Month: March 2025

  • HONOR Bakal Lancar Penyelesaian AI Agent Eksklusif Untuk Pengkomersialan di Peringkat Global

    HONOR Bakal Lancar Penyelesaian AI Agent Eksklusif Untuk Pengkomersialan di Peringkat Global

    KUALA LUMPUR, 27 Februari 2025 – Dalam usaha untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai pemimpin dalam teknologi, HONOR, jenama global yang terkenal dengan inovasi peranti pintar, akan memperkenalkan penyelesaian AI Agent yang eksklusif bagi pasaran pengkomersialan global. Pelancaran ini dijadualkan berlangsung di Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2025 yang bakal diadakan di Barcelona, Sepanyol pada 2 Mac 2025.

    Transformasi ke arah penggunaan pelbagai AI Agent dalam tugasan harian manusia kini menjadi semakin nyata. Dalam masa terdekat, pelbagai AI Agent dengan keupayaan berbeza akan menjadikan kehidupan dan cara bekerja lebih efektif dan efisien. Ini termasuk kemampuan untuk membuat keputusan secara autonomi, menguruskan tugas-tugas kompleks, serta membolehkan interaksi dan kolaborasi antara AI Agent yang berbeza. Langkah ini adalah kesinambungan daripada pelancaran AI Agent yang dilakukan oleh HONOR pada peranti dalam ekosistem terbuka yang diperkenalkan pada tahun lalu di IFA. Dengan pelancaran terkini ini, HONOR berada dalam landasan yang tepat sebagai perintis dan penentu arah dalam evolusi teknologi AI mudah alih.

    Penyelesaian AI Agent ini akan menawarkan laluan teknikal yang jelas dan eksklusif, menandakan satu tonggak penting dalam pengembangan teknologi mudah alih yang didorong oleh kecerdasan buatan. Sebagai tambahan, HONOR berusaha untuk memastikan bahawa inovasi ini bukan sahaja diperkenalkan tetapi juga dapat dimanfaatkan oleh pengguna di seluruh dunia.

    Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut serta mengikuti perkembangan terkini mengenai pelancaran ini, HONOR menggalakkan untuk melawat laman web rasmi mereka di HONOR MWC dan mengikuti halaman Facebook rasmi serta laman sesawang HONOR Malaysia di HONOR Malaysia.

    Mengenai HONOR
    HONOR merupakan peneraju penyedia peranti pintar global yang berhasrat untuk menjadi jenama teknologi ikonik di peringkat dunia. Dengan misi mencipta dunia pintar untuk semua orang melalui produk dan perkhidmatan inovatif, HONOR komited terhadap penyelidikan dan pembangunan demi menghasilkan teknologi yang memberdayakan pengguna di seluruh pelusuk dunia. Portfolio HONOR yang merangkumi telefon pintar, tablet, komputer riba, dan peranti boleh pakai yang berpatutan menunjukkan dedikasi mereka untuk membina sebuah dunia yang lebih pintar dan berhubung untuk semua orang. Dengan pelbagai produk yang berkualiti tinggi dan dapat dipercayai, HONOR berhasrat untuk membantu individu mencapai potensi penuh mereka.

  • Galeri Kebudayaan WCO, Wadah Pemeliharaan Warisan Budaya ASEAN

    Galeri Kebudayaan WCO, Wadah Pemeliharaan Warisan Budaya ASEAN

    Kuala Lumpur, 25 Februari 2025 – Dalam satu langkah bersejarah yang memartabatkan khazanah seni dan budaya di ASEAN, Galeri Kebudayaan WCO, di bawah naungan WCO Holdings Sdn. Bhd, telah menerima pengiktirafan sebagai Galeri Kebudayaan pertama di ASEAN. Pengiktirafan ini adalah hasil daripada pameran koleksi luar biasa yang terdiri daripada 3,388 diorama buatan tangan dan karya seni unik. Galeri ini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pemeliharaan seni budaya, tetapi juga sebagai platform yang signifikan dalam usaha menggalakkan keharmonian budaya di Malaysia.

