Author: Farihin Azlan

  • Satu Perjalanan Jiwa Bersama Black Hanifah Dalam “Hadirmu Ramadhan”

    Satu Perjalanan Jiwa Bersama Black Hanifah Dalam “Hadirmu Ramadhan”

    Lagu “Hadirmu Ramadhan” lahir daripada rasa kerinduan dan kesyukuran terhadap kehadiran bulan Ramadan. Karya ini menggambarkan bagaimana Ramadan menjadi ruang untuk manusia mencari ketenangan jiwa, keinsafan diri, serta membina hubungan yang lebih erat dengan Tuhan. Menurut komposer dan penulis lirik bersama, Nyawablack (Black Hanifah), yang juga terlibat sebagai penyanyi, lagu ini bersifat reflektif, lembut, dan penuh harapan, sesuai didengari sebagai peringatan halus tentang makna sebenar Ramadan — bukan sekadar bulan perayaan, tetapi bulan muhasabah dan penyucian jiwa. Penyanyi popular Hazama turut menyumbang idea dalam penulisan lirik dengan nama pena Kadok.

    Inspirasi utama “Hadirmu Ramadhan” tercetus daripada suasana Ramadan itu sendiri — kenangan malam-malam sunyi, doa yang sarat kesyahduan, serta rasa rindu yang hadir setiap kali bulan mulia ini menjelma. Lagu ini turut diinspirasikan daripada pengalaman peribadi Black melihat bagaimana Ramadan mampu melembutkan hati manusia, walaupun seketika, namun meninggalkan kesan mendalam dan penuh makna.

    Proses penulisan lagu ini bermula dengan melodi yang menenangkan sebelum lirik disusun secara berperingkat. Setiap bait lirik dirangka dengan teliti agar mesej dapat disampaikan secara jujur tanpa berlebihan. Liriknya digambarkan sebagai dialog seorang insan dengan Tuhannya, lahir daripada suara hati yang penuh keinsafan dan kejujuran. Kolaborasi antara Nyawablack dan Kadok pula berlaku secara spontan; ketika demo lagu didengar Hazama, perbincangan santai tentang lirik membuka ruang untuk penambahbaikan supaya selari dengan emosi dan melodi lagu. Gabungan idea ini menghasilkan “Hadirmu Ramadhan” sebagai karya yang lebih seimbang dan berjiwa.

    Cabaran utama dalam penghasilan lagu ini adalah memastikan ia kekal ikhlas dan tidak klise, kerana lagu bertemakan Ramadan mudah terdedah kepada pengulangan tema. Cabaran lain termasuk menyampaikan mesej yang dekat dengan pendengar tanpa terasa terlalu berat atau terlalu ringan. Dari segi tempoh penghasilan, lagu ini mengambil beberapa minggu untuk disiapkan sepenuhnya, merangkumi penulisan lirik, susunan muzik, dan rakaman, meskipun idea asal tercetus sejak setahun lalu.

    Keistimewaan “Hadirmu Ramadhan” terletak pada pendekatan peribadi dan introspektifnya. Lagu ini tidak sarat dengan elemen perayaan, sebaliknya menekankan rasa rindu, muhasabah diri, serta pencarian makna Ramadan dalam diri setiap insan. Secara tersirat, karya ini menyampaikan mesej tentang peluang kedua. Ramadan digambarkan sebagai tetamu yang hadir membawa cahaya, mengajak manusia memperbaiki diri, memaafkan, dan kembali kepada fitrah, sebagai rahmat yang tidak seharusnya disia-siakan.

    Lagu “Hadirmu Ramadhan” boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital mulai 24 Februari 2026, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada 20 Februari 2026, jam 3 petang.

