Astro Shaw terus mengorak langkah agresif di persada antarabangsa apabila menjalin kolaborasi strategik bersama penerbit filem tersohor Thailand, Night Edge Pictures, untuk menghasilkan dua buah filem seram baharu berjudul Delivery Man dan Fortune Seekers. Kedua-dua naskhah ini diperkenalkan secara rasmi di platform filem global berprestij, sekaligus menandakan kemunculan kuat filem seram Asia Tenggara di pentas dunia.
Fortune Seekers, yang dilancarkan ketika Cannes Market 2025, bakal dibintangi oleh pelakon terkenal Thailand dan pemenang International Emmy Awards 2024, Aokbab Chutimon, yang sinonim dengan filem pecah panggung Bad Genius dan Hunger. Filem ini membawa kisah seorang pembantu klinik kecantikan yang hidupnya sering ditimpa malang. Nasibnya mula berubah selepas menjumpai azimat misteri yang membolehkannya ‘meminjam’ tuah daripada orang lain namun tindakannya itu membuka pintu kepada kuasa gelap yang mengancam dirinya.
Sementara itu, Delivery Man yang diumumkan sewaktu European Film Market di Berlin, mengetengahkan barisan pelakon ternama Thailand, Bhumibhat Thavornsiri dan Ananda Everingham. Filem ini menyingkap sisi gelap seorang penghantar makanan yang obses terhadap pelanggannya, menggabungkan elemen suspens psikologi dengan suasana realiti harian yang dekat dengan penonton Asia.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw, kerjasama ini sejajar dengan misi syarikat untuk membawa kandungan Asia Tenggara ke tahap lebih tinggi di pasaran global. “Kami percaya pada kekuatan penceritaan yang mencerminkan budaya dan kepercayaan rantau ini, dan kedua-dua filem ini mampu mencabar sempadan genre seram dengan pendekatan yang segar dan berani,” katanya.
Astro Shaw akan memegang peranan utama dalam aspek pengedaran dan promosi untuk pasaran Malaysia, selain turut meneroka potensi tayangan filem tersebut di platform penstriman digital.
Delivery Man dijangka menemui penonton di pawagam pada awal tahun 2026, manakala Fortune Seekers kini dalam fasa pra-produksi dan dijadualkan untuk tayangan pada suku ketiga tahun 2026.
Langkah ini sekali lagi membuktikan komitmen Astro Shaw dalam memperkasa industri filem serantau dan memperkenalkan suara Asia Tenggara ke khalayak dunia.
Untuk perkembangan lanjut, ikuti Astro Shaw di Instagram, TikTok, Facebook dan X.
