Lebih 500 Usahawan Raih Manfaat Heritage Valley, MEH Catat Jualan RM7.75 Juta

Written by

in

YB Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (tengah)
menyempurnakan perasmian Heritage Valley Kuala Lumpur diiringi YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee
Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (dua dari kiri), YBhg.
Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Pengerusi UDA Holdings Berhad (dua dari kanan), YBhg. Dato’ Sri
Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad (kanan) dan YBrs. Encik Idi
Iskandar, Pengarah Urusan Luxe Acre Sdn Bhd.

Usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan menerusi Malaysian Entrepreneur Hub (MEH) terus menunjukkan hasil apabila projek-projek di bawah inisiatif tersebut merekodkan anggaran jualan terkumpul melebihi RM7.75 juta setakat Ogos 2026.

Secara keseluruhan, projek MEH yang dilaksanakan oleh UDA Holdings Berhad (UDA) telah memberi manfaat kepada 611 usahawan dan vendor di seluruh negara.

Heritage Valley Kuala Lumpur menjadi antara penyumbang utama dengan mencatat jualan melebihi RM4.6 juta dan memberi manfaat kepada lebih 526 usahawan dan vendor.

Hab yang terletak di Jalan Doraisamy itu dibangunkan di atas tapak seluas 1.71 ekar dan kini menempatkan 26 usahawan secara tetap di kiosk serta lot kedai.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong, kewujudan ruang niaga yang strategik dan lebih mudah diakses mampu membantu menangani antara cabaran utama usahawan mikro, khususnya dari segi akses kepada lokasi perniagaan yang mempunyai aliran pengunjung.

Heritage Valley turut menyediakan platform kepada usahawan menerusi pelbagai program dan acara termasuk Santai Maa, Secondlife Market, Slay Maa, Curators Lab dan Kuala Lumpur Bike Week, yang telah menarik lebih 100,000 pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali berkata, kejayaan hab tersebut bukan hanya bergantung kepada aspek pembangunan fizikal, tetapi sejauh mana ia mampu mencipta peluang baharu dan membantu usahawan membina perniagaan yang mampan untuk jangka panjang.

YB Steven Sim Chee Keong (tengah) bersama barisan tetamu kehormat memotong kek
bagi meraikan perasmian Heritage Valley Kuala Lumpur, semalam.

Bagi memperluaskan manfaat kepada lebih ramai usahawan, Heritage Valley turut merancang pembukaan kiosk baharu serta 14 unit pop-up store.

Dengan tambahan tersebut, keseluruhan lot niaga akan meningkat kepada 40 unit, manakala sasaran jualan ditetapkan melebihi RM6.5 juta setahun.

Selain Heritage Valley, MEH turut merangkumi Santai Camp di Johor yang merekodkan jualan sekitar RM2.3 juta serta Morten Walk di Melaka dengan jualan sekitar RM850,000.

Satu lagi hab MEH di Kundasang, Sabah pula kini sedang dalam pembangunan.