  • Ratu Rock Ella Cipta Momen Bersejarah Yang Tidak Terlupakan

    Ratu Rock Ella Cipta Momen Bersejarah Yang Tidak Terlupakan

    Malam semalam terpahat sebagai salah satu detik paling bersejarah dalam landskap muzik tanah air apabila 55,000 peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan “Majlis Tertinggi Rockqueen”, sebuah perhimpunan agung muzik yang meraikan legasi Ella sebagai Ratu Rock Malaysia. Dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Rockqueen, konsert mega ini melangkaui definisi hiburan biasa apabila ia tampil sebagai manifesto ‘Peace, Love & Rindu’ yang menyatukan generasi, emosi dan jiwa peminat dari pelbagai latar usia.

    Konsert dibuka dengan sentuhan dramatik menerusi persembahan 30 koir kanak-kanak sebelum kemunculan Ella tepat jam 8.30 malam dengan lagu “Rama Rama” yang menggegarkan stadium. Sorakan bergema menjadi deklarasi tidak rasmi bahawa takhta Ratu Rock kekal utuh, disokong sepenuh hati oleh ribuan peminat yang setia sejak era awal kariernya hingga kini.

    Berlangsung lebih tiga jam tanpa henti, Ella mempersembahkan 35 buah lagu yang membentuk perjalanan seni luar biasa, termasuk karya ikonik seperti “Baldu Biru”, “Dua Insan Bercinta”, “Layar Impian” dan “Peace Love Rindu”. Kemuncak emosi tercipta apabila “Standing In The Eyes Of The World” dinyanyikan secara beramai-ramai, diiringi piano oleh pencipta asalnya serta visual yang menyatukan muzik dan semangat kebangsaan, menjadikan stadium seolah-olah satu suara dan satu jiwa.

    Keistimewaan malam bersejarah ini turut diserlahkan dengan penampilan artis jemputan seperti Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan The Boys, selain kemunculan mengejut Amy Search dan Joe Flizzow yang mencetuskan sorakan luar biasa serta menjadi antara momen paling tular. Segmen penghormatan kepada legenda Datuk Ramli Sarip dan Dato’ M. Nasir pula menghubungkan sejarah muzik tanah air dengan masa depan, dalam naratif penuh makna dan rasa hormat.

    Lebih membanggakan, “Majlis Tertinggi Rockqueen” turut membawa misi kemanusiaan apabila lebih RM100,000 berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada pertubuhan kebajikan terpilih. Ia membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi wadah untuk memberi, menyatukan dan menyemai empati. Malam itu bukan sekadar milik Ella, tetapi milik 55,000 jiwa yang hadir sebagai saksi dan sebahagian daripada sejarah.

  • Raya dan Syawal Lebih Bermakna di Plaza Shah Alam Dengan Program Komuniti & Aktiviti Keluarga

    Raya dan Syawal Lebih Bermakna di Plaza Shah Alam Dengan Program Komuniti & Aktiviti Keluarga

    Bersempena sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini, Plaza Shah Alam mempersembahkan kempen “Raya Bersama, Syawal Bermakna” yang berlangsung dari 26 Februari hingga 12 Mac 2026. Kempen ini bertujuan meraikan perayaan Aidilfitri dalam suasana penuh tradisi, kekeluargaan, dan keprihatinan sosial, sambil memberi pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna kepada pengunjung dari semua lapisan masyarakat.

    Selari dengan komitmen Plaza Shah Alam terhadap nilai kebajikan dan komuniti, satu Majlis Berbuka Puasa Bersama Pertubuhan Kebajikan Ulul Azmi, Tasik Putri, Rawang akan dianjurkan di Warung Koppi’s 70s, Plaza Shah Alam. Program ini melibatkan seramai 55 anak yatim dan asnaf, bertujuan menyemai rasa kebersamaan serta berkongsi kegembiraan Ramadan dalam suasana penuh kasih sayang dan keprihatinan. Pihak pengurusan Plaza Shah Alam menegaskan bahawa penganjuran acara berbuka puasa ini bukan sahaja memeriahkan sambutan perayaan, tetapi juga mengukuhkan hubungan komuniti setempat serta mengangkat nilai tradisi dan kebajikan dalam persekitaran pusat beli-belah moden.

