UTM & Belati Wangsa Perkenal Inovasi Jalan Raya Lestari Melalui Teknologi Asfalt Terpulih (RAP)

Dalam usaha memperkasa pembangunan infrastruktur yang mampan, Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (ISI-UTM) mengorak langkah besar dengan menjalin kerjasama strategik bersama syarikat penyelenggaraan jalan terkemuka, Belati Wangsa Sdn. Bhd., bagi membangunkan Turapan Asfalt Terpulih (Reclaimed Asphalt Pavement – RAP) untuk kegunaan pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya di Malaysia.

Produk inovatif ini memanfaatkan semula bahan buangan daripada kerja baik pulih jalan raya turapan lama yang sebelum ini dibuang, kini diproses menjadi bahan baharu yang boleh digunakan semula secara berkesan. Gabungan teknologi turapan lestari dan peralatan canggih dalam kerja-kerja penyelenggaraan ini mampu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah baharu, seterusnya menyumbang kepada penjimatan tenaga, pengurangan sisa, dan pengurangan pelepasan karbon dalam industri pembinaan jalan raya.

Menurut Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM, “Teknologi RAP menawarkan potensi besar dalam industri pembinaan jalan raya. Ia terbukti sebagai alternatif yang lebih kos efektif berbanding asfalt campuran panas asli (HMA), selain memberikan impak positif terhadap kelestarian alam sekitar.”

Kerjasama ini turut mendapat sokongan kukuh daripada pihak industri. Encik Mohamad Akmal Johari, Pengarah Belati Wangsa Sdn. Bhd. berkata, “Kami komited terhadap pembangunan penyelesaian teknologi penyelenggaraan jalan yang mampan. Dengan pengurangan penggunaan sumber asli dan pelepasan karbon, inisiatif ini seiring dengan usaha ke arah mencapai sasaran karbon sifar bersih negara.”

Kos penyelenggaraan jalan raya di Malaysia kini mencecah sekitar RM4 bilion setahun, menunjukkan keperluan mendesak terhadap solusi yang lebih lestari dan efisien. Maka, pendekatan seperti RAP bukan sahaja menjimatkan kos tetapi turut menyokong matlamat pembangunan mampan negara.

Penyelidikan ini turut mengaplikasi pendekatan Whole Life Cycle Costing (WLCC), iaitu kaedah penilaian ekonomi yang mengambil kira keseluruhan kos turapan sepanjang hayatnya dari fasa perancangan dan pembinaan, hingga penyelenggaraan dan kitar semula. Profesor Madya Sr Dr Sarajul Fikri Mohamed, Ketua Projek UTM menegaskan, “Penjimatan yang dilihat bukan hanya pada peringkat awal tetapi sepanjang hayat projek, termasuk impaknya terhadap ekonomi dan alam sekitar.”

UTM melalui dua kumpulan penyelidikan Construction Economics, Law and Policy (CELP) dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), serta Pavement & Transportation Research Group (PTRG) dari Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) berperanan penting dalam pembangunan teknologi ini. Produk akhir yang sedang dibangunkan kini dalam proses untuk dipatenkan secara bersama oleh UTM dan Belati Wangsa.

Inisiatif ini membuktikan bagaimana kolaborasi antara akademia dan industri mampu membawa perubahan bermakna dalam landskap infrastruktur negara. Turapan Asfalt Terpulih dijangka menjadi pemangkin kepada sistem penyelenggaraan jalan yang lebih hijau, pintar dan tahan lama seiring dengan aspirasi Malaysia ke arah pembangunan lestari dan teknologi tinggi.