan muzik diolah oleh Ardy Goliath. Proses rakaman berlangsung di Studio Trisna Music, Jogjakarta, menandakan kolaborasi antara pemuzik Malaysia dan Indonesia yang membawa nilai artistik tersendiri.

Projek ini dijayakan dengan kerjasama dua syarikat hiburan serantau, iaitu ES Arjuna Management dari Malaysia dan Positif Art Entertainment dari Indonesia. Kesepakatan ini bukan sahaja menzahirkan kerjasama profesional, malah memperkukuh hubungan budaya serta seni Nusantara yang semakin berkembang.

Lebih istimewa, keseluruhan projek termasuk penghasilan lagu dan video muzik mendapat tajaan penuh daripada Candyta, jenama penjagaan rambut yang kian mendapat tempat di hati pengguna. Selain itu, usaha promosi single ini turut diperkasakan dengan sokongan daripada Batik Air, Le Méridien Putrajaya, Kaki Jersey serta Perabot Jati Awish.

Video muzik Bawang Merah Bawang Putih yang turut dirakam di Jogjakarta menampilkan kisah klasik penuh emosi. Naratifnya menggambarkan watak Bawang Putih yang sering diperlakukan tidak adil oleh ibu serta adik tirinya, sebelum kemunculan seorang putera berkuda yang hadir sebagai penyelamat. Visual sinematik yang dipaparkan memberi dimensi baharu terhadap kisah dongeng ini dan dijangka mampu menyentuh hati penonton.

Eira Syazira bukanlah nama asing dalam industri hiburan Malaysia. Beliau mula dikenali sejak awal 2000-an sebagai pelakon, penyanyi dan personaliti televisyen dengan pelbagai drama dan filem popular. Dalam bidang nyanyian, beliau pernah merakamkan beberapa single seperti Say, Kau Yang Ku Sayang dan Jebakan yang berduet bersama Dodhy Kangen Band. Di samping itu, Eira juga bergelar usahawan sebagai pengasas jenama penjagaan rambut Candyta, menjadikannya ikon serba boleh dalam dunia seni dan keusahawanan.

Nabila Maharani pula merupakan penyanyi muda berbakat dari Indonesia yang mula mencuri perhatian melalui kolaborasi bersama Tri Suaka. Nama mereka melonjak selepas persembahan jalanan di Yogyakarta tular di media sosial dengan lagu-lagu popular seperti Bila Nanti dan Ayang yang meraih jutaan tontonan di YouTube. Dengan vokal merdu serta penyampaian yang penuh emosi, Nabila kini menjadi antara penyanyi generasi baharu paling berpengaruh di Indonesia, Malaysia dan seluruh Nusantara.

Menurut wakil pengurusan projek, Azad Jazmin, kolaborasi ini bukan sahaja mempertemukan dua suara hebat dari dua negara tetapi juga berfungsi sebagai jambatan budaya yang menyatukan Malaysia dan Indonesia melalui muzik.

Single Bawang Merah Bawang Putih kini boleh dinikmati di semua platform digital bermula 9 September 2025. Para peminat muzik di kedua-dua negara serta rantau serantau diseru untuk sama-sama meraikan momen bersejarah ini.