    Sepanjang tempoh kempen, Plaza Shah Alam turut menganjurkan pelbagai aktiviti mingguan yang meriah dan sesuai untuk seisi keluarga. Aktiviti-aktiviti ini termasuk persembahan kebudayaan, hiburan santai, serta program interaktif yang memeriahkan suasana Ramadan dan Syawal. Antara acara mingguan yang menonjol adalah Senandung Irama Klasik, aktiviti seni dan kraf, persembahan Lenggok Beralun Tarian Tradisional, serta acara kemuncak Rentak Syawal yang menampilkan artis jemputan terkenal dengan kerjasama Mewah Event Management, termasuk Amir UK’s, Raihan, dan Daqmie. Program edaran bubur lambuk turut diadakan sebagai simbol semangat berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.

    Selain itu, pengunjung Plaza Shah Alam berpeluang menikmati ganjaran membeli-belah eksklusif, termasuk pemberian sampul raya, buku nota, serta set cawan dan piring, sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan sepanjang tempoh kempen. Pihak pengurusan menekankan bahawa kempen ini mencerminkan usaha berterusan untuk bukan sahaja memeriahkan sambutan perayaan, tetapi juga mengukuhkan hubungan komuniti setempat serta memupuk nilai tradisi dan kebajikan.

    Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk merasai pengalaman Raya yang lebih bermakna, sarat dengan budaya dan nilai kemanusiaan, di Plaza Shah Alam.

  • Rasi Jiwa Live di Kuala Lumpur: Ghea Indrawari Mengajak Peminat Menyelami Fasa Kehidupan Yang Belum Tuntas

    Rasi Jiwa Live di Kuala Lumpur: Ghea Indrawari Mengajak Peminat Menyelami Fasa Kehidupan Yang Belum Tuntas

    Kuala Lumpur, 19 Februari 2026 – Peminat muzik balada di Malaysia bakal disajikan dengan pengalaman persembahan yang intim dan menyentuh hati apabila penyanyi muda popular Indonesia, Ghea Indrawari, mengumumkan konsert solo pertamanya di ibu negara bertajuk “Rasi Jiwa – Live in Kuala Lumpur” pada 8 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur. Konsert ini dijangka menjadi malam yang sarat dengan emosi, menampilkan lirik jujur, penceritaan perasaan, serta vokal Ghea yang memikat jiwa penonton.

    Ghea menjelaskan bahawa konsep Rasi Jiwa menolak idea bahawa seseorang “harus baik-baik saja”. Sebaliknya, ia mengajak generasi muda untuk menghargai proses kehidupan yang jatuh, bingung, dan belum selesai. Menurut Ghea, mesej utama konsert ini adalah untuk membenarkan penonton merasai setiap fasa emosi tanpa rasa bersalah, malah melihat keindahan dan pengajaran dalam perjalanan hidup. “Rasi Jiwa bukan sekadar konsert. Ia adalah perjalanan emosi, di mana setiap penonton dapat merasa, menangis, tersenyum, dan menemui diri mereka sendiri dalam muzik,” kata Ghea.

    Pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert membolehkan suasana lebih intim dan interaktif, membina hubungan dekat antara penyanyi dan peminat. Pelbagai kategori tiket ditawarkan bagi memenuhi keperluan penonton yang berbeza, termasuk free standing, tempat duduk bernombor, Meet & Greet, dan VIP Suite. Harga tiket bermula dari RM198 hingga RM238 untuk kawasan berdiri, RM338 hingga RM368 untuk tempat duduk, RM300 untuk Meet & Greet, dan RM5,000 bagi VIP Suite yang menawarkan pengalaman eksklusif serta interaksi lebih dekat bersama Ghea.

    Selain mempersembahkan lagu-lagu popularnya, Ghea dijangka akan menampilkan susunan semula karya yang lebih introspektif dan mendalam, memberikan dimensi baharu kepada peminat. Lagu-lagu bertema cinta, kehilangan, dan penyembuhan emosi akan dihidupkan dengan susunan muzik yang matang, membolehkan penonton merasai kedalaman mesej di sebalik setiap bait lirik. Konsert ini menandakan momen penting dalam perjalanan seni Ghea di peringkat serantau, membuka era baru persembahan solo yang eksklusif dan berbeza daripada pengalaman muzik konvensional.