    Galeri Kebudayaan WCO yang terletak di Batu 10, Cheras, memperlihatkan warisan budaya yang kaya dan pelbagai etnik serta komuniti ASEAN. Ia mencerminkan kedalaman sejarah, adat resam, dan keindahan seni rupa budaya tempatan. Setiap hasil karya dihasilkan dengan ketelitian yang tinggi oleh artis-artis berkemahiran, menjadikan koleksi ini bukan sahaja unik tetapi juga bernilai dengan tinggi.

    Encik Foo Loke Kee, pengasas Galeri Kebudayaan WCO, menyatakan, “Pengiktirafan ini adalah satu pencapaian besar dalam usaha kami untuk memartabatkan seni budaya serantau dan memastikan warisan ini terus hidup dalam kalangan generasi yang akan datang. Kami komited untuk menyediakan ruang dan peluang kepada penggiat seni budaya dan masyarakat untuk menyemarakkan identiti budaya di Malaysia serta di ASEAN, sekaligus memupuk perpaduan kaum dan saling memahami antara masyarakat ASEAN.”

    Majlis penyerahan sijil pengiktirafan tersebut melibatkan ASEAN Book of Record (ABR) dan diadakan di Pavilion Damansara Heights. Majlis ini di rasmikan oleh Yang Berhormat Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz, memberikan pengiktirafan yang lebih besar kepada galeri ini.

    Pameran yang diadakan di Galeri Kebudayaan WCO mempertingkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara dan mempromosikan kekayaan seni budaya Malaysia. Ini adalah satu aset pelancongan yang tidak ternilai, yang berupaya menarik perhatian pengunjung, sama ada pelancong domestik atau antarabangsa, serta pengkaji budaya dan peminat seni. Galeri ini berpotensi untuk menjadi destinasi utama dalam kalendar pelancongan negara, khususnya di kalangan generasi muda yang perlu memahami dan menghargai warisan budaya mereka.

    Dengan kejayaan ini, WCO tidak hanya berhasrat untuk mengekalkan warisan budaya, tetapi juga berkomitmen untuk terus memperluaskan lagi koleksi diorama dan karya buatan tangan. Ini bagi memastikan warisan budaya ASEAN kekal relevan dan dihargai di arena antarabangsa. Galeri ini turut melaksanakan pelbagai inisiatif melalui kerjasama dengan agensi-agensi lain, memperluas jangkauan dan impak positif dalam dunia seni budaya.

    Galeri Kebudayaan WCO juga telah menerima pelbagai pengiktirafan daripada agensi dan jabatan seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Malaysia Book of Record (MBR). Ini termasuk pengiktirafan bagi kategori Pusat Pertama Diorama Buatan Tangan Melalui Silang Budaya Malaysia-China pada September 2021, yang menunjukkan keterlibatan aktif galeri dalam bidang seni dan kebudayaan.

    Dalam usaha untuk mengeratkan hubungan antara kaum di Malaysia, Galeri Kebudayaan WCO berambisi untuk menjadi platform yang kukuh bagi memupuk perpaduan negara dengan menarik lebih ramai pelancong, selaras dengan tema Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026). Melalui pameran ini, diharapkan galeri ini dapat mencipta satu bentuk komunikasi budaya yang memberi nilai kepada semua pengunjung dan menjadikan warisan budaya sebagai satu sumber kebanggaan yang mesti dijaga.

    Secara keseluruhannya, pengiktirafan Galeri Kebudayaan WCO sebagai galeri kebudayaan pertama di ASEAN memberikan nafas baru dalam usaha memelihara kebudayaan dan seni di rantau ini. Ia bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian budaya, tetapi juga komitmen semua pihak dalam menjadikan seni dan budaya sebagai teras dalam pengukuhan identiti dan perpaduan masyarakat ASEAN di masa hadapan.