Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menyatakan kebimbangan serius dan pendirian tegas terhadap penyalahgunaan nama dan jenama “XPDC” oleh pihak tertentu yang tidak mempunyai sebarang kebenaran sah. Penggunaan nama ini secara tidak rasmi dalam promosi, persembahan terbuka dan penampilan komersial bukan sahaja mencetus kekeliruan dalam kalangan peminat dan penganjur acara, tetapi juga mengancam integriti industri muzik tempatan.
Menurut KARYAWAN, nama dan logo “XPDC” merupakan tanda dagangan berdaftar milik eksklusif Life Records, yang dilindungi di bawah Akta Cap Dagangan. Jenama ini telah dibina sejak awal tahun 1990-an dan kini memiliki nilai komersial yang tinggi serta reputasi sebagai salah satu kumpulan rock paling berpengaruh dalam sejarah muzik tanah air.

Sehingga kini, hanya dua entiti yang diberi kebenaran rasmi secara bertulis untuk menggunakan nama “XPDC”:
XPDC (Kita Pengyu) dan XPDC (Militia)
Kedua-duanya menampilkan barisan anggota asal dan beroperasi secara sah di bawah naungan Life Records.
Namun, KARYAWAN telah menerima maklumat tentang kewujudan sebuah kumpulan lain yang menggelarkan diri sebagai “Real XPDC”, yang aktif membuat persembahan dan mempromosikan konsert menggunakan nama “XPDC” tanpa kebenaran. Meskipun nama “Real” digunakan sebagai pengubah suai, penggunaan nama “XPDC” secara dominan tetap mengelirukan dan boleh mencetus salah faham seolah-olah mereka mewakili kumpulan asal yang sah.
Dari sudut perundangan, tindakan ini berpotensi sebagai satu pelanggaran hak cap dagangan, dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang terlibat.

“KARYAWAN tidak menolak kewujudan kumpulan tribute sebagai tanda penghargaan dalam seni. Namun, ia mestilah dilakukan secara bertanggungjawab, beretika dan tidak mengelirukan masyarakat,” ujar wakil KARYAWAN. “Jika benar ingin memberi penghormatan, gunakanlah nama alternatif yang jelas membezakan diri daripada kumpulan asal serta jalin hubungan profesional yang baik.”
Sehubungan itu, KARYAWAN akan membawa perkara ini kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk:
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKK)
Langkah ini bagi memastikan tiada pendaftaran tanda dagangan yang melanggar hak eksklusif atau menimbulkan kekeliruan awam.
KARYAWAN juga menyeru kepada semua pihak termasuk penggiat seni, penganjur acara dan peminat untuk terus menghormati hak intelektual serta prinsip undang-undang yang menjadi asas kestabilan industri muzik negara.