    Dengan gabungan susunan muzik sofistikated, persembahan vokal penuh emosi, serta konsep intim dan sinematik, Rasi Jiwa – Live in Kuala Lumpur bukan sekadar persembahan muzik tetapi satu pengalaman mendalam yang membawa penonton menyelami fasa kehidupan yang penuh cabaran, kegembiraan, dan refleksi diri. Tiket boleh didapati melalui laman rasmi GheaRasiJiwaKL.com, memastikan peminat tidak terlepas peluang untuk menyaksikan persembahan yang bakal mencipta kenangan abadi.

  • Fazura & Fatima Hidupkan Semangat Syawal Dengan “Raya Pum Pang Lagi”

    Fazura & Fatima Hidupkan Semangat Syawal Dengan “Raya Pum Pang Lagi”

    Kuala Lumpur, 19 Februari 2026 – Sempena musim perayaan Aidilfitri tahun 2026, Fazura kembali dengan lagu Raya versi baharu “Raya Pum Pang Lagi”, kali ini menampilkan anaknya, Fatima, menjadikan lagu ini lebih istimewa, peribadi dan emosional. Lagu ini bukan sahaja sekadar versi remix, tetapi lahir daripada pengalaman sebenar mereka di rumah, di mana Fatima sering menyanyi bersama ibunya, menghafal lirik dan menambahkan elemen kreativiti sendiri. Kolaborasi ibu dan anak ini menambahkan dimensi kehangatan keluarga, memori dan kasih sayang yang jarang ditonjolkan dalam lagu-lagu perayaan lain.

    Fazura berkongsi bahawa momen rakaman lagu ini amat mengharukan, terutama apabila Fatima berdiri di hadapan mikrofon buat pertama kali sebagai sebahagian daripada rakaman rasmi. “Masa sesi rakaman tu memang sangat comel. Fatima nyanyi dengan penuh yakin dan bangga, macam dia tahu betul dia sebahagian daripada lagu ni. Sebagai ibu, tengok dia dengan semangat macam tu memang buat saya rasa tersentuh dan emosional,” jelas Fazura. Pengalaman itu lebih daripada sekadar muzik; ia menjadi kenangan yang akan tersimpan sepanjang hayat dan memberi makna yang mendalam tentang erti kebersamaan di pagi Syawal.

    Lagu “Raya Pum Pang Lagi” mengingatkan pendengar bahawa Aidilfitri adalah tentang kebersamaan, kegembiraan dan menghargai detik kecil bersama insan tersayang. Melalui gabungan melodi ceria dan lirik yang dekat di hati, lagu ini membolehkan pendengar menyelami pengalaman perayaan yang bukan sekadar riuh rendah hiasan atau pakaian, tetapi kehangatan kasih sayang dan keakraban keluarga. Lagu ini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital mulai 20 Februari 2026, menjadi latar sempurna untuk mencipta memori indah dan kenangan baru bersama keluarga sepanjang Syawal.

  • Satu Malam Eksklusif di KL: Senandung Ria Bersama White Shoes & The Couples Company dan NonaRia

    Satu Malam Eksklusif di KL: Senandung Ria Bersama White Shoes & The Couples Company dan NonaRia

    Peminat muzik berjiwa retro dan jazz-pop bakal menikmati pengalaman istimewa menerusi konsert “Senandung Ria Di Kuala Lumpur”, anjuran ZS Entertainment bersama LampuNeon Entertainment, yang akan berlangsung pada 10 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur. Konsert ini menampilkan dua kumpulan popular dari Indonesia, White Shoes & The Couples Company dan NonaRia, dalam satu persembahan eksklusif untuk malam yang hanya berlangsung sekali.

