Peminat Rock Wajib Hadir! XPDC Kita Peng Yu Gegar Odeon KL Ogos Ini

Nama XPDC bukan sekadar sebuah kumpulan rock, tetapi sebuah legasi yang terus hidup dalam jiwa peminat muzik keras tanah air.

Walaupun sudah berdekad mewarnai industri muzik tempatan dan kehilangan figura ikonik mereka, Allahyarham Mael, semangat XPDC Kita Peng Yu masih kekal membara. Malah, jenama XPDC Kita Peng Yu terus menjadi antara nama paling dicari dalam festival dan acara rock di seluruh negara.

Kehebatan XPDC Kita Peng Yu bukan sekadar bersandarkan nostalgia. Kumpulan ini terus membuktikan populariti mereka apabila berjaya mencatat lebih 60 persembahan setiap tahun di pelbagai festival, konsert dan acara korporat di Malaysia, Sabah, Sarawak serta Brunei.

Meneruskan perjuangan tersebut, XPDC Kita Peng Yu yang dianggotai Arry (vokal), Jeff (gitar), Zuar (bass) dan Amy (dram) kini bersedia mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi konsert eksklusif bertajuk XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL yang bakal berlangsung pada 22 Ogos depan.

Dianjurkan oleh Rockstation & Event Entertainment, konsert yang berlangsung di Odeon Kuala Lumpur itu dijangka menjadi antara acara rock paling hangat tahun ini dengan persembahan lebih dua jam yang dipenuhi lagu-lagu malar segar XPDC serta kemunculan single terbaharu mereka, Satu Arah.

Menurut Pengarah Urusan Rockstation & Event Entertainment, Mozylir Moktaruddin, penganjuran konsert itu direalisasikan selepas menerima permintaan berterusan daripada peminat yang mahu melihat XPDC Kita Peng Yu tampil dalam sebuah konsert berskala khas.

Beliau berkata, XPDC Kita Peng Yu mempunyai kelompok peminat yang sangat besar dan selepas melihat sambutan luar biasa yang diterima kumpulan itu di pelbagai lokasi, pihak penganjur yakin sudah tiba masanya untuk merealisasikan sebuah konsert eksklusif. Malah, mereka turut menjangkakan kehadiran peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei memandangkan sokongan terhadap muzik rock di wilayah berkenaan masih sangat kuat.

Konsert ini turut menjadi lebih istimewa dengan penyertaan tiga nama besar dalam dunia rock tanah air iaitu Yan Lefthanded, Jatt Ali daripada Black Dog Bone dan Syed Ali, adik kepada Allahyarham Mael.

Kehadiran mereka bakal memperkuatkan lagi aura persembahan menerusi tiga segmen eksklusif yang dinamakan Metal, Tribute dan Metal 60’an, sekali gus membawa penonton mengembara merentas pelbagai era kegemilangan muzik rock tempatan.

Mozylir turut memaklumkan bahawa pihak penganjur sedang merancang pengalaman audio dan visual yang lebih mantap bagi memastikan setiap peminat memperoleh pengalaman konsert yang berbaloi dengan harga tiket yang dibayar.

Sementara itu, pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar berkata persembahan bertiket memerlukan komitmen dan persiapan yang jauh berbeza berbanding penampilan di festival terbuka.

Menurutnya, apabila mengadakan konsert berbayar, peminat hadir dengan harapan yang lebih tinggi. Justeru, setiap aspek termasuk susunan lagu, sistem bunyi, pencahayaan dan keseluruhan produksi diberikan perhatian bagi memastikan setiap penonton pulang dengan pengalaman yang benar-benar memuaskan.

Dalam pada itu, Pengurus XPDC Kita Peng Yu, Mohd. Yazid Selamat optimis konsert berkenaan mampu menarik kehadiran ramai peminat berdasarkan rekod cemerlang kumpulan itu setiap kali membuat persembahan.

Beliau berkata, peminat bakal disajikan dengan sebuah malam penuh tenaga menerusi deretan lagu-lagu hit yang sentiasa menjadi kegemaran ramai. Selain itu, peminat juga berpeluang menyaksikan sesi uji bunyi dan latihan serta bertemu semua anggota XPDC Kita Peng Yu pada petang hari konsert di Odeon KL.

Dengan gabungan lagu-lagu legenda, kemunculan tetamu istimewa, tiga segmen eksklusif serta produksi yang dipertingkatkan, XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL dijangka menjadi sebuah malam penuh nostalgia dan adrenalin yang bakal mengubat kerinduan peminat setia rock tanah air.

Bagi pencinta muzik rock, 22 Ogos ini pastinya menjadi malam untuk kembali mengangkat tangan ke udara, menyanyi sekuat hati dan melakukan headbang bersama legenda yang terus hidup dalam sejarah muzik rock Malaysia.