Surat Peletakan Jawatan Diserahkan, Tanggungjawab Menteri Ekonomi Tamat 17 Jun

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli , hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau dari Jemaah Menteri yang akan berkuat kuasa mulai 17 Jun 2025. Beliau memaklumkan bahawa surat peletakan jawatan telah dihantar kepada YAB Perdana Menteri dan akan menghabiskan baki cuti tahunan beliau sehingga 16 Jun 2025.

Dalam kenyataan rasmi, beliau menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan prinsip kebertanggungjawaban dan menghormati mandat rakyat serta parti. Kekalahan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini membawa maksud bahawa mandat politik untuk menterjemahkan agenda parti ke dalam dasar kerajaan tidak lagi menjadi miliknya.

“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan tanggungjawab dan mandat rakyat. Seperti di negara-negara demokrasi yang matang, pemimpin yang kalah dalam pemilihan perlu memberi ruang kepada kepimpinan baharu untuk membawa halatuju kerajaan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan serta kakitangan Kementerian Ekonomi atas sokongan padu sepanjang beliau memegang jawatan tersebut. Beliau menyifatkan penjawat awam di kementerian tersebut sebagai berwibawa dan berdaya saing dalam merangka serta melaksanakan dasar ekonomi negara.

Antara pencapaian utama sepanjang tempoh perkhidmatannya termasuklah pemuktamadan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang. RMK13 memberi penekanan khusus kepada reformasi menyeluruh sektor pendidikan serta cadangan reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.

“Saya berharap beberapa reformasi berani yang dirangka dalam RMK13 akan terus dikekalkan oleh Jemaah Menteri, walaupun saya tidak lagi berada dalam kerajaan,” ujar beliau lagi.

Sebagai penutup, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, media dan semua pemegang taruh atas kerjasama serta kepercayaan yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat.

“Perjalanan kita untuk memperkukuh struktur ekonomi dan mencapai status negara berpendapatan tinggi masih jauh. Keputusan-keputusan besar dan jangka panjang perlu terus diambil walau mencabar demi masa depan generasi akan datang,” tegas beliau.