    Konsert ini dibina sebagai pengalaman muzikal sinematik dengan tema nostalgia, keceriaan dan romantika bandar. Penganjur menjelaskan bahawa tujuan utama konsert adalah untuk membawa penonton kembali ke suasana klasik yang penuh emosi, warna, dan keanggunan estetika, sambil memperlahankan tempo kehidupan moden dan menghargai momen-momen kecil yang hangat bersama muzik. Setiap melodi dan lirik dirancang untuk membuat penonton hanyut dalam perjalanan emosi sepanjang persembahan.

    Gabungan White Shoes & The Couples Company dan NonaRia dipilih kerana keserasian identiti muzik mereka yang jarang dipertemukan. Kedua-dua kumpulan berakar pada estetika klasik, penceritaan lagu dan persembahan yang berjiwa. White Shoes & The Couples Company terkenal dengan susunan muzik sinematik dan sofistikated, manakala NonaRia memikat dengan gaya ceria, feminin, dan bersahaja. Penganjur menekankan bahawa kedua-dua kumpulan ini mampu mencipta suasana persembahan yang intim dan dekat dengan penonton walaupun di pentas berskala besar.

    Konsert ini dianggap sebagai salah satu penampilan paling signifikan bagi kedua-dua kumpulan di Malaysia, dengan konsep produksi eksklusif. Elemen khas termasuk susunan muzik yang hanya dipersembahkan di Kuala Lumpur, visual retro-sinematik, aliran persembahan penuh cerita, dan kemungkinan kolaborasi spontan di atas pentas. Setiap aspek, dari muzik hingga visual dan detik pentas, dirancang untuk memberikan pengalaman unik dan tidak dapat dilupakan, menjadikan persembahan ini lebih daripada sekadar konsert – ia adalah perjalanan emosi untuk penonton.

    Zepp Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi kerana keseimbangan antara skala dan keintiman serta keupayaan teknikal yang menyokong konsep audio-visual konsert. Akustik yang mantap dan fasiliti canggih memastikan pengalaman penonton menyeluruh dari setiap sudut. White Shoes & The Couples Company menyatakan keterujaan mereka untuk kembali ke Kuala Lumpur dan berharap penonton dapat menikmati setiap detik konsert, manakala NonaRia melihat peluang ini sebagai kesempatan untuk mencipta kenangan indah bersama peminat tempatan. Pihak penganjur menegaskan bahawa fokus utama mereka adalah memberikan pengalaman yang eksklusif, intim, dan bermakna kepada semua yang hadir.

    Konsert “Senandung Ria Di Kuala Lumpur” menawarkan beberapa kategori tiket termasuk Standing (RM200), Category 2 dan Category 3 (RM290), serta VIP Box untuk satu pax (RM450). Maklumat lanjut mengenai saluran penjualan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat.

  • Keluarga Iskandar 3: Naskhah Keluarga Sarat Emosi yang Dekat di Hati Penonton

    Keluarga Iskandar 3: Naskhah Keluarga Sarat Emosi yang Dekat di Hati Penonton

    Realiti benar-benar menyentuh perasaan dalam episod keenam yang ditayangkan semalam apabila ia meninggalkan impak emosi mendalam khususnya buat peminat setia Keluarga Iskandar. Episod tersebut bukan sahaja mengundang rasa hiba, malah membuka ruang refleksi tentang nilai kekeluargaan yang sering kali dipandang ringan dalam kehidupan seharian.

    Watak Kak Ngah yang dibawakan oleh Susan Lankester sejak musim pertama dan kedua sememangnya menjadi antara nadi penting siri ini. Keperibadiannya yang tegas namun penuh kasih sayang menjadikan Kak Ngah antara watak paling disayangi penonton dan sentiasa dinantikan kemunculannya dalam setiap episod.

    Namun begitu, perjalanan watak tersebut berakhir dalam episod keenam apabila kisah pemergiannya dirungkaikan secara penuh emosi. Di media sosial, rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan sebak, malah ramai yang mengakui menitiskan air mata ketika menyaksikan babak-babak yang menyentuh hati itu.

