Astro, peneraju kandungan dan hiburan di Malaysia, bersama Disney+, platform penstriman yang menampilkan watak dan kisah ikonik kegemaran ramai, hari ini mengumumkan perluasan kerjasama mereka. Inisiatif ini menggabungkan kandungan bertaraf dunia dengan karya tempatan, sekali gus meluaskan capaian dan memberi lebih ramai rakyat Malaysia akses kepada hiburan daripada kedua-dua platform.
Melalui kerjasama yang dipertingkatkan ini, lebih banyak filem, siri dan kandungan original Disney+ akan tersedia di platform Astro termasuk Astro TV, Astro GO dan NJOI. Ini memudahkan penonton di Malaysia menikmati hiburan global kegemaran mereka dengan lebih lancar. Pada masa yang sama, pilihan kandungan tempatan Astro yang telah dikurasi, termasuk rancangan popular Malaysia, turut akan dipaparkan di Disney+, membawa cerita tempatan kepada penonton yang lebih luas.
Disney+ menampilkan pelbagai francais hiburan terkenal dunia serta watak ikonik daripada Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, Hulu dan banyak lagi. Kini, kandungan ini akan lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia melalui platform Astro. Pelanggan Astro dan NJOI boleh menikmati lebih banyak filem dan siri Disney+, termasuk judul popular seperti Pirates of the Caribbean, Kingsman: The Secret Service dan The Incredible Hulk, selain filem seperti Maleficent, Brave dan Monsters University, serta siri seperti Buffy the Vampire Slayer, Scrubs dan New Girl.
Sebagai peneraju kandungan tempatan, Astro terus menghasilkan karya asli yang dekat di hati rakyat Malaysia merangkumi animasi kanak-kanak, rancangan variasi, program hiburan dan drama. Kini, lebih banyak kandungan Malaysia juga akan turut tersedia di Disney+ merangkumi pelbagai genre seperti seram, drama, realiti, aksi dan program kanak-kanak. Antara judul yang terlibat termasuk Zombi Kampung Pisang, Polis Evo 1 & 2, Ola Bola, Khun:Sa – Che Khun Che Nisa, Takdir Itu Milik Aku, Syurga Itu Bukan Mudah, Travelawak: Projek Bapak Bapak serta Didi & Friends, sekali gus menambah kepelbagaian pilihan tontonan.
Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, mereka amat teruja untuk memperkukuh kerjasama bersama Disney+ seiring dengan perubahan tabiat tontonan serta usaha menyediakan pengalaman merentas platform yang lebih lancar. Kerjasama ini menggabungkan karya global Disney+ dengan kandungan tempatan Astro, sekali gus membuka peluang kepada cerita Malaysia seperti Didi & Friends, Polis Evo dan Travelawak: Projek Bapak Bapak untuk turut dipaparkan bersama katalog hiburan global Disney+. Menurut beliau, ia memberi lebih banyak pilihan, kemudahan dan kepuasan kepada pelanggan untuk menikmati kandungan global dan tempatan dalam satu ekosistem yang lebih bersambung.
Naib Presiden dan Pengarah Urusan bagi Singapura, Malaysia, Taiwan dan Hong Kong, The Walt Disney Company, Mark Chan pula berkata, penceritaan sentiasa menjadi teras utama Disney. Melalui kerjasama dengan Astro, pihaknya teruja untuk membawa kisah global yang digemari ramai kepada lebih banyak penonton di Malaysia, di samping memperkukuh koleksi kandungan tempatan di Disney+. Ia juga membuka ruang kepada penonton untuk menemui pelbagai cerita menarik, sama ada dari seluruh dunia mahupun dari negara sendiri.
Pelanggan Astro kini boleh melanggan Disney+ dengan mudah sebagai tambahan melalui aplikasi atau laman web My Astro. Bermula dari RM18.30 sebulan, pelanggan boleh menikmati pelbagai kandungan Disney termasuk filem blockbuster, francais popular dan Disney+ Originals eksklusif. Bagi pelanggan Movies Pack dan Pek Epic Astro One, Disney+ sudah termasuk dalam langganan tanpa kos tambahan, hanya perlu aktifkan untuk mula menonton.
Untuk pilihan tontonan yang lebih luas, pelanggan juga boleh menambah Pek Blockbuster pada harga RM9.99 sebulan yang merangkumi empat saluran Bahasa Inggeris baharu iaitu Astro Showtime (CH 411), Astro FAM Time (CH 412), Rock Action (CH 414) dan Rock X Stream (CH 415), dengan Astro Showtime dan Astro FAM Time turut menampilkan kandungan daripada Disney+.
Astro terus menawarkan nilai berganda melalui Pek Astro One yang bermula daripada RM49.99, memberikan pelanggan akses mudah kepada penstriman dan hiburan dalam satu pakej. Pelanggan yang berminat boleh melayari astro.com.my atau menghubungi Astro melalui WhatsApp di 03 9543 3838.
