ASTRO ORIGINALS MEMPERSEMBAHKAN ‘HONEY TRAP’

Astro Originals mempersembahkan sebuah siri premium terbaharu berjudul ‘Honey Trap’, sebuah kisah thriller yang menampilkan seorang perisik wanita sebagai watak utama dalam dunia politik yang penuh dengan konflik dan rahsia. Siri ini menjanjikan pengalaman tontonan yang mendebarkan, sarat aksi dan emosi yang menyentuh jiwa.

Honey Trap merupakan kesinambungan kepada dunia fiksyen Masraya yang diperkenalkan melalui siri KUDETA pada tahun 2022, yang mengetengahkan kisah Perdana Menteri wanita pertama negara fiksyen tersebut, lakonan Vanidah Imran. Dalam siri baharu ini, penonton diperkenalkan dengan watak Surya Gabriel, seorang perisik wanita yang berani, penuh karisma dan berdedikasi dalam melindungi keselamatan negara. Namun, Surya terperangkap dalam kancah permainan kuasa yang penuh pengkhianatan, dilema dan ancaman yang menggugat prinsip serta emosi peribadinya.

Siri ini menampilkan barisan pelakon berbakat termasuk Nina KSC dalam watak utama, bersama Syarul Ezani, Ungku Ismail, Irfan Zaini, Ayez Shaukat Fonseka, Michael Chen, Chazzy Nash, Amyza Aznan, Eugene Ong, May June, Dai Fuad, Sefik Khair serta penampilan khas daripada watak asal siri KUDETA. Ia diarahkan oleh Imran Sheik, pengarah asal KUDETA, yang juga turut menulis skrip bersama Siti Marzuliana Marzuki, Zuli Ismail, Amar Amir, Lemuel Ong dan Syakir ‘Mo’ Zakii. Diterbitkan oleh Astro Shaw dan diproduksi oleh Lacuna Pictures, Honey Trap bakal mula ditayangkan pada 20 Jun 2025.

Penonton boleh menonton Honey Trap menerusi platform On Demand dan sooka bermula jam 12 tengah malam setiap Jumaat, serta di Astro CITRA (saluran 108) setiap Jumaat jam 9 malam dan Astro RIA (saluran 104) setiap Isnin jam 9 malam. Istimewa, dua episod pertama boleh distrim serentak di On Demand pada hari pelancaran.

Honey Trap mengisahkan misi seorang perisik wanita untuk menjatuhkan kumpulan pemberontak yang mengancam kestabilan Masraya. Dalam misinya, Surya perlu merekrut seorang aset penting yang berkait rapat dengan musuh. Namun, hubungan yang terjalin antara mereka mencetuskan dilema apabila perasaan cinta yang tidak dirancang mula mengaburi penilaian dan kesetiaannya terhadap tugas.

Menurut Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif Honey Trap, Raja Jastina Raja Arshad, Honey Trap merupakan kesinambungan KUDETA yang membawakan pendekatan lebih peribadi dan mendalam. Siri ini menyentuh isu seperti kesihatan mental di tempat kerja, ketidakseimbangan kuasa dan manipulasi dalam struktur organisasi. Ia membawa pandangan feminin sebagai teras penceritaan, menjadikannya lebih segar, relevan dan menyentuh hati penonton yang mahukan lebih daripada sekadar aksi dan ketegangan.

Pengarah Honey Trap, Imran Sheik, menyatakan bahawa idea asal naskhah ini lahir daripada pengalaman peribadi beliau menjaga ahli keluarga yang menghidap skizofrenia. Beliau menekankan bahawa fokus utama bukanlah untuk mensensasikan isu kesihatan mental, tetapi untuk meningkatkan pemahaman dan empati masyarakat terhadap individu yang menghadapinya. Tambah beliau, cabaran utama dalam penghasilan Honey Trap adalah menggambarkan dengan tepat pemikiran seorang perisik yang juga menghadapi tekanan psikologi, sambil menjalankan tanggungjawab besar dalam sebuah organisasi perisikan.

Honey Trap turut menyaksikan kolaborasi strategik bersama jenama susu berkhasiat Goodday Charge, melalui kerjasama promosi pemasaran, penempatan produk dan penghasilan video khas berdurasi 30 saat sempena pelancaran siri ini. Goodday Charge merupakan susu diperkaya pertama di Malaysia dengan 10 nutrien penting untuk membantu mengekalkan tenaga sepanjang hari.

Honey Trap akan mula ditayangkan pada 20 Jun 2025. Gunakan tanda pagar rasmi #HoneyTrap dan #SeducingTheCorrupt untuk berkongsi keterujaan di media sosial. Untuk klip-klip menarik dan maklumat lanjut, ikuti Astro Shaw di TikTok, Instagram, X dan Facebook.

Untuk sebarang pertanyaan media atau temubual, sila hubungi press@astroshaw.my atau layari www.astroshaw.my.