    Kemunculan musim ketiga jelas bukan sekadar sebuah kemunculan semula biasa. Keluarga Iskandar 3 tampil dengan pendekatan penceritaan yang lebih matang, beralih daripada komedi ringan kepada naratif realiti yang lebih dekat dengan kehidupan masyarakat masa kini.

    Kehilangan Kak Ngah menjadi simbolik kepada hakikat kehidupan bahawa setiap insan pasti akan melalui detik kehilangan orang tersayang. Namun mesej yang disampaikan bukan sekadar tentang pemergian, sebaliknya tentang kekuatan mereka yang terus melangkah dengan kenangan dan kasih sayang yang ditinggalkan.

    Keluarga Iskandar 3 bersiaran setiap Jumaat hingga Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria dan turut boleh distrim menerusi aplikasi Sooka.

  • Sujud Terakhir Encik Norman: Konflik, Pengajaran dan Drama yang Mengundang Emosi

    Sujud Terakhir Encik Norman: Konflik, Pengajaran dan Drama yang Mengundang Emosi

    Drama Sujud Terakhir Encik Norman (STEN) terus mencuri perhatian netizen dari satu episod ke satu episod, khususnya apabila ia menyentuh isu sensitif seperti penyondol dengan pendekatan berbeza yang dibawakan oleh pengarah Shahrul Ezad Mohameddin. Karya terbaharu ini sekali lagi membuktikan keberanian beliau mengangkat tema yang jarang dipersembahkan secara terbuka dalam drama televisyen tempatan.

    Sejak mula ditayangkan pada 4 Februari lalu, STEN pantas menjadi bualan ramai di media sosial. Rata-rata penonton memberikan pelbagai reaksi terhadap jalan cerita dan perkembangan watak yang dianggap berani serta di luar kebiasaan. Ada yang memuji sentuhan pengarahan yang disifatkan sentiasa “menarik dan istimewa”, manakala ada juga yang meluahkan rasa kurang setuju terhadap justifikasi watak penyondol yang cuba diberikan sisi berbeza.

    Pengarah yang turut dikenali dengan nama Budakijat itu sememangnya terkenal dengan gaya penceritaan yang sarat kejutan dan pengajaran. Menurutnya, penonton perlu mengikuti drama ini sehingga ke penghujung untuk memahami sepenuhnya mesej yang ingin disampaikan, kerana terdapat banyak lapisan emosi dan konflik yang dirungkai secara berperingkat.

    Antara elemen yang paling hangat diperkatakan ialah premis “tidak semua penyondol itu jahat” yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan penonton. Ada yang mempersoalkan logik tindakan watak-watak tertentu, manakala sebahagian lain melihatnya sebagai refleksi realiti hubungan yang kompleks. Dialog antara watak lakonan Aidil Aziz, Sharifah Sakinah dan Trisha Ooi turut menjadi tular, khususnya apabila watak Alisa yang digalas Trisha menyatakan bahawa tidak semua penyondol berniat jahat, sebaliknya didorong rasa simpati terhadap suami yang didakwa tidak dihormati isterinya. Namun, watak Emma yang dilakonkan Sharifah Sakinah membalas dengan tegas bahawa alasan tersebut tidak menghalalkan perbuatan merampas suami orang, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

    Sujud Terakhir Encik Norman merupakan drama 28 episod terbitan Radius One yang mengangkat tema keagamaan, hubungan kekeluargaan dan pengorbanan. Drama ini bersiaran setiap Rabu dan Khamis menerusi slot DramaVaganza pada jam 9 malam di Astro Ria serta boleh distrim melalui aplikasi Astro GO dan Sooka.

