Melihat sambutan hangat daripada peminat terhadap Konsert Inul Daratista Live In Malaysia yang bakal berlangsung pada 6 Disember depan, pihak penganjur tampil dengan idea baharu untuk menyemarakkan lagi kehangatan acara tersebut. Menyedari kekurangan pelapis baharu dalam dunia dangdut tempatan, langkah ini diambil bagi mengembalikan semula aura dan keunikan irama dangdut yang semakin jarang diketengahkan oleh generasi muda.
Menurut Pengarah Urusan Fajar Baiduri Empire, Khairul Isma, idea tersebut tercetus selepas mereka menerima pelbagai maklum balas positif daripada peminat sebaik sahaja pengumuman konsert dibuat. Ramai yang bukan sahaja teruja menantikan persembahan Inul, malah mencadangkan agar pihak penganjur turut mencari bakat baharu untuk diketengahkan dalam industri dangdut tanah air.
“Kita menerima maklum balas yang amat baik daripada peminat yang tidak sabar menantikan konsert ini. Ada yang mencadangkan supaya kami mencungkil bakat baharu, dan maklum balas seperti inilah yang mendorong kami untuk menganjurkan satu pertandingan khas bagi mencari pelapis muzik dangdut,” ujar Khairul Isma.
Selain penampilan eksklusif Inul Daratista, konsert yang bakal berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang itu turut menampilkan dua nama besar dangdut tanah air, Amelina dan Baby Shima, yang bakal menghangatkan lagi suasana malam tersebut.
Sebagai usaha melahirkan penyanyi baharu dalam genre ini, Fajar Baiduri Empire memperkenalkan pertandingan Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025. Pertandingan ini bukan sahaja memberi ruang kepada bakat muda untuk menyerlah, malah menawarkan peluang besar kepada juara untuk menjadi artis rakaman selain membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500. Tempat kedua akan menerima RM1,000 manakala lima finalis lain bakal membawa pulang RM700 setiap seorang. Pertandingan ini dijadualkan berlangsung di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Khairul Isma menambah bahawa semakin kurang penyanyi baharu yang berani merakamkan lagu dangdut, walhal genre ini masih mempunyai kelompok peminat yang kuat dan setia. Beliau berharap pertandingan ini dapat membuka peluang kepada individu yang berani menyahut cabaran untuk menjadi pelapis generasi seterusnya.
“Platform sudah tersedia, jadi jangan sia-siakan bakat yang ada. Kami mengalu-alukan penyertaan daripada semua yang ingin menghidupkan kembali irama dangdut tempatan. Kepada warga Pulau Pinang dan kawasan sekitar, jangan lupa daftar penyertaan anda sebelum 8 November ini,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan sambutan terhadap konsert yang bakal menampilkan ratu dangdut Indonesia, Inul Daratista, yang hampir dua dekad tidak membuat persembahan di Malaysia. Sambutan ini menunjukkan bahawa irama dangdut masih mempunyai tempat di hati peminat tempatan.
“Ini masa yang dinantikan untuk mengubat rindu kepada Inul. Kami menjemput semua untuk bersama-sama menikmati persembahan beliau bersama Amelina dan Baby Shima. Bagi yang berbakat pula, sertailah pertandingan Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025. Mari kita bersama-sama melestarikan industri muzik tanah air,” tambahnya lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025, orang ramai boleh melayari laman sosial rasmi Suara Space.