  • Satu Pentas, Dua Legenda: Dewa 19 dan Padi Reborn Bakal Gegarkan Malaysia

    Satu Pentas, Dua Legenda: Dewa 19 dan Padi Reborn Bakal Gegarkan Malaysia

    Tiga tahun selepas pertemuan terakhir mereka pada 29 September 2023 menerusi konsert Dewa 19: A Night At The Orchestra – Chapter 5, Dewa 19 kembali meninggalkan kesan mendalam kepada para penggemar setia mereka, ‘Baladewa’, dengan hits seperti Kangen yang masih dirindui ramai. Menjelang 2026, band legenda Indonesia ini bersiap untuk menghadirkan momen baharu melalui konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia, di mana mereka akan membawakan lagu-lagu ikonik seperti Sedang Ingin Bercinta dan Roman Picisan, yang sentiasa menjadi rindu peminat. Konsert ini dijadual berlangsung pada 6 Jun 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

    Konsert kali ini diadakan oleh Icon Entertainment, penggerak di sebalik kejayaan penganjuran Separuh Nafas, memastikan Dewa 19 tidak tampil kosong. Band yang diasaskan oleh Ahmad Dhani itu akan tampil bersama rakan seperjuangan mereka termasuk Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha. Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menjelaskan bahawa Malaysia memiliki tempat istimewa di hati Dewa 19 kerana hubungan yang terjalin dengan para penggemar mereka di negara ini. Selepas berbincang dan mencapai kata sepakat, konsert dinamakan Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia sebagai penghormatan kepada cinta yang terus tertinggal di hati Baladewa.

    Konsert ini bakal menampilkan tiga vokalis utama Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha, dan Marcello Tahitoe atau Ello, bersama Tyo Nugros. Lebih menarik, buat julung kali, Icon Entertainment membawa Padi Reborn sebagai penampilan khas, menjadikan persembahan ini satu platform istimewa yang menyatukan dua band legenda Indonesia di atas satu pentas. Iman Tang berkata, “Dewa 19 dan Padi Reborn bakal menebarkan satu perasaan dan cinta yang sama, menjadikan konsert ini sangat signifikan bagi para Baladewa dan Sobat Padi.”

    Konsep persembahan menekankan kasmaran dan mesej cinta, seiring tema lagu-lagu mereka yang hits seperti Kasih Tak Sampai, Begitu Indah, dan Menanti Sebuah Jawaban. Axiata Arena pada 6 Jun 2026 dijangka dipenuhi aura “Sedang Ingin Bercinta”, sambil peminat menyaksikan gabungan karisma dan pesona kedua-dua band. Tema pakaian bagi peminat juga mudah dan menonjolkan sisi asli mereka sebagai peminat sejati: T-shirt band asli Dewa 19 atau Padi Reborn, menjadikan pengalaman konsert lebih intim dan bermakna.

    Tiket konsert akan mula dijual pada Jumaat, 27 Februari 2026, jam 11 pagi melalui pautan www.ticket2u.com.my/dewa19 dengan kategori dan harga berikut: RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta), dan RM488 (Sedang Ingin Bercinta). Dengan persembahan Dewa 19 dan Padi Reborn, konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia dijangka mencipta fenomena baharu, menghidupkan Axiata Arena dengan semangat persahabatan, cinta, dan muzik yang menyatukan peminat.

    Maklumat Konsert:
    Artis: Dewa 19 bersama Ari Lasso, Virzha, Marcello Tahitoe, Tyo Nugros
    Penampilan khas: Padi Reborn
    Acara: Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia
    Tarikh: 6 Jun 2026
    Lokasi: Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur
    Masa: 8 malam
    Penganjur: Icon Entertainment
    Kategori & Harga tiket: RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta), RM488 (Sedang Ingin Bercinta)
    Pembelian tiket: Tiket mula dijual pada 27 Februari 2026, jam 11 pagi di www.ticket2u.com.my/dewa19

  • Heritage Valley KL Lancar Buffet Ramadhan Serba Tradisional dan Moden dari RM44

    Heritage Valley KL Lancar Buffet Ramadhan Serba Tradisional dan Moden dari RM44

    Ramadhan Feast Buffet di Heritage Valley menjanjikan pengalaman berbuka puasa yang dinanti-nantikan tahun ini, dengan sajian warisan dan hidangan antarabangsa yang menggoda selera. Antara hidangan utama yang menjadi tarikan ialah masak lemak Negeri Sembilan yang autentik, termasuk Daging Salai Masak Lemak dan Siput Sedut Masak Lemak. Aroma tradisi salai menambah lapisan rasa pada kuah santan berlemak dan pedas, manakala tekstur siput sedut yang unik memberikan pengalaman makan yang menyeronokkan. Kedua-dua hidangan ini dihidangkan panas-panas dan paling enak dinikmati bersama nasi putih, menjadikannya sajian warisan yang pasti memikat selera pengunjung bandar.

    Selain itu, Ramadhan Feast Buffet menawarkan puluhan pilihan hidangan setiap malam, menjamin pengalaman kulinari yang kaya dengan pelbagai rasa. Juadah tradisional seperti ayam kampung, sate, dan aneka kuih kampung boleh dinikmati bersama pilihan antarabangsa seperti pasta Itali, soto Betawi, bakso Indonesia, serta hidangan Barat seperti chicken grill dan chicken chop.

    Buffet ini berlangsung dari 20 Februari hingga 18 Mac 2026, setiap hari dari pukul 6.00 petang hingga 10.00 malam dengan harga RM88 untuk dewasa dan RM44 untuk kanak-kanak. Heritage Valley mampu menampung sehingga 300 tetamu dalam satu masa dan dilengkapi kemudahan mesra pengunjung termasuk parkir percuma, ruang solat yang luas serta persekitaran berbuka yang mesra keluarga. Bagi menambah kemeriahan, Ramadhan Night Market akan berlangsung setiap hujung minggu, menampilkan gerai makanan tradisional serta persembahan muzik busking yang menghidupkan suasana bazar Ramadhan.

    Menjelang Syawal, Heritage Valley turut merancakkan suasana dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Bazaar Raya Poernama Lebaran oleh Poernama Fest, program kacau dodol, aktiviti menganyam ketupat, serta elemen kampung di tengah kota. Kesemua inisiatif ini diadakan bagi menghidupkan kembali semangat Ramadhan dan Raya yang sarat dengan nilai kekeluargaan dan warisan budaya, sekaligus melengkapkan pengalaman berbuka puasa di Heritage Valley.

    Pengarah Heritage Valley Kuala Lumpur, Idi Iskandar, berkata, “Kami mahu membawa tetamu merasai suasana seolah-olah berbuka di kampung, lengkap dengan juadah tradisi yang semakin jarang dinikmati masyarakat bandar. Menu istimewa Lomak Salai dari Negeri Sembilan menjadi tarikan utama, selain pelbagai hidangan Melayu dan antarabangsa yang kami sediakan. Kami yakin Heritage Valley akan menjadi destinasi utama berbuka puasa di Kuala Lumpur.”

    Ramadhan Feast Buffet ini dijangka menarik ribuan pengunjung sepanjang bulan mulia, sekaligus mengukuhkan kedudukan Heritage Valley sebagai hab gaya hidup dan kulinari utama di ibu negara. Tempahan kini dibuka secara dalam talian melalui pautan https://luxeacre.onpay.my/order/form/1 atau boleh menghubungi nombor 018-7617688 untuk sebarang pertanyaan.

    Heritage Valley Kuala Lumpur, yang mula beroperasi pada 2025, merupakan destinasi gaya hidup moden yang menggabungkan makanan, komuniti, seni dan acara dalam satu lokasi. Sebagai “one-stop urban hub”, Heritage Valley menghimpunkan vendor tempatan, ruang acara, festival komuniti dan aktiviti kreatif dengan fokus kepada kolaborasi, kreativiti serta sokongan terhadap perniagaan kecil. Dengan fasiliti mesra acara termasuk kapasiti sehingga 300 pax, kemudahan parkir yang luas dan ruang solat, Heritage Valley bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi juga ruang interaksi, pengalaman dan peluang ekonomi untuk masyarakat bandar.

    Facebook: https://www.facebook.com/klheritagevalley
    Instagram: https://www.instagram.com/heritagevalleykl/